Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, December 15, 2011

Belia patut sahut cabaran jadi 'superhero'




Belia patut sahut cabaran jadi 'superhero'



GENERASI muda negara ini terus menerima perhatian dan pengiktirafan daripada kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin menggelar golongan ini superhero kepada negara sebab mereka mempunyai kuasa mengubah dan jika semua superhero ini berganding tenaga dengan kerajaan, program transformasi negara lebih mudah menjadi realiti.


Kerajaan juga dilihat terus komited dalam menerima pandangan dan buah fikiran belia negara apabila Najib juga mengumumkan kerajaan sentiasa terbuka mendengar pandangan dan idea daripada belia dalam menjayakan setiap program transformasi negara.
Dalam menggalas tanggungjawab ini, cabaran terbesar orang muda ialah kebijaksanaan dalam menggunakan ruang dan platform yang disediakan kerajaan untuk mengeluarkan idea bernas dan mempunyai impak tinggi demi kelestarian kemajuan negara melalui program transformasi yang dilaksanakan, di samping melontarkan kritikan dan maklum balas membina yang datang dengan idea untuk menyelesaikannya.
Sikap keterbukaan dan kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf hak dan mendengar suara golongan ini tidak dapat dinafikan lagi. Misalnya baru-baru ini kerajaan bersetuju meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membenarkan mahasiswa berumur 21 tahun ke atas menjadi ahli parti politik.


Ini jelas memperlihatkan keseriusan kerajaan untuk turut membabitkan peranan belia dalam segenap program transformasi yang sedang dilaksanakan agar ia turut memenuhi kehendak dan harapan kelompok anak muda yang bakal menjadi generasi pelapis negara.


Ringkasnya, mereka mendapat ruang secukupnya untuk memberikan pandangan dan komen bersesuaian.


Justeru, apa yang diharapkan ialah belia kita akan lebih peka dan memainkan peranan lebih aktif dengan menyalurkan idea kreatif dan berinovasi untuk memajukan negara. Semoga harapan kerajaan terhadap belia tidak disia-siakan begitu saja. Oleh itu, belia kita perlu bangkit menyahut cabaran ini dengan membuktikan mereka mampu menggalas tanggungjawab mengemudi negara ini suatu hari kelak.


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED,


Universiti Putra Malaysia,


Selangor.





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...