Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, November 30, 2011

UTHM jadi IPT pertama tubuh Briged Relasis



UTHM jadi IPT pertama tubuh Briged Relasis




HISHAMMUDDIN Tun Hussein (tengah) menyempurnakan
simbolik pelancaran buku mengenai
Panduan Briged Relasis di UTHM, Batu Pahat,
baru-baru ini.




BATU PAHAT 29 Nov. - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diberi kepercayaan oleh Ikatan Relawan Rakyat (Rela) untuk menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama menubuhkan Briged Rela Siswa Siswi (Relasis).




Seiring penubuhan briged itu, UTHM dengan kerjasama Rela telah mereka bentuk dan menyediakan buku mengenai Panduan Briged Relasis IPT sebagai rujukan dalam melaksanakan penubuhan Relasis di IPT lain di seluruh negara.




Tambah membanggakan, buku panduan itu telah dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada majlis Penganugerahan Pangkat Pegawai Kehormat Rela UTHM di kampus universiti itu di sini baru-baru ini.




Hishammuddin dalam ucapannya pada majlis itu menyeru golongan belia agar membuka minda mereka untuk turut sama menjadi anggota beruniform bagi membangkitkan lagi kesedaran mereka dalam usaha mempertahankan negara.




"Relasis adalah salah satu daripadanya. Dengan menyertai badan beruniform ini, golongan belia yang terdiri daripada kepelbagaian majmuk dapat 'diikat' menjadi satu kumpulan yang kuat demi kestabilan negara," katanya.




Sementara itu Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, walaupun penubuhan Relasis masih di peringkat awal, jumlah pelajar yang berminat menyertainya amat membanggakan.




"Setakat ini Relasis UTHM mempunyai seramai 344 anggota dan jumlah pengambilan tersebut akan bertambah lagi selaras dengan pertambahan pelajar dari masa ke semasa," katanya.




Mohd. Noh berkata, walaupun Relasis dianggotai penuntut universiti, UTHM turut melantik 23 staf akademik dan bukan akademik sebagai Pegawai Kehormat Rela Universiti yang akan bertindak sebagai mentor.




Beliau berharap penyertaan dalam pasukan beruniform seperti Relasis akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai disiplin tinggi, bertanggungjawab terhadap keselamatan dan keamanan negara selain mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.







Teruskan membaca..

Nazmi alami ‘masalah misteri’



Nazmi alami ‘masalah misteri’


Muhammad Nazmi Faiz Mansor (tengah) membuktikan kemampuannya
apabila menjaringkan gol pertama pasukan negara sebelum tewas 2-3
kepada Bahrain pada Kelayakan Olimpik Ahad lalu.




KUALA LUMPUR – Aksi pemain bintang muda dalam pembikinan, Muhamad Nazmi Faiz Mansor pada bahagian tengah skuad bola sepak negara tampak begitu sempurna.



Dia lincah, pantas dan kerap mencipta peluang gol ketika beraksi.



Bakat pemain berusia 17 tahun itu kian diperkatakan setelah membantu skuad negara memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA XXVI, baru-baru ini.



Namun, masa depan Nazmi boleh terjejas kerana dia mengalami ‘masalah misteri’ iaitu tidak mampu beraksi sepanjang 90 minit perlawanan.



Ini disebabkan dia akan mengalami kekejangan otot kaki jika beraksi terlalu lama.



Itulah yang berlaku ketika dia beraksi menentang Bahrain pada perlawanan Kelayakan Olimpik Ahad lalu, apabila terpaksa dikeluarkan pada kira-kira 20 minit akhir perlawanan.



Masalah misteri yang membelanggu Nazmi diakui jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee.



Menurutnya, Nazmi memang mengalami gangguan misteri pada otot jika beraksi terlalu lama sehingga tidak mampu untuk menamatkan 90 minit perlawanan.



“Ia bukan masalah yang biasa dialami oleh pemain bola sepak. Malah, tidak ada pemain tempatan yang mengalami masalah sedemikian.



“Ini bukan bermakna dia tidak cukup cergas tetapi masalah kekejangan otot yang menghalang dia daripada memberikan aksi maksimum.



“Masalah ini jarang berlaku tetapi memang ada beberapa pemain terkemuka dunia yang mengalaminya,” katanya.



Menurut Kim Swee, demi memastikan bakat Nazmi dapat dikembangkan, dia mula mengatur langkah memulihkan masalah yang dialami pemain itu.



“Saya telah maklumkan kepada pihak Institut Sukan Negara (ISN) secara lisan mengenai masalah yang dialami Nazmi sebaik sahaja tamat perlawanan menentang Bahrain tempoh hari.



“Masalah yang dialami oleh Nazmi boleh diatasi melalui sokongan ISN,” katanya.



Nazmi menjaringkan gol pertama pasukan negara ketika menentang Bahrain Ahad lalu sebelum akhirnya Malaysia tewas 2-3.



Tambah Kim Swee, Nazmi mempunyai masa depan cerah, sekiranya pemain itu dapat beraksi dengan baik tanpa gangguan masalah kejang otot.



“Kita harus segera mencari penyelesaian kepada masalah yang dialami pemain ini untuk membolehkannya selesa beraksi dalam prestasi terbaiknya,” jelasnya.










Teruskan membaca..

Perluaskan kelab robotik di seluruh negara


Kelab robotik di semua sekolah

Pelajar sekolah rendah dari Kuala Lumpur menjulang piala
yang dimenangi apabila diumumkan sebagai johan keseluruhan
Pertandingan Robothon Muda Kebangsaan Ke-6 di Pulau Pinang, semalam.
– BERNAMA



PULAU PINANG 28 Nov. – Kementerian Pelajaran akan memperluaskan kelab robotik di seluruh negara pada tahun depan bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi.




Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kementerian baru-baru ini dan dipersetujui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.




Jelasnya, setakat ini hanya 500 daripada 10,000 sekolah rendah dan menengah mempunyai kelab robotik dan jumlah tersebut dilihat agak rendah.




“Lantaran itu, kita mahu memperkembangkan pendidikan robotik ini kerana ia akan memberikan kesan positif untuk membina daya fikir, saing dan juga semangat berpasukan di kalangan para pelajar.




“Tambahan pula, kelab ini adalah penting dan selaras dengan transformasi pendidikan iaitu memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan dan tidak lagi berasaskan kepada peperiksaan semata-mata,” katanya.




Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Robothon Muda Kebangsaan Ke-6 di sini hari ini.




Pada perkembangan sama, Mohd. Puad berharap semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta syarikat swasta dapat membantu sekolah dalam menubuhkan kelab berkenaan.




Ia kerana, kata beliau, kos untuk menubuhkan sebuah kelab robotik adalah kira-kira RM20,000.




Sementara itu, sebanyak 120 kumpulan dari beberapa sekolah rendah di seluruh negara menyertai pertandingan tersebut.




Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur berjaya memenangi tempat pertama dalam tiga kategori iaitu Lycantron NXT, Galacticon RCX dan Galacticon NXT.




Manakala, SJKC Yuk Chai, Selangor menjuarai kategori Lycantron RCX.








Teruskan membaca..

... Gelong gaeng









Mewah Bahasa:



... Gelong gaeng




Jamal: Eh, Fendi!!
Lama juga kita tak jumpa yea?




Fendi: A’aa … banyak tahun juga.
Eh! Kau aku tengok dah lain sikitlah ….




Jamal: Memanglah lain daripada dulu, dah semakin tua!!
Hahahaha ….




Fendi: Hahaha ... memang umur semakin tua
tapi aku tengok kau macam dah bertambah muda!!





Jamal: Tambah muda??
Mana ada umur makin lama jadi makin muda!!
Matematik jenis apa yang kira makin lama
makin kurang ni?!! Hehehe ….





Fendi: Bukan apa aku kata macam tu,
aku perasan yang kau ni dah nampak lebih muda
daripada kali terakhir kita jumpa.
Dulu perut boroi, muka nampak pucat semacam je ....





Jamal: Hehehe … sekarang??




Fendi: Dah tak boroi lagi aku tengok, dah kempis!!
Muka pulak dah berseri dan tak pucat lagi,
orang putih kata dah warna tan!!





Jamal: Eh!! Mana pula kempisnya, ada lagi ni lemak ni ....



Fendi: Hehehe … Memang ada tapi tak le macam dulu.
Macam mana kau buat hilangkan lemak tu
dan nampak lebih berseri dan cergas ni?





Jamal: Hehehee … memang betul tu,
aku berjaya kempiskan perut dan sekarang
terasa lebih cergas dan sihat!!
Dulu badan gelebeh dan rasa tak sihat aje
memanjang sebab tak aktif.
Pejabat duduk dalam aircond,
balik makan dan tidur, itu aje rutin harian,
mana badan tak lembik!!




Fendi: Kau pergi gim ke??



Jamal: Tak!! Aku main basikal sekarang ni ….



Fendi: Basikal??



Jamal: Ha’ah … basikal, tapi bukanlah basikal
yang macam kita pakai pergi
sekolah dulu tu ….




Fendi: Aku tau le, selalu juga aku tengok
sekarang ni orang naik basikal
ramai-ramai kat highway. Siap dengan
pakaian keselamatan lengkap ….





Jamal: Kau tak minat ke??
Boleh pertingkatkan kesihatan dan kecergasan badan.




Fendi: Minat juga, tapi tak ada kawan.



Jamal: Haa … Kalau gitu masuk geng aku le,
kita menunggang bersama.
Selalunya hujung minggu atau cuti umum.




Fendi: Ok, hujung minggu ni aku ikut kau!



Jamal: Eh!! Kau ada basikal ke??




Fendi: Tak ada le lagi ….



Jamal: Abis tu nak ikut macam mana?




Fendi: Eh! Betul gak ek?!



Jamal: Camnilah … hari Sabtu ni
ikut aku pergi kedai basikal.
Kita tengok yang mana sesuai
dengan kau dan bajet kau.






Fendi: Ok gak tu, tapi tak menyusahkan kau ke?




Jamal: Aku memang nak pergi pun ….




Fendi: Nak beli lagi?




Jamal: Tak, nak repair basikal aku ni.




Fendi: Rosak ke?




Jamal: Ha’ah …. rosak sikit.
Jatuh minggu lepas terlanggar anjing, tayar gelong ….




Fendi: Gelong? Tayar ke?




Jamal: Tayar dah gelong, rimnya gaeng!
Kalau boleh nak repair je,
tapi kalau tak boleh, tukar baru le ….




Fendi: Kan ke tayar basikal tu bulat,
nak repair macam mana pulak lagi??





Jamal: Memang le tayar tu bulat, tapi dah gelong ….



Fendi: Tayar tu memang berbentuk gelung, kan??



Jamal: Memang le berbentuk gelung, tapi dah gaeng …
Jalan pun jadi gelong!!




Fendi: Tak faham aku, ini istilah basikal ke??



Jamal: Bukan istilah basikal, tapi bahasa kampung aku le,
bahasa orang Perak!!




Fendi: Laa … patutlah aku tak faham.
Cakaplah bahasa Melayu betul,
bahasa Melayu baku!




Jamal: Aku tak tau apa namanya dalam bahasa Melayu baku!
Dalam dialek aku, aku tau le. Hehehe ….




Fendi: Hah!! Apa maknanya gelong gaeng tu??



Jamal: Rim tayar basikal aku tu dah tak rata,
dah bengkok, itu le yang orang Perak kata dah gaeng.
Bila dah gaeng ni, tayar tu bergolek tidak sempurna,
keadaan itulah yang dikatakan gelong.




Fendi: Ooo … tayar tu bergolek tak lurus le yek?!




Jamal: Hah!! Tau pun!! Kau tau ke,
dalam bahasa Melayu baku panggil apa tu?




Fendi: Entah!! Aku pun tak tau.
Kalau susah sangat kita guna ajelah dialek Perak tu … hehehee
....




Nota Kaki





Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan
adanya beberapa cara untuk menyampaikan
sesuatu konsep yang sama dengan perkataan
berbeza disebabkan perbezaan slanga,
dialek, taraf sosial dan generasi.
Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa
pertuturan yang mungkin tidak sama
dengan tatabahasa baku.




Bersama Prof Madya Dr Nor Hisham Osman






Prof Madya Dr Nor Hisham Osman



adalah Pensyarah Jabatan Linguistik,




Akademi Pengajian Melayu (APM),



Universiti Malaya.










Teruskan membaca..

Pemikiran kritis pencetus budaya inovasi


Pemikiran kritis pencetus budaya inovasi


PEMIKIRAN kritis adalah satu kemahiran pemikiran penting yang perlu dikuasai rakyat sesebuah negara yang inginkan kemajuan. Kegagalan sesebuah negara melahirkan generasi pelajar yang berfikiran kritis akan menyekat lahirnya inovasi. Inovasi hanya boleh tercipta jika negara mempunyai rakyat berfikiran kritis dan tidak menerima sesuatu seadanya.



Orang yang berfikiran kritis sentiasa memikirkan secara mendalam bagaimana sesuatu perkara boleh diperbaiki walaupun kadangkala ia terpaksa menongkah arus. Saya amat bersetuju dengan pandangan Tan Sri Tony Fernandes yang menyatakan pemikiran kaku dan sikap tidak mahu berubah akan membunuh budaya inovasi. Seterusnya beliau menyarankan supaya persekitaran yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang lahirnya idea yang boleh dikembangkan.



Sistem pendidikan di Malaysia sejak dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi meraikan pemikiran kritis. Sebagai contoh, pada peringkat pengajian tinggi, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dengan jelas menggariskan satu objektif ia dirangka ialah untuk melahirkan graduan inovatif yang berfikiran analitikal dan kritikal. Kaedah pembelajaran yang berasaskan masalah diperkenalkan di universiti kerana kajian menunjukkan kaedah ini berupaya melahirkan pelajar yang berfikiran kritis.
Apa yang membimbangkan saya ialah keselarian di antara penekanan kepada pemikiran kritis dan tahap penerimaan masyarakat terhadapnya. Selepas usaha yang jitu untuk melahirkan generasi yang berfikiran kritis, bagaimana pula penerimaan masyarakat terhadap generasi yang berfikiran kritis? Adakah persekitaran yang ada selari dan kondusif untuk orang yang berfikiran kritis memberikan sumbangan? Jika persekitaran yang ada tidak menyokong dan meraikan orang yang berfikiran kritis untuk terus memberikan idea, maka sia-sialah usaha gigih kerajaan menerapkan pemikiran kritis di dalam sistem pendidikan negara.







Saya juga bersetuju dengan pandangan Profesor Datuk Dr Zaini Ujang bahawa inovasi dilakukan tidak semestinya terikat kepada bidang kepakaran kita saja. Kita bebas untuk memberikan pendapat asalkan ia mampu untuk mewujudkan proses penambahbaikan.







Secara peribadi, saya amat bertuah kerana bekerja di organisasi yang mempunyai budaya komunikasi terbuka yang membolehkan pendapat diberikan tanpa mengira kedudukan di dalam organisasi. Saya juga bertuah kerana banyak juga organisasi, malah pihak kepemimpinan tinggi negara menerima baik idea yang pernah saya kemukakan. Apa yang merisaukan saya ialah budaya ini masih terbatas di sesetengah organisasi lain. Pada pendapat saya, sikap enggan berubah ini amat berbahaya kepada kelangsungan organisasi itu.







Saya ingin menyarankan agar kempen diadakan untuk menyedarkan masyarakat bahawa pemikiran kritis bukanlah negatif, tetapi pencetus kepada budaya inovasi.








AMIN ALI,



Pensyarah Kanan



Pusat Pengajian Perakaunan



Universiti Utara Malaysia.








Teruskan membaca..

Shell pupuk pelajar jadi pengguna jalan raya yang bijak



KL, Terengganu juara keseluruhan


Pasukan Terengganu dan WPKL bergambar dengan tetamu jemputan selepas ditabalkan sebagai juara keseluruhan  bersama dalam Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Shell Sekolah-sekolah Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pasukan Terengganu dan WPKL
bergambar dengan tetamu jemputan
selepas ditabalkan sebagai juara keseluruhan
bersama dalam Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Shell
Sekolah-sekolah Malaysia 2011
di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




Shell pupuk pelajar jadi pengguna jalan raya yang bijak



PERTANDINGAN Pendidikan Lalu Lintas
Shell Sekolah-sekolah Malaysia 2011 mencatat sejarah tersendiri apabila pasukan yang mewakili dua negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Terengganu, dinobatkan sebagai juara keseluruhan.




Kemenangan itu diumumkan selepas kedua-dua pasukan berkenaan memperoleh jumlah markah sama pada pertandingan akhir berlangsung di Litar Lalu Lintas Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Program anjuran bersama Shell Malaysia, Kementerian Pelajaran dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) membabitkan kuiz komputer, ujian bertulis dan pertandingan litar.



Latihan amali di litar yang juga acara utama dibahagikan kepada kategori pejalan kaki, penunggang basikal dan pemandu kereta pedal.



Markah yang dikumpul pada pertandingan litar bagi sekolah rendah dan menengah dicampurkan untuk memilih juara keseluruhan.



Kategori sekolah rendah menyaksikan pasukan Negeri Sembilan menduduki tempat pertama diikuti Terengganu kedua dan Melaka ketiga. Pasukan WPKL mengungguli kategori sekolah menengah diikuti Perak kedua dan Melaka ketiga.




Pemenang pertama, kedua dan ketiga setiap kategori masing-masing menerima wang tunai RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 serta trofi, medal, hadiah iringan dan sijil penyertaan.




Hadiah disampaikan Yang Dipertua MKJR WPKL yang juga Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup.




Hadir sama Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, Shell Malaysia, Rowina Ghazali dan Timbalan Pengarah, Jabatan Pelajaran WPKL, Tajudin Mohd Mor.




Pasukan WPKL mengekalkan gelaran juara tahun lalu, menyifatkan kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua ahli pasukan yang sama-sama mengatur strategi mengurangkan bilangan saman sepanjang menyertai pertandingan amali di litar.




Ketua pasukannya, Muhamad Aizat Maszalan, berkata setiap ahli pasukan sentiasa diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan sebarang kesalahan yang mungkin boleh menyebabkan disaman.




Strategi itu, kata pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John ini, berjaya meminimumkan saman kesalahan trafik yang diterima pasukan sekolah menengah sehingga membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan.




“Walaupun pasukan sekolah rendah WPKL tidak berada di tiga tempat teratas, kami tetap berbangga dengan mereka kerana masih menunjukkan semangat juang, keyakinan tinggi dan kerjasama padu.




“Pasukan kami memiliki kelebihan kerana berpeluang berlatih di litar yang menjadi lokasi pertandingan peringkat kebangsaan,” katanya.




Sementara itu, Rowina dalam ucapannya, berkata Shell memperuntukkan lebih RM1 juta setiap tahun bagi menjayakan program berkenaan di seluruh negara.




Beliau berkata, program bertujuan mendidik peserta terutama generasi muda menjadi pengguna jalan raya yang mengutamakan aspek keselamatan setiap masa.







Teruskan membaca..

Tuesday, November 29, 2011

Menuju Kecemerlangan





Konflik berterusan


boleh halang kecemerlangan kerja

Perselisihan faham cetus perdebatan perlu dikawal



KITA sering berdepan pelbagai cabaran serta konflik dalam usaha mencapai kepuasan dan kecemerlangan kerja. Ibarat menuju satu destinasi, jalan dilalui ada yang lebar dan sempit, ada yang lurus dan berliku, menaiki dan menuruni bukit serta curam, indah pemandangan dan sebaliknya.
Begitu persekitaran kerja dalam mencapai destinasi kecemerlangan. Malah, salah satu faktor yang boleh menghalang kecemerlangan organisasi adalah konflik berterusan yang tidak diurus atau ditangani dengan baik.
Konflik daripada bahasa Latin ‘confligere’, bermaksud perselisihan atau pertentangan antara individu. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor perbezaan sama ada pemikiran, peranan, tanggungjawab, akhlak atau cara bertindak dan hasrat yang ingin dicapai.






Termasuk perbezaan pandangan, persepsi, pemahaman, pengetahuan, pendirian, pengalaman, ideologi, keinginan, matlamat, sifat atau sikap yang membentuk perbezaan peribadi dan tabiat. Dalam organisasi, konflik boleh berlaku sesama staf, dengan subordinat atau pengurusan atasan.






Konflik berlaku disebabkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan, arahan kerja, gaya komunikasi, agihan tugas, sempadan tanggungjawab atau bidang kuasa, perubahan matlamat, peraturan, pertindihan tugas dan perebutan ganjaran yang terhad.






Kepelbagaian ini dengan mudah menjuruskan individu kepada konflik yang jika berlarutan mampu mengundang perbalahan, permusuhan dan mengakibatkan pelbagai salah laku pentadbiran seperti ketidakcekapan, ketidaktelusan yang merugikan seluruh organisasi.
Islam mengakui perbezaan suatu tabii dan mempunyai hikmah dari rahmat Allah.





Firman Allah yang bermaksud:




“Kalau Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itu mereka terus menerus berselisihan. Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, untuk itu Allah menjadikan manusia dan dengan demikian sempurna janji Tuhanmu.” (Surah Hud, ayat 118-119)






Menurut Dr Taha Jabir al-Alwani, perbezaan yang membawa kepada perselisihan terkandung dalam pelbagai istilah seperti al-khilaf (perbezaan pendapat), al-Khusumah (permusuhan atau perbalahan) dan al-Jidal (perdebatan).






Prinsip akhlak membenci perbezaan membawa kepada konflik permusuhan dan perbalahan berpanjangan yang melemahkan serta meragut kekuatan dinamakan Profesor Dr Yusof al-Qaradhawi sebagai perbezaan atau kepelbagaian pertentangan.






Khususnya dalam masalah kecil dan sampingan atau hukum furu’ kerana Islam menganjurkan sifat saling menghormati serta menghargai.






Firman Allah yang bermaksud:




“Dan taat kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan dan bersabar (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati).
Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)






Apabila perbezaan dapat diurus dengan baik dan berkesan, ia akan memberi banyak manfaat. Menurut Profesor al-Qaradhawi, perselisihan memberi kesempatan dan ruang untuk memilih pandangan yang baik, tepat serta berijtihad.






Konflik sifatnya provokatif dan menarik tindak balas orang ramai untuk memberi pandangan. Kehangatan konflik merangsang individu berfikir dan mencari idea alternatif. Tetapi perlu dikawal dan dikendalikan dengan berhemah supaya tidak mencetuskan perdebatan tidak sihat serta menjejaskan integriti staf.






Menghadapi konflik, kita perlulah terlebih dulu mengesan puncanya. Dari situlah beberapa langkah penyelesaian diusahakan. Antara panduan menguruskan konflik di tempat kerja ialah menyemarakkan kesedaran dan sistem bekerja secara berpasukan berpandukan matlamat organisasi.






Kedua, bagi konflik yang dicetuskan faktor peribadi seperti ego, bangga diri, salah sangka terhadap staf lain, tuduhan atau kenyataan tanpa asas dan bukti, berfikiran sempit serta fanatik, maka perlu diingatkan untuk kembali kepada asas akhlak.






Langkah mengukuhkan penerapan nilai teras seperti ikhlas, jujur, amanah, toleransi, hormat menghormati, mengamalkan kesederhanaan, muafakat, keterbukaan dan positif minda dalam organisasi perlu diberi keutamaan.






Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:




“Jauhilah kamu dari prasangka kerana ia kata-kata dusta. Jangan saling mencurigai, menghasut, iri hati dan saling membenci. Dan jadi kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari)





Ketiga, membina semangat setia kawan bertujuan mengeratkan silaturahim dalam organisasi.






Keempat, menyediakan ruang atau sistem maklum balas kualiti menyampaikan pandangan atau ketidakpuasan hati secara berhemah serta merapatkan jurang komunikasi.






Kelima, menyediakan khidmat pakar atau kaunseling dan keenam, tindakan disiplin bersesuaian dengan peraturan seperti memberi amaran, mengeluarkan surat peringatan, menggantung kenaikan dan sebagainya.






Tujuannya adalah menjaga kepentingan umum dan menolak kemudaratan supaya matlamat organisasi tercapai dalam suasana harmoni.






Kaedah masyhur Sheikh Muhammad Rasyid Ridha yang turut dipersetujui Imam Hassan al-Banna boleh dijadikan panduan berorganisasi iaitu, bekerjasama dalam masalah yang sudah disepakati dan saling bertolak ansur dalam masalah yang diperselisihkan.







Oleh Sharifah Hayaati



Penulis ialah pensyarah di



Jabatan Siasah Syar’iyyah,


Akademi Pengajian Islam,


Universiti Malaya










Teruskan membaca..

Monday, November 28, 2011

Ubat Penenang





Ubat Penenang






FAUZAN Sanip anak tunggal seorang jurutera di Bangi. Fauzan mempunyai kebolehan menghafaz al-Quran dan tubuh badan yang tegap. Dia biasa hidup penuh dengan kemewahan sehingga mampu memiliki apa sahaja yang dihajati.





Keghairahan bergembira telah menyebabkan dia telah beberapa kali dibuang sekolah kerana sering melawan guru dan melakukan pelbagai kesalahan bergaduh dengan murid yang lebih besar sehingga mengancam keselamatan murid lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Raja, Kajang, Selangor.





Kestabilan kewangan keluarganya mendorong Fauzan bebas, sering keluar rumah, merayau dan membelanjakan wang dengan jumlah yang sangat banyak melebihi RM120 sehari untuk makan dan membeli peralatan yang digemari. Mutakhir ini hampir pada setiap hari Fauzan keluar malam. Fauzan mulai terbabit dengan lumba haram di sekitar Sepang.





Fauzan sering ditahan polis kerana memandu laju, tiada lesen memandu dan di bawah umur. Tingkah laku Fauzan menjadi semakin ganas telah menimbulkan kebimbangan ibu bapanya.





Bapanya nekad bertindak membawa Fauzan untuk mendapatkan rawatan daripada Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.





Sejak 2008 Fauzan menjalani rawatan itu kerana Fauzan mengalami emosi tidak stabil.





Tabiat Fauzan semakin buruk dan dia mula mengganggu guru-guru menjadikan suasana di sekolah kurang aman, Kelakuan Fauzan sering menyebabkan kebimbangan guru dan rakan-akan di sekolah. Mereka merasakan keselamatan mereka sentiasa terancam.





Malah penduduk Kampung Jumaat turut bimbang di atas kehadiran Fauzan. Akhirnya Pengetua SMK Kota Raja telah mengambil tindakan membuang Fauzan dari sekolah kerana sering ponteng dan mengganggu keselamatan murid lain, bergaduh dan membuli murid lain walaupun Fauzan akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini.





Sepanjang rawatan itu Fauzan telah ditahan di Pusat Perubatan. Setelah menjalani rawatan, kini dia semakin pulih tetapi perlu mengambil ubat penenang yang menyebabkan dia mengantuk dan tidak dapat hadir ke sekolah seperti murid lain.





Tindakan:





Pengawai di Jabatan Pelajaran bertindak menasihati ibu bapa Fauzan kaedah yang boleh dilaksanakan untuk pertukaran sekolah Fauzan. Jabatan menasihati untuk memastikan persekolahan Fauzan tidak terganggu.





Jabatan menasihati berdasarkan keperluan undang-undang berikut:





Walau bagaimanapun guru besar atau pengetua hendaklah menerima masuk murid yang adalah warganegara ke sekolah untuk menerima pendidikan PU (A) 275/98 dipinda oleh PU (A) 445/07.





Ibu bapa murid perlu mengemukakan dokumen sokongan mengikut Seksyen 96 sepertiTulisan dan perbahasan berkenaan dengan tulisan adalah termasuk cetakan, litografi, tulisan taip, gambar, foto dan lain-lain cara menyatakan atau menurunkan perkataan, rajah dan angka dalam bentuk yang boleh dilihat.





Murid perlu menandatangani perjanjian berkelakuan baik di hadapan pengetua baru.





Semua murid adalah tertakluk kepada bahagian 2 (Perkara 5)(i) kebebasan Asas, tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.





Permohonan Rayuan Bersekolah Semula Fauzan telah dirujuk ke Unit Hal Ehwal Murid. Unit Hal Ehwal Murid setelah menerima permohonan rayuan Bersekolah semula dan telah memanggil murid untuk menjalani sesi kaunseling.





Fauzan akhirnya ditempatkan semula di sekolah berhampiran berdasarkan kesesuaian serta kesediaan Fauzan belajar dan menyesuaikan persekitaran yang baru di sekolah baru. Diharapkan persekitaran baru ini mampu untuk memberikan pengalaman dan mengurangkan tekanan kepada Fauzan.





Pengajaran:





Ibu bapa mungkin boleh menyakinkan pengetua mengenai status penyakit anaknya namun kesan penyakit yang dihidapi Fauzan tidak dapat diterima oleh guru dan rakan-rakannya. Fauzan dianggap seorang yang berbahaya dan boleh mengancam keselamatan sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Fauzan dan keluarganya perlu mnerima hakikat itu dengan hati yang terbuka. Fauzan perlu menyedari bukan semua yang dimiliki dikuasai sepenuhnya, semua yang dinikmati kekal selama-lamanya dan semua yang diidamkan diperolehi sempurna.





Persoalan:





Ibu bapanya mungkin terasa sampai bilakah Fauzan akan sembuh dan menjalani kehidupan seperti murid lain.





Mengapa pusat perubatan tidak menahan Fauzan seperti pesakit lain walaupun Fauzan ternyata menjadi ancaman kepada rakan, guru dan keselamatan orang lain.





Adakah apa yang menimpa Fauzan satu pembalasan dosa ibu bapanya yang lalu?





Akhirnya:




Walaupun ibu bapa Fauzan merupakan orang yang dihormati dan keluarga berada di Bangi tetapi mereka perlu mengambil perhatian keadaan kesihatan anaknya supaya tidak membahayakan atau mengancam orang awam lain. Dia memerlukan rawatan jiwa yang sistematik dan berterusan supaya tidak menimbulkan gangguan kepada rakan sebaya, masyarakat sekitar dan keluarganya. Setelah menerima rawatan yang betul dan berterusan Fauzan semakin sihat dan diterima oleh rakan serta guru di sekolahnya.




Nasihat:



Setiap ibu bapa berhak memberikan kemewahan kepada anak kesayangan mereka mengikut kemampuan masing-masing. Bagaimanapun mereka perlu memerhatikan segala perubahan tingkah laku anak-anak mereka. Mereka perlu mendapatkan pandangan daripada orang yang pakar dan mahir mengenai perubahan itu supaya tidak terlambat dan kronik.








Teruskan membaca..

Powerful Inspirational true story...Don't give up!


















Setiap jalan yang kita lalui
tidak pernah sama dengan orang lain.
Justeru itu,
untuk sampai tujuan ,
kita harus mempercayai
setiap langkah yang kita buat.





Kita tidak akan pernah gagal jika kita percaya
bahawa setiap kejadian yang tidak sesuai keinginan kita
adalah alternatif lain untuk mencapai tujuan
yang tidak terfikirkan oleh kita sebelumnya.





Jangan lupa membalik telur goreng anda
dan jangan pandangi satu sisi saja nescaya
bahagian bawah telur anda kosong.
Jangan lupa selalu melihat sesuatu peristiwa
dari dua sudut agar anda lebih memahami.





Teruskan membaca..

Tempe Malaya





Cerpen:



Tempe Malaya





Oleh


Mohd Haniff Mohammad Yusoff




pix_gal0



"MULAI hari ini, saya tidak mahu lagi penduduk kampung menggunakan tempe dalam masakan kita!"


“Tok, apa salahnya kita menggunakan tempe dalam masakan kita. Bukankah lebih sedap?”



“Saya tidak gemar kita menggunakan makanan dari negara seberang dalam masakan kita.”



“Tok, bukankah kita telah lama merasai kesedapan tempe dan di Malaysia mudah sekali untuk memperolehnya.”


Ketua Kampung meninggalkan dewan tanpa membalas kembali persoalan Seman, salah seorang ahli jawatankuasa penduduk kampung. Dia kebingungan apabila ketua kampung mengeluarkan kenyataan sebegitu. Padahal, perut seluruh penduduk kampung di situ sudah sebati dengan tempe. Seman pun mengangkat kaki meninggalkan dewan. Malam nanti, sesudah Isyak, dia perlu mengadakan perbincangan dengan ahli jawatankuasa masakan pula.


Sesudah Isyak.


“Mana boleh jika kita tidak masukkan tempe ke dalam masakan kita,” bantah Mak Minah.


“Benar, siapa yang mahu membayar ganti rugi? Kami sudah membeli berpaket-paket tempe,” tambah Kamal.


“Agaknya Tok Ketua sudah buang tabiat, bukankah selama ini dia yang beria-ria minta dimasukkan tempe dalam masakan kita,” luah Cik Tom, janda anak tiga.


Seman seakan-akan mati akal. Serba salah dibuatnya. Riuh bilik mesyuarat masjid Kampung Malaya. Masing-masing tidak setuju dengan arahan Tok Ketua. Bagaimana pula dengan penerimaan orang kampung terhadap masakan mereka tanpa tempe semasa kenduri perkahwinan anak Mak Minah nanti?



Apabila tibanya musim cuti sekolah sebegini, memang ramai yang akan mengadakan kenduri perkahwinan dan kali ini giliran anak Mak Minah pula untuk naik pelamin. Sudah menjadi kebiasaan, seluruh penduduk kampung akan bergotong-royang mengadakan kenduri dan tugas-tugas diagihkan kepada setiap penduduk kampung.



Keesokannya, apabila Sang Suria sudah memunculkan diri, Mak Minah menempek bedak sejuk di pipinya. Kain kepala dikenakannya di hadapan cermin. Kain batik diikat kemas di pinggang. Bersemangat Mak Minah pagi itu hendak ke rumah Tok Ketua dengan harapan agar menu majlis kendurinya pada minggu hadapan masih menggunakan tempe seperti majlis kenduri sebelum-sebelum ini. Berjalanlah Mak Minah seorang diri ke rumah Tok Ketua sambil disapa kokokan demi kokokan si jantan.


“Tok, saya tidak sebulu dengan Tok pasal menu kenduri saya minggu depan.”


“Minah, tempe tu berasal dari negara sebarang. Mengapalah perlu kita banggakan orang punya sedangkan kita pun ada makanan kita sendiri.”


“Tok, tempe tu memang asal dari seberang, tetapi bukankah kita pun sudah lama makan tempe ni. Dulu semasa rumah Leha kenduri, berkampit-kampit Tok bawa pulang tempe.”


“Itu dulu Minah. Sekarang aku dah sedar. Kita ni kena bangga dengan negara kita, bukan mencedok hasil negara orang. Aku mahu jadi ketua kampung yang ada wawasan buat contoh kepada penduduk kampung.”


“Eh, Tok ni, semangatnya tidak bertempat. Tempe tu takkan pengaruhi fikiran kita pun. Ramai saja orang Melayu yang makan tempe.”


“Itu orang Minah. Ini kan kampung aku, aku berhak bagi keputusan. Kau jangan buat aku naik angin, Minah.”


“Tok, saya minta izin dulu. Kopi Tok ni pun rasanya bukan dari Malaysia.” Mak Minah meneguk seteguk kopi yang dihidangkan kepadanya sebelum beransur pulang.”


Mak Minah dan orang kampung terpaksa akur dengan arahan Ketua Kampung. Kenduri di rumah Mak Minah kali ini tiada lagi tempe dihidangkan bersama. Sudah menjadi kelaziman sebenarnya di kampung Malaya, setiap acara kenduri keramaian yang diadakan, tempe akan dimasukkan dalam setiap hidangan. Penduduk kampung memang gemar makan tempe. Boleh dikatakan, setiap rumah di situ ada saja bekalan tempe setiap bulan seperti beras yang menjadi makanan ruji. Tradisi itu memang sudah diketahui masyarakat luar.


Mak Minah dan orang kampung sibuk menyiapkan persiapan untuk majlis kenduri perkahwinan anak Mak Minah yang berbaki lagi seminggu. Khemah, meja makan dan kerusi untuk tetamu telah pun ditempah oleh Seman dari kampung sebelah yang memang menyediakan perkhidmatan itu. Ros, Melur dan kawan-kawannya yang lain sibuk menyiapkan bunga telur dan cenderamata yang akan diberikan kepada tetamu yang hadir nanti.


Rumah Mak Minah dihiasi kain renda serba ungu. Seawal pagi lagi orang kampung telah datang ke rumah Mak Minah untuk bergotong-royong memasak juadah. Kayu api dinyalakan terlebih dulu sebelum memasak hidangan dan nasi minyak.


“Kamal, mana tempe yang sudah kau beli?” tanya Seman.


“Ada lagi di stor dewan kita. Rasanya membazir saja dibiar begitu.”


“Tidak mengapa, nanti agihkan pada penduduk kampung.”


“Nak agihkan pada Tok Ketua sekali ke? Dia masih makan tempe ke?”



Soalan Kamal mengundang gelak ketawa sekalian kaum lelaki di situ. Gelak tawa itu berhenti begitu saja apabila kelibat ketua kampung kelihatan ke arah mereka. Ketua kampung membuat pemantauan.


Juadah siap dimasak tatkala matahari menegak di kepala. Tetamu pun mula bertandang memeriahkan lagi majlis. Mak Minah sebagai tuan rumah menyambut tetamu dengan senyum lebarnya. Paluan kompang menarik perhatian tetamu yang hadir. Masing-masing mengalih tumpuan daripada menjamu selera ke arah datangnya bunyi paluan kompang. Persembahan pencak silat menambahkan seri lagi pada hari itu. Kelihatan Mak Minah tidak henti-henti bersalaman dengan tetamu yang hadir.


Seorang wanita yang hampir sebaya dengan Mak Minah merapati telinganya.


“Minah, kenapa lauk kenduri kali ni tiada tempe? Bukankah itu tradisi kampung Malaya?”


“Nab, ketua kampung kami tidak mahu lagi ada hidangan tempe. Katanya, tempe tu berasal dari negara seberang. Kami di sinikan berpakat mengada kenduri, jadi terpaksalah patuh pada arahannya.”


“Sudah, ke situ pula ketua kampung kau. Tempe tu pun makanan masyarakat kita juga. Bukannya benda baru. Kalau makanan barat tu, aku bolehlah terima alasannya tu.”


“Nab, kalau kau nak makan tempe, nanti datanglah lagi rumah aku. Aku masak istimewa untuk kau. Maaflah sebab tiada tempe kenduri kali ni. Terima kasih ya sebab sudi datang.”


“Sama-sama. Insya-Allah, kerana tempe, aku pasti datang.”


Seorang demi seorang meninggalkan majlis. Majlis menjamu selera untuk tetamu tamat sekitar pukul lima petang. Hari kian memanjat senja.


Mak Minah kembali ke belakang rumah melihat penduduk kampung yang bergotong-royong membersih segala perkakas. Riuh jadinya apabila suara bertemu suara tanpa lampu isyarat.


“Mak Minah, banyak betul lauk kenduri kali ini yang tidak habis jika dibandingkan dengan kenduri-kenduri sebelum ini,” jelas Seman. “Sisa makanan pun bertimbun. Membazir!” tambah Dolah.


“Ramai yang bertanyakan tempe. Mungkin sebab tempe tiada dalam hidangan kita kali ini menyebabkan ramai yang makan hanya memenuhi syarat. Mungkin juga kerana mereka menyimpan hasrat yang tinggi untuk makan tempe, tetapi berbalas dengan kehampaan. Ibarat orang putus cinta.” Mak Minah mematikan leterannya dan menuju ke dalam teratak peninggalan arwah suaminya. Penduduk kampung masih setia membantu Mak Minah. Sebahagian daripada wanita kampung itu mengemas di dalam rumah.


Keesokan harinya, orang kampung mula bercerita. Mereka kesal dengan sikap ketua kampung yang bersikap prejudis itu. Ketiadaan tempe telah menyebabkan majlis kenduri-kendara tidak semeriah dulu. Hubungan ketua kampung dan penduduk kampung juga tidak seakrab dulu. Jarang sekali penduduk kampung hendak ke rumah ketua kampung jika tiada perkara penting. Sampai begitu sekali penangan daripada dasar baharu ketua kampung itu.


“Tiada siapakah yang ingin datang melawat aku?” keluh Tok Ketua. “Siapalah yang mahu datang. Abang sudah mengguris perasaan mereka.” sahut isterinya.


“Hanya kerana tempe? Aku mendidik mereka supaya menyayangi nusa sendiri dan bukannya menyanjung negara seberang. Salahkah aku?”


“Tidak salah, tetapi cara abang itu tidak kena gayanya. Memang tempe itu asalnya dari negara seberang. Sejarah, memang tiada seorang pun dapat menafikannya.”


“Tahu pun.”


“Walau bagaimanapun, abang jangan lupa. Tempe itu pun sudah sebati dengan masyarakat kita di sini. Negara kita ni kan memang mewah dengan makanan. Rasanya tidak salah untuk menikmati tempe.”


“Awak pun sama saja seperti orang kampung yang lain. Sekarang kita berada dalam arus globalisasi. Pemikiran kita tidak boleh ke belakang lagi!”


“Aduh, penat saya lawan cakap dengan abang ni. Saya mahu ke kedai, beli air soya.”


Rokiah membetulkan ikatan kain batiknya dan keluar mengikut pintu hadapan rumahnya untuk ke kedai. Di kedai, dia disapa oleh Mak Minah yang kebetulan turut ke kedai membeli barang runcit.


“Kak Kiah, lama tak Nampak. Apa khabar? Beli air kotak soya untuk siapa, Kak?”


“Eh, Minah, aku sihat. Air kotak soya ni untuk Tok Ketua. Dia kurang sihat. Asyik demam sejak akhir-akhir ni. Doktor nasihatkan supaya minum air soya sebab kandungan protein air soya tinggi.”


“Oh, tidak tahu pula dia tidak sihat. Sejak kenduri hari tu, memang terkilan dan terasa dengan sikap Tok.”


“Aku faham, Minah. Jenuh juga aku nasihatkan dia. Dia tetap juga pertahankan pendirian dia tu. Nasihat aku, tidak dikunyahnya langsung.”



“Kak, saya ikut akak pulang sekali. Boleh jenguk Tok Ketua nanti.”“Baguslah kalau begitu. Kau pun sudah lama tak bertandang.”


Seusai meneguk secangkir kopi pekat, Mak Minah cuba berbicara dengan Tok Ketua walaupun sebenarnya amat sukar untuk mula mengeluarkan kata setelah sekian lama tidak bersua. Tambahan pula, ada hati yang terguris. Mak Minah beranikan diri, “Tok, Kak Kiah kata Tok tidak sihat.”


“Macam tulah, Minah. Doktor nasihatkan aku kena minum banyak air soya. Banyak khasiat katanya.”


“Tok, kalau Tok hendak tahu, tempe tu asalnya dari kacang soyalah. Agaknya, sejak Tok mulakan polisi Tok tu, Tok mula jatuh sakit.”


“Tidak mahulah aku menyentuh makanan negara orang lagi.”


“Tok, tempe yang ada dijual di negara kita ni, kebanyakkannya orang Melayu kita yang buat tau! Sekurang-kurangnya, kita juga membantu perniagaan orang kita. Hentikanlah prejudis Tok yang tidak bertempat tu. Tengok tu, Tok teguk juga kopi ni. Kopi ni bukan ke dari seberang juga? Cuma proses membungkus saja di negara kita.”


“Habis tu, kau nak suruh aku makan tempe?”


“Makanlah tempe tu, sama saja tempe dan kacang soya. Buanglah ego Tok tu jauh-jauh. Tiada gunanya mendabik dada tetapi menanggung sakit. Sampai bila Tok hendak jadi begini? Tok, ada tanggungjawab terhadap kampung kita ni.”


“Baiklah, aku angkat bendera putih kali ni.”


“Sepatutnya dari hari tu lagi, Tok.”


Mak Minah meminta diri untuk pulang.


Beberapa hari kemudian, Tok Ketua kembali sihat seperti sedia kala. Dia memohon maaf kepada penduduk kampung atas keegoannya. Tempe Malaya kembali dinikmati bersama-sama.


Biodata Penulis

MOHD Haniff Mohammad Yusoff
yang dilahirkan di Sandakan, Sabah,
pada 25 Januari 1988,
terbabit dalam penulisan puisi dan rencana.



Puisinya pernah disiarkan dalam majalah Kuntum,
Dewan Siswa, Fokus SPM dan Berita Harian,
Berita Minggu dan Mingguan Malaysia,
manakala rencananya mendapat tempat
dalam Dewan Masyarakat dan Dewan Siswa.
Cerpennya pernah disiarkan
dalam majalah e@siswa.




Penuntut Ijazah Sarjana Muda
Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
Peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini
pernah memenangi hadiah sagu hati
Anugerah Citra Majalah Sekolah Wilayah Utara 2007
(Kategori Puisi), sagu hati Anugerah Citra
Majalah Sekolah Wilayah Utara 2007 (Kategori Rencana),
sagu hati Pertandingan Menulis Puisi
Budi Bahasa Budaya Kita anjuran
Klasik Nasional dan KEKKWA.




Penulis boleh dihubungi di blog


www.mohdhaniffmohammadyusoff.blogspot.com







http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Cerpen_TempeMalaya/Article






Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...