Keistimewaan berteraskan niat pupuk raca cintakan kebajikan




Setiap hari kita meneruskan kehidupan dengan menunaikan amanah bekerja. Adalah penting bagi kita untuk merencana dan merancang kerja seharian supaya dapat mengambil langkah melonjakkan usaha ke tahap lebih baik bagi mengelakkan berada di takuk lama tanpa penambahbaikan.




Merencana kerja bermaksud menentukan hala tuju dan sasaran yang ingin dicapai dan merancangnya pula bermaksud menentukan cara, tempoh, keutamaan, sumber dan mekanisme untuk mencapainya.




Rencana dan rancang kerja yang baik serta tidak menyalahi hukum syarak adalah suatu kebaikan yang menjadi ibadat bagi umat Islam walaupun belum dilaksanakan. Keunikannya dalam Islam bertujuan memupuk dan melonjakkan rasa cintakan kebaikan.





Penentuan kualiti kerja







Ia terangkum dalam konsep niat yang menjadi prasyarat kepada penerimaan dan penentuan kualiti kerja dalam Islam. Niat adalah qasad (tujuan hati) dan iradah (kehendak hati) untuk melakukan sesuatu bagi memperoleh keredaan Allah SWT.





Imam Nawawi dalam Matan al-Arba’innya telah memulakan dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Saidina Umar bin al-Khattab, Rasulullah bersabda:




“Hanya segala amal dengan niat

dan hanya bagi tiap-tiap seorang

apa yang ia niatkan.

Maka barang siapa

hijrahnya kerana Allah dan RasulNya,

maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya.

Dan barang siapa

hijrahnya bagi dunia yang ia akan

memperolehnya atau perempuan

yang ia ingin dikahwininya,

maka hijrahnya kepada apa

yang ia berhijrah kepadanya itu.”






Kualiti halal






Keutamaan niat dalam gerak kerja Islam menyebabkan Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat hadis ini adalah sepertiga Islam kerana amalan yang dilakukan dengan hati, lidah dan anggota memerlukan niat. Manakala baki dua pertiga lagi terletak pada kualiti halal dan meninggalkan apa yang tidak berguna.






Justeru, rencana dan rancang kerja perlu diniatkan dan niat itu mestilah bertujuan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Kata kunci yang menjadikannya istimewa ialah ‘kerana Allah’. Keistimewaan rencana dan rancang kerja berteraskan niat dapat menghasilkan lima impak hebat.





Pertama
, impak ganjaran disebabkan tujuan. Contohnya antara iktikaf dan rehat dalam masjid adalah dua gerak kerja yang sama tapi akan memberikan impak berbeza disebabkan oleh niatnya.





Kedua, impak status kerana niat juga membezakan status gerak kerja antaranya mandi wajib dan sunat, solat, sedekah, juga puasa.





Ketiga, impak antara adat dan ibadat. Kerja diniatkan untuk memenuhi kesejahteraan pelanggan, nafkah diri dan keluarga mendapat pahala ibadat.





Keempat, impak antara sah dan batal seperti rakaat solat jika salah diniatkan.





Kelima,
impak kualiti kerja antara yang dikerjakan dengan ikhlas dan jujur dengan sombong dan menunjuk-nunjuk.





Kejayaan duniawi







Oleh itu, jika diniatkan dengan baik dan betul, kita akan mencapai matlamat serampang dua mata iaitu kejayaan duniawi sesuai apa yang telah direncana dan rancang serta kecemerlangan ukhrawi dengan keredaan Allah SWT.





Firman Allah SWT:





“Dan tidak diperintahkan kamu

melainkan supaya menyembah Allah

dengan mengikhlaskan agama keranaNya,

dengan menjauhi kesesatan,

dan (supaya) mereka mendirikan solat

dan memberikan zakat,

kerana yang demikian itulah

agama yang lurus.”

(Surah al-Bayyinah, ayat 5)






Rencana dan rancang kerja juga merealisasikan tuntutan agama supaya kita menjadi insan lebih cemerlang dengan hasil kerja menjadi lebih berkualiti dari masa ke semasa. Bahkan insan yang mendapat rahmat dari Allah SWT akan berusaha memperbaiki diri apabila sedar wujud kelemahan.





Islam amat menekankan supaya kita berhijrah daripada sesuatu yang tidak baik kepada yang baik dan daripada yang baik kepada cemerlang. Justeru, dalam bekerja, usaha merencana dan merancang untuk penambahbaikan perlu diberikan penekanan.





Firman Allah SWT:



“Sesungguhnya orang yang beriman

dan beramal soleh, sesungguhnya Kami

tidak akan mensia-siakan ganjaran

orang yang memperelokkan amalannya.”

(Surah al-Kahfi, ayat 30)






Rencana dan rancang kerja juga memerlukan komitmen tinggi atau jihad.





Sabda Rasulullah:




“Tidak ada hijrah lagi

sesudah kemenangan,

tetapi yang ada ialah jihad dan niat

dan apabila diperintah kamu keluar,

maka keluarlah.”






Justeru, jihad dalam merencana dan merancang perlu usaha secara bersungguh-sungguh melalui perbincangan, ketelitian dalam membuat keputusan membabitkan kepentingan ramai dan untuk jangka masa panjang berdasarkan pengetahuan.





Penulis Prof Madya

di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)