Usah suka cari salah
MARI kita lakukan satu ujian mudah, ambil sehelai kertas kosong dan senaraikan dalam masa 30 saat kelemahan atau kekurangan yang ada dalam diri sendiri. Cuba senaraikan tanpa perlu berfikir. Sebab saya mahu senarai itu keluar dari minda separa sedar bukannya minda sedar. Tuliskan sahaja apa yang terlintas dalam fikiran satu persatu. Pastikan masanya benar-benar 30 saat dengan menggunakan jam digital bukan sekadar mengagak sahaja. Baiklah, selepas sahaja 30 saat, berhenti.
Ulang semula aktiviti tersebut untuk kali yang kedua, tetapi kali ini senaraikan pula apakah kelebihan atau kekuatan diri sendiri dalam masa 30 saat juga. Setelah selesai cuba bandingkan kedua-dua senarai tersebut, senarai manakah yang lebih panjang? Daripada pengalaman saya menjalankan program-program motivasi kepada pelajar dan pekerja, 90 peratus daripada mereka mendapati senarai yang pertama, iaitu tentang kelemahan atau kekurangan diri lebih panjang daripada senarai yang kedua. Ini bermakna, corak pemikiran kita lebih cenderung kepada perkara negatif berbanding positif.
Sebab itulah apabila seorang rakan datang kepada kita dan menceritakan tentang satu peluang perniagaan yang hebat. Potensi pendapatannya ribuan ringgit. Maka apakah yang bermain dalam fikiran kita? Kita biasanya akan menganalisis dahulu apa ruginya kita bukannya apa keuntungan yang bakal diperolehi. Lalu kita berikan pula pelbagai alasan seperti tidak punya masa, tiada modal, tidak pandai berniaga, sudah mencuba sebelumnya tetapi gagal, berniaga bukan darah daging atau tradisi kita, dan bermacam lagi. Kesannya, ketika orang lain sudah berjaya, kita masih lagi berada di takuk lama.
Cuba perhatikan cara kita bercakap dan mendidik anak-anak. Adakah kecenderungan mendidik kita itu negatif atau positif? Biasanya kita lebih suka mencari salah anak. Kita mudah nampak apa kurangnya anak kita berbanding apa bagusnya dia. Kita cepat membebel apabila anak lakukan kesalahan dan jarang memuji apabila mereka lakukan perkara yang betul. Apabila kita lebih banyak membebel daripada memuji bermakna kita banyak mencari salah, atau banyak kaji buruk. Mustahil dalam satu hari tiada satu pun perkara yang betul telah dilakukan oleh anak kita. Tetapi sebab kita tidak fokus kepadanya maka kita tidak nampak. Kita sudah melatih otak untuk melihat dan mencari kesalahan lebih daripada kebaikan. Semua ini berlaku bertahun-tahun tanpa disedari hingga sudah menjadi sebati, menjadi tabiat dan spontan.
Selepas ini, apabila keluar daripada rumah cuba kira berapa banyakkah kereta yang berwarna merah sedang meluncur di atas jalan raya. Ketika itu juga kita mula rasakan seolah-olah kereta merah ada dimana-mana sebab minda mula fokus kepadanya. Sebelum ini kita tidak pernah ambil pusing sebab itulah kita tidak nampak. Begitulah dengan sikap suka kaji buruk atau mencari salah orang, disebabkan kita fokus kepadanya maka itulah yang kita akan selalu nampak.
Ada orang yang hidupnya suka cari salah orang lain dan tidak pernah nampak salahnya sendiri. Dalam hal menyelesaikan masalah anak-anak misalnya, ibu bapa tidak perlu mencari salah anak-anak sahaja.
Anak-anak yang melakukan kesilapan atau kesalahan perlu diajar cara untuk belajar daripada kesilapan dan kesalahan tersebut. Cuba perhatikan cara kita bercakap dan mendidik anak-anak. Adakah kecenderungan mendidik kita itu negatif atau positif? Biasanya kita lebih suka mencari salah anak. Kita mudah nampak apa kurangnya anak kita berbanding apa bagusnya dia.
PenceraianMasalah besar yang melibatkan para pelajar sekolah biasanya berlaku disebabkan pihak sekolah gagal mengesan atau mengambil langkah yang sewajarnya sewaktu masalah itu masih kecil. Malah ramai pelajar menjadi semakin bermasalah apabila dilabel bermasalah oleh guru dan pihak sekolah. Peranan guru sangat penting untuk membantu pelajar-pelajar memperbaiki kesalahan. Anak-anak tidak belajar apa-apa daripada kesalahan kecil lalu mereka mula melakukan kesalahan yang lebih besar.
Begitu juga dalam aspek perhubungan. Hubungan suami isteri menjadi retak dan kadar penceraian meningkat kerana masing-masing apabila berbincang mula mencari salah pasangannya dan tidak mahu mengakui salah sendiri. Mencari salah orang lain bagi mempertahankan diri bukanlah cara yang betul. Orang lain boleh mempengaruhi kita lakukan sesuatu yang buruk tetapi pilihan untuk melakukannya adalah pilihan kita sendiri. Malah di akhirat nanti iblis dan syaitan juga berlepas diri dari bertanggung jawab atas kesalahan yang kita lakukan kesan daripada hasutan jahatnya. Sebab itulah apa juga berlaku, diri sendiri dahulu yang perlu dipersalahkan.
Kita perlu sedar bahawa sikap mencari salah orang lain adalah satu sikap yang merugikan diri sendiri. Banyak masa yang terbuang, banyak sumber yang terbazir dan banyak kos yang tidak perlu terpaksa dikeluarkan. Apabila pekerja di sesebuah organisasi lebih cenderung mencari kesalahan orang lain maka produktiviti menurun, semangat kerja berpasukan musnah, kepuasan pelanggan dan kualiti kerja rendah.
Apabila seorang ketua mengambil pendekatan mencari kesalahan lebih daripada mencari kebaikan, maka motivasi diri orang bawahannya jatuh.
Kita lebih gemar mengharapkan seseorang itu melakukan sesuatu dengan lebih baik secara menegur dan mencari-cari salah mereka. Hasilnya, orang yang ditegur menjadi negatif, lemah semangat dan rasa tiada harapan. Lalu mereka lebih cenderung melakukan kesalahan yang sama secara berulang atau menambah lagi masalah atas apa yang sudah sedia ada.
Sebaliknya, apabila kita memberitahunya apa yang dia buat dengan betul, apa yang kita suka tentang kerja atau tindakannya, apa yang boleh dilakukan lagi untuk menambah baik atas apa yang sudah ada maka kita meletakkan orang bawahan atau pekerja pada situasi yang positif. Mereka jadi bersemangat, rasa dihargai, seronok kerana ketua ambil tahu tentang kerja mereka dan tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya agar lebih maju.
No comments:
Post a Comment