Persatuan penulis persoal Interlok ditarik balik
Ketua Satu Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Jaafar Hamdan berkata, penarikan Interlok adalah kerugian besar dalam sejarah sastera Malaysia, selepas kemelut berpanjangan yang melandanya sebelum ini, apatah lagi ia tewas atas faktor politik.
Subramaniam ketika bercakap dengan media di Melaka menjelaskan penarikan sepenuhnya Interlok diharap dapat diterima oleh semua pihak, sekali gus menamatkan kontroversi berpanjangan yang timbul berhubung penggunaan teks KOMSAS terbabit.
Meskipun MIC menyifatkan penarikan balik Interlok sebagai teks KOMSAS sebagai ‘jalan damai’, namun penggiat sastera menganggap kontroversi Interlok disengajakan kelompok tertentu sehingga berlaku ‘penghinaan’ terhadap karya sastera garapan pengarang besar Malaysia yang turut memuatkan fakta sejarah awal negara ini.
Jaafar menyifatkan, usaha membangkitkan semula isu Interlok yang sepatutnya sudah selesai sebaik Kementerian Pelajaran mempersetujui melakukan beberapa ‘permurnian’ terhadap teks terbabit, memperlihatkan kemenangan kepada satu pihak saja.
“Kami berharap segala kemelut yang pernah melanda Interlok dan penarikan selepas persetujuan dibuat berhubung pemurnian bagi memenuhi tuntutan kelompok yang sengaja memandang novel itu secara serong tidak menyebabkan Kementerian Pelajaran serik untuk mengangkat naskhah sastera berat sebagai teks KOMSAS,” katanya.
Ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Rita Robert Rawantas pula, menyifatkan penarikan Interlok sebagai teks KOMSAS paling menyedihkan dalam sejarah sastera Malaysia.
“Mungkin di Semenanjung apa yang diceritakan adalah sesuatu yang asing, tetapi kami di Sabah sudah biasa dengan pembauran etnik dan dalam masa sama hidup harmoni sesama kami dapat dikekalkan. Teks sastera adalah sastera sifatnya dan ketika ia dimurnikan dulu pun saya tidak bersetuju.
“Penggunaan perkataan tertentu yang disifatkan kelompok yang sengaja menjadikan perkara itu sebagai isu sebenarnya tidak bersifat perkauman sama sekali, jika seseorang itu menilai dan melihatnya daripada sudut sejarah yang dicerekakan,” tegasnya.
Bendahari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Rahimidin Zahari menyifatkan langkah menarik Interlok daripada menjadi teks KOMSAS sebagai tidak wajar dan membazirkan tenaga yang sudah dicurahkan jawatankuasa bagi mengkaji kewajaran pengekalan Interlok.
“Bukankah kerajaan sudah bersetuju ia dimurnikan dan sejumlah wang sudah dikeluarkan untuk proses itu. Justeru isu ini sebenarnya sepatutnya timbul,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment