Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, September 17, 2012

Mana ganjaran jaguh paralimpik?


Mana ganjaran jaguh paralimpik?


P. MARIAPPAN (empat dari kiri)
bersama-sama atlet negara lain
yang bertanding dalam acara angkat berat bawah
75 kilogram di Sukan Paralimpik London 2012.



MUNGKIN ramai daripada kita sebelum ini tidak mengenali siapakah Hasihin Sanawi, 29, yang menjadi orang kurang upaya (OKU) setelah terbabit dalam kemalangan ketika bekerja di sektor pembinaan.




Nama beliau jarang disebut dan hanya mula dikenali apabila memenangi pingat perak dalam acara memanah, sekali gus menjadi pingat pertama Malaysia pada Sukan Paralimpik London 2012.




Begitulah nasib yang dialami oleh atlet OKU negara yang pencapaian mereka jarang dilaporkan media, tidak seperti Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong yang memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.




Kita juga jarang mendengar atlet OKU menjadi idola dan kisah kejayaan mereka menjadi bualan orang ramai. Sikap dwi standard masyarakat itu tidak sepatutnya terus menjadi amalan kerana kecekalan, semangat dan kesungguhan atlet OKU tidak kurang hebatnya berbanding atlet yang normal.




Jika lebih banyak latar belakang kehidupan dan pencapaian atlet OKU terbabit didedahkan kepada orang ramai, mungkin ia boleh dibukukan atau difilemkan untuk dijadikan contoh kepada rakyat seluruhnya.




Seorang lagi atlet paralimpik yang mencatatkan kejayaan cemerlang pada temasya itu ialah Muhamad Ziyad Zolkefli, 22, yang meraih gangsa bagi acara lontar peluru.




Beliau yang berasal dari Gombak, Selangor itu menghasilkan pingat kedua dan terakhir Malaysia pada temasya itu dengan lontaran sejauh 15.21 meter.




Memenangi pingat pada Sukan Paralimpik adalah suatu pencapaian luar biasa dan atlet terbabit seharusnya diberikan ganjaran sewajarnya dan pencen sepanjang hayat, bukan sekadar ucapan tahniah.




Seperti yang diumumkan setakat ini, atlet paralimpik terbabit akan diberikan ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) iaitu pemenang pingat emas dengan insentif RM300,000, perak (RM200,000) dan gangsa (RM100,000).




Jumlah yang diberikan adalah jauh lebih rendah berbanding pemenang emas Olimpik yang menerima RM1 juta, manakala perak dan gangsa masing-masing menerima RM300,000 dan RM100,000.




Apa yang menyedihkan, atlet paralimpik tidak mendapat pencen bulanan sepanjang hayat berjumlah RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa) seperti yang diberikan kepada pemenang pingat Olimpik.




Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menjelaskan kerajaan tidak akan memberi pencen kepada atlet yang memenangi pingat pada Sukan Paralimpik.




"Perlu diingat juga standard Sukan Paralimpik dan Sukan Olimpik jauh bezanya, jadi kita perlu realistik apabila membuat sebarang keputusan," katanya.




Ganjaran kewangan secara sekali hangus itu tidak berbaloi kepada atlet terbabit jika mereka tidak diberikan pendapatan tetap untuk meneruskan hidup.




Perkara itu terbukti seperti nasib yang dialami oleh empat lagi atlet paralimpik negara yang telah mencapai status jaguh peringkat dunia.




Mereka ialah individu yang telah menyumbang pingat sejak Malaysia menyertai temasya itu pada 1972 di Sukan Paralimpik Heidelberg, Jerman.




Rata-rata mereka yang sudah berusia terus diperah keringat untuk mewakili negara, sedangkan tiada sebarang jaminan mereka akan mendapat pendapatan tetap bulanan untuk menyara keluarga.




Mereka ialah jaguh angkat berat, P. Mariappan, 54, dari Melaka yang memenangi dua pingat gangsa bagi acara itu masing-masing pada Sukan Paralimpik Seoul 1988 dan Barcelona 1992.




Cheok Kon Fatt, 55, dan atlet buta, Mohd. Khasseri Othman, 44, turut menang pada Sukan Paralimpik Barcelona 1992 dengan masing-masing mendapat pingat perak bagi acara angkat berat kategori bawah 52 kilogram (kg) dan gangsa bagi acara lompat tinggi.




Pada Sukan Paralimpik Beijing 2008, atlet wanita, Siow Lee Chan, 41, turut menang pingat gangsa bagi acara angkat berat. Lee Chan dari Negeri Sembilan yang kedua-dua kakinya tidak berfungsi kerana serangan penyakit polio sejak berusia tujuh bulan ialah anak seorang penoreh getah.



Beliau yang menyara hidup dengan membuka kedai menjahit pakaian berjaya mengangkat berat 95 kg mengatasi pencapaiannya pada Sukan Paralimpik Athens 2004 dengan angkatan seberat 92.5 kg.




Mariappan dan Lee Chan yang bertanding pada Sukan Paralimpik London 2012, tidak memenangi sebarang pingat.




Setelah temasya itu tamat, Malaysia yang menghantar 23 atlet kekal di tempat ke-65 bersama Singapura setelah masing-masing memungut satu perak dan satu gangsa.




Turut mengalami nasib yang menyedihkan ialah atlet paralimpik negara yang menyumbang pingat pada Sukan Para Asia Guangzhou 2010 di China.




Walaupun telah menyumbang sembilan pingat emas, 13 perak dan 23 gangsa serta meletakkan Malaysia di kedudukan keenam terbaik daripada 51 negara, mereka tidak mendapat ganjaran seperti dijanjikan.




Dikatakan, mereka bakal menerima RM80,000 setiap seorang jika mendapat emas, RM40,000 (perak) dan RM20,000 (gangsa) tetapi jumlah sebenar yang diterima mereka hanya 30 peratus daripada nilai yang dijanjikan.




Kepada pihak kerajaan dan rakyat, jangan kita biarkan atlet paralimpik negara yang telah menjadi jaguh dunia terus dirundung nasib malang.




Lakukanlah sesuatu bagi membela nasib mereka, setidak-tidaknya nasib enam orang individu yang telah memenangi pingat sepanjang temasya Sukan Paralimpik peringkat dunia itu.




Buktikanlah kepada dunia bahawa dalam mengejar status negara maju, Malaysia juga tidak mengabaikan prinsip kesaksamaan.




Kepada pihak berkenaan, ingatlah kata-kata para bijak pandai iaitu anda hendaklah melayan orang lain sama seperti mana layanan yang anda harapkan daripada mereka.




Sumber


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...