Mewah Bahasa:
Basikal tak ada lantin
Lan: Pening kepalalah!!
Lan: Bukan pening tu ….
Lan: Ni, cuti sekolah ni ….
Ali: Kenapa pulak??
Lan: Anak-anak akulah, cuti sekolah ni duduk di rumah,
mulalah mengaruk nak itu nak ini!!
Ali: Yalah, cuti sekolah ni, risau juga anak-anak ni.
Emak bapak bekerja, tak tau apa mereka buat di rumah.
Sekarang ni kau tau ajelah, macam-macam gejala ada.
Eh!! Kalau pasal anak-anak ni, bukan kau seorang,
aku pun pening kepala juga ….
Lan: Anak-anak aku ni jenis tak suka duduk diam, anak jantan!!
Ni cuti sekolah ni minta belikan basikal sorang sebiji ….
Ali: Basikal??
Lan: A’aa …. Basikal, jenis budak-budak sekarang pakai tu!!
Ali: Alaa … belikan aje, kita dulu pun ada basikal juga sebiji sorang ….
Lan: Kita dulu tu lain, basikal tu keperluan!!
Ali: Habis tu, sekarang tak keperluan ke?
Lan: Dulu kita ada basikal sebab itulah kenderaan pergi ke sekolah,
bila ada basikal tu emak bapak senang sikit,
boleh suruh anak-anak pergi kedai beli itu ini,
boleh minta tolong pergi sana sini angkut barang, angkut orang!!
Ali: Hehehe … betul tu ....
Lan: Sekarang ni lain, cuti sekolah barulah nak pakai basikal.
Masa sekolah emak bapak hantar, kalau tak pun, naik bas sekolah.
Basikal ini fungsinya macam barang mainan aje.
Bukan keperluan lagi!!
Ali: Alaa … belikan aje la, boleh juga minta tolong ke kedai.
Lan: Senang kau cakap, sebiji harga dekat seribu!!
Ali: Belikan satu aje, si abang kayuh, adik duduk belakang.
Ganti-gantilah ….
Lan: Ali, basikal sekarang bukan macam dulu, basikal sekarang tak ada lantin!!
Ali: Tak ada lantin pun tak apa, bukannya nak berjalan malam.
Lagipun kawasan perumahan ada lampu jalan, tak perlu lantin lagi!!
Lan: Dah tak ada lantin, macam mana nak bawa orang??
Nak duduk atas apa? Tu yang kena beli satu sorang ….
Ali: Tak ada sangkut paut lantin dengan bawa orang!!
Lan: Lantin tu le tempat duduk orang ….
Ali: Orang tak duduk atas lantin laa …
beruk aje yang duduk atas lantin!!
Takkan kau nak anak kau duduk tercokoh macam beruk?!
Hehehehhe ... macam-macamlah kau ni ….
Lan: Ada pulak kau kata anak aku macam beruk??
Tak tentu pasal kena pulak seliang karang!!
Ali: Hehhee …. Habis tu kalau dah duduk atas lantin,
macam beruk panjat kelapa la. Dulu masa di kampung,
orang bawa monyet panjat kelapa duduk kat handle, kat lantin tu!!
Tapi kalau orang yang duduk atas lantin tu,
mau patah lantin tu … hehehhehe
Lan: Lantin bukan kat depanlah, bukan kat handle!!
Ali: Di mana pulak??
Lan: Kat belakanglah!!
Ali: Kalau di belakang, nak suluh apa??
Lan: Bukan nak suluh, tapi untuk bawa barang, bawa orang ….
Ali: Eh!! Lantin ni apa??
Lan: Apa pulak lagi, tempat duduklah!!
Tempat duduk belakang basikal tu, lantin le namanya.
Kau tak tau ke?
Ali: Laa … tempat duduk belakang tu ke?
Itu bukan lantin, itu gere, orang kampung aku panggil gere ….
Lan: Lantin ni pulak kau ingat apa?
Ali: Lantin ... lantin le, lantera.
Orang sekarang panggil lampu!!! Hehehee ….
Glosari
Lantin -
1- (Melayu lama) lampu
2- (dialek Perak) tempat duduk belakang basikal Gere
3 - (dialek Kelantan) tempat duduk belakang basikal
Nota Kaki
Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan
adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep
yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan
slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek
dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.
Prof Madya Dr Nor Hisham Osman
adalah Pensyarah Jabatan Linguistik,
Akademi Pengajian Melayu (APM),
Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment