Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, November 29, 2011

Menuju Kecemerlangan





Konflik berterusan


boleh halang kecemerlangan kerja

Perselisihan faham cetus perdebatan perlu dikawal



KITA sering berdepan pelbagai cabaran serta konflik dalam usaha mencapai kepuasan dan kecemerlangan kerja. Ibarat menuju satu destinasi, jalan dilalui ada yang lebar dan sempit, ada yang lurus dan berliku, menaiki dan menuruni bukit serta curam, indah pemandangan dan sebaliknya.
Begitu persekitaran kerja dalam mencapai destinasi kecemerlangan. Malah, salah satu faktor yang boleh menghalang kecemerlangan organisasi adalah konflik berterusan yang tidak diurus atau ditangani dengan baik.
Konflik daripada bahasa Latin ‘confligere’, bermaksud perselisihan atau pertentangan antara individu. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor perbezaan sama ada pemikiran, peranan, tanggungjawab, akhlak atau cara bertindak dan hasrat yang ingin dicapai.






Termasuk perbezaan pandangan, persepsi, pemahaman, pengetahuan, pendirian, pengalaman, ideologi, keinginan, matlamat, sifat atau sikap yang membentuk perbezaan peribadi dan tabiat. Dalam organisasi, konflik boleh berlaku sesama staf, dengan subordinat atau pengurusan atasan.






Konflik berlaku disebabkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan, arahan kerja, gaya komunikasi, agihan tugas, sempadan tanggungjawab atau bidang kuasa, perubahan matlamat, peraturan, pertindihan tugas dan perebutan ganjaran yang terhad.






Kepelbagaian ini dengan mudah menjuruskan individu kepada konflik yang jika berlarutan mampu mengundang perbalahan, permusuhan dan mengakibatkan pelbagai salah laku pentadbiran seperti ketidakcekapan, ketidaktelusan yang merugikan seluruh organisasi.
Islam mengakui perbezaan suatu tabii dan mempunyai hikmah dari rahmat Allah.





Firman Allah yang bermaksud:




“Kalau Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itu mereka terus menerus berselisihan. Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, untuk itu Allah menjadikan manusia dan dengan demikian sempurna janji Tuhanmu.” (Surah Hud, ayat 118-119)






Menurut Dr Taha Jabir al-Alwani, perbezaan yang membawa kepada perselisihan terkandung dalam pelbagai istilah seperti al-khilaf (perbezaan pendapat), al-Khusumah (permusuhan atau perbalahan) dan al-Jidal (perdebatan).






Prinsip akhlak membenci perbezaan membawa kepada konflik permusuhan dan perbalahan berpanjangan yang melemahkan serta meragut kekuatan dinamakan Profesor Dr Yusof al-Qaradhawi sebagai perbezaan atau kepelbagaian pertentangan.






Khususnya dalam masalah kecil dan sampingan atau hukum furu’ kerana Islam menganjurkan sifat saling menghormati serta menghargai.






Firman Allah yang bermaksud:




“Dan taat kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan dan bersabar (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati).
Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)






Apabila perbezaan dapat diurus dengan baik dan berkesan, ia akan memberi banyak manfaat. Menurut Profesor al-Qaradhawi, perselisihan memberi kesempatan dan ruang untuk memilih pandangan yang baik, tepat serta berijtihad.






Konflik sifatnya provokatif dan menarik tindak balas orang ramai untuk memberi pandangan. Kehangatan konflik merangsang individu berfikir dan mencari idea alternatif. Tetapi perlu dikawal dan dikendalikan dengan berhemah supaya tidak mencetuskan perdebatan tidak sihat serta menjejaskan integriti staf.






Menghadapi konflik, kita perlulah terlebih dulu mengesan puncanya. Dari situlah beberapa langkah penyelesaian diusahakan. Antara panduan menguruskan konflik di tempat kerja ialah menyemarakkan kesedaran dan sistem bekerja secara berpasukan berpandukan matlamat organisasi.






Kedua, bagi konflik yang dicetuskan faktor peribadi seperti ego, bangga diri, salah sangka terhadap staf lain, tuduhan atau kenyataan tanpa asas dan bukti, berfikiran sempit serta fanatik, maka perlu diingatkan untuk kembali kepada asas akhlak.






Langkah mengukuhkan penerapan nilai teras seperti ikhlas, jujur, amanah, toleransi, hormat menghormati, mengamalkan kesederhanaan, muafakat, keterbukaan dan positif minda dalam organisasi perlu diberi keutamaan.






Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:




“Jauhilah kamu dari prasangka kerana ia kata-kata dusta. Jangan saling mencurigai, menghasut, iri hati dan saling membenci. Dan jadi kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari)





Ketiga, membina semangat setia kawan bertujuan mengeratkan silaturahim dalam organisasi.






Keempat, menyediakan ruang atau sistem maklum balas kualiti menyampaikan pandangan atau ketidakpuasan hati secara berhemah serta merapatkan jurang komunikasi.






Kelima, menyediakan khidmat pakar atau kaunseling dan keenam, tindakan disiplin bersesuaian dengan peraturan seperti memberi amaran, mengeluarkan surat peringatan, menggantung kenaikan dan sebagainya.






Tujuannya adalah menjaga kepentingan umum dan menolak kemudaratan supaya matlamat organisasi tercapai dalam suasana harmoni.






Kaedah masyhur Sheikh Muhammad Rasyid Ridha yang turut dipersetujui Imam Hassan al-Banna boleh dijadikan panduan berorganisasi iaitu, bekerjasama dalam masalah yang sudah disepakati dan saling bertolak ansur dalam masalah yang diperselisihkan.







Oleh Sharifah Hayaati



Penulis ialah pensyarah di



Jabatan Siasah Syar’iyyah,


Akademi Pengajian Islam,


Universiti Malaya










No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...