Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, December 15, 2011

Malam Seni Taranum al-Quran


Malam Seni Taranum al-Quran

Antara penal juri pada Majlis Malam Seni Taranum al-Quran

di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, baru baru ini.






JOHOR BAHRU 14 Dis. – Keindahan alunan bacaan al-Quran merupakan suatu terapi jiwa yang sangat berkesan dan mampu memberikan ketenangan jiwa kepada setiap individu yang menghayatinya.



Dalam usaha untuk terus menyuburkan bacaan al-Quran dan melestarikan seni taranum dalam masyarakat, Yayasan Warisan Johor (YWJ) tampil sekali lagi menganjurkan Malam Seni Taranum al-Quran.



Seni taranum jika dilihat daripada perspektif ilmu adalah satu kaedah suara dipelbagaikan serta diistilahkan sebagai kaedah seni suara yang dibunyikan menerusi nada, rentak dan irama yang sangat lunak menggunakan kaedah tertentu bagi mencantikkan seni bunyi sesuatu bacaan khususnya al-Quran.




Di Malaysia, kaedah ini dikenali dengan nama Taranum al-Quran sempena sepotong hadis Rasulullah yang bermaksud,



“Apa yang diizinkan Allah


atas sesuatu itu ialah apa yang diizinkan


kepada nabinya yang selalu


mengelokkan lagu (taranum)


bacaan al-Quran.”



Malam Seni Taranum al-Quran yang dianjurkan itu merupakan kemuncak kepada Program Kesenian Islam yang direncanakan sepanjang tahun ini oleh Unit Kesenian Islam YWJ dan ia salah satu pendekatan kerajaan negeri melestarikan bacaan al-Quran serta seni taranum itu sendiri di kalangan anak muda.



Ketua unit tersebut, Abu Bakar Selamat berkata, program itu adalah susulan daripada kursus taranum yang diadakan sepanjang tahun ini dan ia diadakan di semua 10 daerah di negeri ini dan beberapa peserta terbaik dari setiap daerah dipilih mempersembahkan bacaan masing-masing di hadapan panel juri terdiri daripada pakar seni taranum.



“Jika dahulu program ini hanya dibuka kepada peserta dewasa sahaja tetapi kali ini ia turut dibuka kepada pelajar sekolah dan juga guru pengiring mereka yang mana guru mengiringi murid sekolah juga dikehendaki turut serta dalam kursus taranum disediakan itu.



“Setiap kumpulan pelajar sekolah yang terlibat akan dibahagikan mengikut kumpulan terdiri daripada empat pelajar dengan seorang guru pengiring. Bagi pelajar sekolah ini, kita minta pihak sekolah menyediakan pelajar yang memiliki asas taranum agar mereka mudah mengikuti kursus disediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.



Pada zaman keagungan Islam dahulu, ilmu taranum juga membangun serta mempunyai pelbagai aliran popular antaranya misri iaitu seni lagu al-Quran yang dipopularkan oleh qari dari Mesir dan kawasan sekitarnya, hijazi (Mekah dan Madinah), iraqi (Iraq dan kawasan sekitar), kurdi (Iraq dan Turki) dan ajami iaitu aliran dipopularkan oleh qurra yang bukan berketurunan Arab seperti Iran dan beberapa negara lain.



Kini aliran paling popular dan diterima di seluruh dunia ialah aliran misri. Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan mengubah suai taranum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu maqamat itu daripada aliran di atas mengikut budaya serta mengarabkannya untuk bacaan al-Quran.



Taranum asas dalam aliran misri terdiri daripada tujuh lagu iaitu al-bayyati, soba, hijaz, nahawand, rast, sikah dan jiharkah.



Abu Bakar berkata, seperti sebelum ini, para peserta pertandingan hanya akan mengetahui lagu yang bakal dibacakan ketika berada di atas pentas dan ia tidak mengikut susunan nada suara sebaliknya diberikan secara rawak.



“Seperti tahun lalu, mereka akan berlagu mengikut apa yang diminta oleh panel juri dan ia tidak mengikut susunan daripada nada rendah kepada yang tinggi seperti pertandingan taranum lain. Mereka mungkin akan menyampaikan bacaan menggunakan soba dan nahawand mungkin hijaz dan jiharkah.



“Selain bertaranum, mereka turut dinilai dari aspek ketepatan bacaan, hukum tajwid dan teknik penggunaan suara,” katanya.





Sumber







No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...