‘Mata terbakar’
GEORGETOWN: “Selepas ubat berkenaan dititiskan pada mata anak saya, dia menggelupur kesakitan serta mengadu matanya seperti dibakar,” kata Noorliza Abd Razak, 34, yang panik dan terkejut selepas menitiskan ubat untuk merawat mata anaknya dalam kejadian Selasa lalu.
Ibu kepada Nurqistina Qalysha Azmi, 3, itu berkata, anaknya terpaksa menanggung kesakitan hampir sejam selepas menggunakan ubat merawat sakit mata yang diambil dari Hospital Pulau Pinang (HPP), 12 Disember lalu.
Noorliza berkata, anaknya mengalami radang mata sejak enam bulan lalu dan sudah beberapa kali mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta, namun penyakit itu masih berlanjutan.
Dia membawa anaknya mendapatkan rawatan di sebuah klinik kerajaan di Bayan Baru sebelum mendapat surat rujukan ke HPP dan dirawat seorang doktor wanita sebagai pesakit luar.
“Selepas mendapat surat rujukan daripada doktor di klinik berkenaan, saya terus ke HPP dan menerima rawatan pesakit luar daripada seorang doktor wanita.
“Anak saya diberikan ubat titis dari kaunter farmasi dan pulang ke rumah. "
“Sehari kemudian, ubat berkenaan dititiskan pada mata anak saya dan saya panik Nurqistina menggelupur kesakitan,” katanya ketika ditemui di Jalan Bharu, Balik Pulau, semalam.
Noorliza merujuk perkara itu kepada petugas di farmasi HPP, namun diberitahu ubat itu bagi merawat sakit telinga.
“Petugas berkenaan juga berkata, kekuatan ubat itu 10 kali ganda dari ubat biasa sebelum saya menemui seorang lagi doktor di HPP bagi mendapatkan penjelasan.
“Doktor berkenaan berkata label ubat itu mungkin salah dilekatkan, namun selepas beberapa soalan diajukan, doktor itu mengaku ubat terbabit tidak sepatutnya diberikan kepada anak saya,” katanya.
Noorliza berkata, dia terkilan kerana doktor berkenaan menasihatinya supaya tidak membawa anaknya merujuk kepada pakar selain tidak memberi jaminan mengenai akibat yang akan ditanggung anaknya kemudian hari.
“Saya mahu doktor berkenaan memberi penjelasan mengenai kejadian itu serta berharap warga HPP lebih cekap menguruskan ubat pesakit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HPP, Dr Yasmin Sulaiman ketika dihubungi berkata, pengadu berkenaan perlu membuat aduan di HPP bagi memudahkan siasatan.
“Bagi kes ini, butir pengadu akan diambil selain perlu membawa bersama ubat yang diberikan doktor terbabit,” katanya.
No comments:
Post a Comment