Cerpen:
Tempe Malaya
Oleh
Mohd Haniff Mohammad Yusoff
"MULAI hari ini, saya tidak mahu lagi penduduk kampung menggunakan tempe dalam masakan kita!"
“Tok, apa salahnya kita menggunakan tempe dalam masakan kita. Bukankah lebih sedap?”
“Tok, apa salahnya kita menggunakan tempe dalam masakan kita. Bukankah lebih sedap?”
“Saya tidak gemar kita menggunakan makanan dari negara seberang dalam masakan kita.”
Ketua Kampung meninggalkan dewan tanpa membalas kembali persoalan Seman, salah seorang ahli jawatankuasa penduduk kampung. Dia kebingungan apabila ketua kampung mengeluarkan kenyataan sebegitu. Padahal, perut seluruh penduduk kampung di situ sudah sebati dengan tempe. Seman pun mengangkat kaki meninggalkan dewan. Malam nanti, sesudah Isyak, dia perlu mengadakan perbincangan dengan ahli jawatankuasa masakan pula.
Sesudah Isyak.
“Mana boleh jika kita tidak masukkan tempe ke dalam masakan kita,” bantah Mak Minah.
“Benar, siapa yang mahu membayar ganti rugi? Kami sudah membeli berpaket-paket tempe,” tambah Kamal.
“Agaknya Tok Ketua sudah buang tabiat, bukankah selama ini dia yang beria-ria minta dimasukkan tempe dalam masakan kita,” luah Cik Tom, janda anak tiga.
Seman seakan-akan mati akal. Serba salah dibuatnya. Riuh bilik mesyuarat masjid Kampung Malaya. Masing-masing tidak setuju dengan arahan Tok Ketua. Bagaimana pula dengan penerimaan orang kampung terhadap masakan mereka tanpa tempe semasa kenduri perkahwinan anak Mak Minah nanti?
Apabila tibanya musim cuti sekolah sebegini, memang ramai yang akan mengadakan kenduri perkahwinan dan kali ini giliran anak Mak Minah pula untuk naik pelamin. Sudah menjadi kebiasaan, seluruh penduduk kampung akan bergotong-royang mengadakan kenduri dan tugas-tugas diagihkan kepada setiap penduduk kampung.
Keesokannya, apabila Sang Suria sudah memunculkan diri, Mak Minah menempek bedak sejuk di pipinya. Kain kepala dikenakannya di hadapan cermin. Kain batik diikat kemas di pinggang. Bersemangat Mak Minah pagi itu hendak ke rumah Tok Ketua dengan harapan agar menu majlis kendurinya pada minggu hadapan masih menggunakan tempe seperti majlis kenduri sebelum-sebelum ini. Berjalanlah Mak Minah seorang diri ke rumah Tok Ketua sambil disapa kokokan demi kokokan si jantan.
“Tok, saya tidak sebulu dengan Tok pasal menu kenduri saya minggu depan.”
“Minah, tempe tu berasal dari negara sebarang. Mengapalah perlu kita banggakan orang punya sedangkan kita pun ada makanan kita sendiri.”
“Tok, tempe tu memang asal dari seberang, tetapi bukankah kita pun sudah lama makan tempe ni. Dulu semasa rumah Leha kenduri, berkampit-kampit Tok bawa pulang tempe.”
“Itu dulu Minah. Sekarang aku dah sedar. Kita ni kena bangga dengan negara kita, bukan mencedok hasil negara orang. Aku mahu jadi ketua kampung yang ada wawasan buat contoh kepada penduduk kampung.”
“Eh, Tok ni, semangatnya tidak bertempat. Tempe tu takkan pengaruhi fikiran kita pun. Ramai saja orang Melayu yang makan tempe.”
“Itu orang Minah. Ini kan kampung aku, aku berhak bagi keputusan. Kau jangan buat aku naik angin, Minah.”
“Tok, saya minta izin dulu. Kopi Tok ni pun rasanya bukan dari Malaysia.” Mak Minah meneguk seteguk kopi yang dihidangkan kepadanya sebelum beransur pulang.”
Mak Minah dan orang kampung terpaksa akur dengan arahan Ketua Kampung. Kenduri di rumah Mak Minah kali ini tiada lagi tempe dihidangkan bersama. Sudah menjadi kelaziman sebenarnya di kampung Malaya, setiap acara kenduri keramaian yang diadakan, tempe akan dimasukkan dalam setiap hidangan. Penduduk kampung memang gemar makan tempe. Boleh dikatakan, setiap rumah di situ ada saja bekalan tempe setiap bulan seperti beras yang menjadi makanan ruji. Tradisi itu memang sudah diketahui masyarakat luar.
Mak Minah dan orang kampung sibuk menyiapkan persiapan untuk majlis kenduri perkahwinan anak Mak Minah yang berbaki lagi seminggu. Khemah, meja makan dan kerusi untuk tetamu telah pun ditempah oleh Seman dari kampung sebelah yang memang menyediakan perkhidmatan itu. Ros, Melur dan kawan-kawannya yang lain sibuk menyiapkan bunga telur dan cenderamata yang akan diberikan kepada tetamu yang hadir nanti.
Rumah Mak Minah dihiasi kain renda serba ungu. Seawal pagi lagi orang kampung telah datang ke rumah Mak Minah untuk bergotong-royong memasak juadah. Kayu api dinyalakan terlebih dulu sebelum memasak hidangan dan nasi minyak.
“Kamal, mana tempe yang sudah kau beli?” tanya Seman.
“Ada lagi di stor dewan kita. Rasanya membazir saja dibiar begitu.”
“Tidak mengapa, nanti agihkan pada penduduk kampung.”
“Nak agihkan pada Tok Ketua sekali ke? Dia masih makan tempe ke?”
Soalan Kamal mengundang gelak ketawa sekalian kaum lelaki di situ. Gelak tawa itu berhenti begitu saja apabila kelibat ketua kampung kelihatan ke arah mereka. Ketua kampung membuat pemantauan.
Juadah siap dimasak tatkala matahari menegak di kepala. Tetamu pun mula bertandang memeriahkan lagi majlis. Mak Minah sebagai tuan rumah menyambut tetamu dengan senyum lebarnya. Paluan kompang menarik perhatian tetamu yang hadir. Masing-masing mengalih tumpuan daripada menjamu selera ke arah datangnya bunyi paluan kompang. Persembahan pencak silat menambahkan seri lagi pada hari itu. Kelihatan Mak Minah tidak henti-henti bersalaman dengan tetamu yang hadir.
Seorang wanita yang hampir sebaya dengan Mak Minah merapati telinganya.
“Minah, kenapa lauk kenduri kali ni tiada tempe? Bukankah itu tradisi kampung Malaya?”
“Nab, ketua kampung kami tidak mahu lagi ada hidangan tempe. Katanya, tempe tu berasal dari negara seberang. Kami di sinikan berpakat mengada kenduri, jadi terpaksalah patuh pada arahannya.”
“Sudah, ke situ pula ketua kampung kau. Tempe tu pun makanan masyarakat kita juga. Bukannya benda baru. Kalau makanan barat tu, aku bolehlah terima alasannya tu.”
“Nab, kalau kau nak makan tempe, nanti datanglah lagi rumah aku. Aku masak istimewa untuk kau. Maaflah sebab tiada tempe kenduri kali ni. Terima kasih ya sebab sudi datang.”
“Sama-sama. Insya-Allah, kerana tempe, aku pasti datang.”
Seorang demi seorang meninggalkan majlis. Majlis menjamu selera untuk tetamu tamat sekitar pukul lima petang. Hari kian memanjat senja.
Mak Minah kembali ke belakang rumah melihat penduduk kampung yang bergotong-royong membersih segala perkakas. Riuh jadinya apabila suara bertemu suara tanpa lampu isyarat.
“Mak Minah, banyak betul lauk kenduri kali ini yang tidak habis jika dibandingkan dengan kenduri-kenduri sebelum ini,” jelas Seman. “Sisa makanan pun bertimbun. Membazir!” tambah Dolah.
“Ramai yang bertanyakan tempe. Mungkin sebab tempe tiada dalam hidangan kita kali ini menyebabkan ramai yang makan hanya memenuhi syarat. Mungkin juga kerana mereka menyimpan hasrat yang tinggi untuk makan tempe, tetapi berbalas dengan kehampaan. Ibarat orang putus cinta.” Mak Minah mematikan leterannya dan menuju ke dalam teratak peninggalan arwah suaminya. Penduduk kampung masih setia membantu Mak Minah. Sebahagian daripada wanita kampung itu mengemas di dalam rumah.
Keesokan harinya, orang kampung mula bercerita. Mereka kesal dengan sikap ketua kampung yang bersikap prejudis itu. Ketiadaan tempe telah menyebabkan majlis kenduri-kendara tidak semeriah dulu. Hubungan ketua kampung dan penduduk kampung juga tidak seakrab dulu. Jarang sekali penduduk kampung hendak ke rumah ketua kampung jika tiada perkara penting. Sampai begitu sekali penangan daripada dasar baharu ketua kampung itu.
“Tiada siapakah yang ingin datang melawat aku?” keluh Tok Ketua. “Siapalah yang mahu datang. Abang sudah mengguris perasaan mereka.” sahut isterinya.
“Hanya kerana tempe? Aku mendidik mereka supaya menyayangi nusa sendiri dan bukannya menyanjung negara seberang. Salahkah aku?”
“Tidak salah, tetapi cara abang itu tidak kena gayanya. Memang tempe itu asalnya dari negara seberang. Sejarah, memang tiada seorang pun dapat menafikannya.”
“Tahu pun.”
“Walau bagaimanapun, abang jangan lupa. Tempe itu pun sudah sebati dengan masyarakat kita di sini. Negara kita ni kan memang mewah dengan makanan. Rasanya tidak salah untuk menikmati tempe.”
“Awak pun sama saja seperti orang kampung yang lain. Sekarang kita berada dalam arus globalisasi. Pemikiran kita tidak boleh ke belakang lagi!”
“Aduh, penat saya lawan cakap dengan abang ni. Saya mahu ke kedai, beli air soya.”
Rokiah membetulkan ikatan kain batiknya dan keluar mengikut pintu hadapan rumahnya untuk ke kedai. Di kedai, dia disapa oleh Mak Minah yang kebetulan turut ke kedai membeli barang runcit.
“Kak Kiah, lama tak Nampak. Apa khabar? Beli air kotak soya untuk siapa, Kak?”
“Eh, Minah, aku sihat. Air kotak soya ni untuk Tok Ketua. Dia kurang sihat. Asyik demam sejak akhir-akhir ni. Doktor nasihatkan supaya minum air soya sebab kandungan protein air soya tinggi.”
“Oh, tidak tahu pula dia tidak sihat. Sejak kenduri hari tu, memang terkilan dan terasa dengan sikap Tok.”
“Aku faham, Minah. Jenuh juga aku nasihatkan dia. Dia tetap juga pertahankan pendirian dia tu. Nasihat aku, tidak dikunyahnya langsung.”
“Kak, saya ikut akak pulang sekali. Boleh jenguk Tok Ketua nanti.”“Baguslah kalau begitu. Kau pun sudah lama tak bertandang.”
Seusai meneguk secangkir kopi pekat, Mak Minah cuba berbicara dengan Tok Ketua walaupun sebenarnya amat sukar untuk mula mengeluarkan kata setelah sekian lama tidak bersua. Tambahan pula, ada hati yang terguris. Mak Minah beranikan diri, “Tok, Kak Kiah kata Tok tidak sihat.”
“Macam tulah, Minah. Doktor nasihatkan aku kena minum banyak air soya. Banyak khasiat katanya.”
“Tok, kalau Tok hendak tahu, tempe tu asalnya dari kacang soyalah. Agaknya, sejak Tok mulakan polisi Tok tu, Tok mula jatuh sakit.”
“Tidak mahulah aku menyentuh makanan negara orang lagi.”
“Tok, tempe yang ada dijual di negara kita ni, kebanyakkannya orang Melayu kita yang buat tau! Sekurang-kurangnya, kita juga membantu perniagaan orang kita. Hentikanlah prejudis Tok yang tidak bertempat tu. Tengok tu, Tok teguk juga kopi ni. Kopi ni bukan ke dari seberang juga? Cuma proses membungkus saja di negara kita.”
“Habis tu, kau nak suruh aku makan tempe?”
“Makanlah tempe tu, sama saja tempe dan kacang soya. Buanglah ego Tok tu jauh-jauh. Tiada gunanya mendabik dada tetapi menanggung sakit. Sampai bila Tok hendak jadi begini? Tok, ada tanggungjawab terhadap kampung kita ni.”
“Baiklah, aku angkat bendera putih kali ni.”
“Sepatutnya dari hari tu lagi, Tok.”
Mak Minah meminta diri untuk pulang.
Beberapa hari kemudian, Tok Ketua kembali sihat seperti sedia kala. Dia memohon maaf kepada penduduk kampung atas keegoannya. Tempe Malaya kembali dinikmati bersama-sama.
Biodata Penulis
MOHD Haniff Mohammad Yusoff
yang dilahirkan di Sandakan, Sabah,
pada 25 Januari 1988,
terbabit dalam penulisan puisi dan rencana.
Puisinya pernah disiarkan dalam majalah Kuntum,
Dewan Siswa, Fokus SPM dan Berita Harian,
Berita Minggu dan Mingguan Malaysia,
manakala rencananya mendapat tempat
dalam Dewan Masyarakat dan Dewan Siswa.
Cerpennya pernah disiarkan
dalam majalah e@siswa.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda
Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
Peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini
pernah memenangi hadiah sagu hati
Anugerah Citra Majalah Sekolah Wilayah Utara 2007
(Kategori Puisi), sagu hati Anugerah Citra
Majalah Sekolah Wilayah Utara 2007 (Kategori Rencana),
sagu hati Pertandingan Menulis Puisi
Budi Bahasa Budaya Kita anjuran
Klasik Nasional dan KEKKWA.
Penulis boleh dihubungi di blog
www.mohdhaniffmohammadyusoff.blogspot.com
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Cerpen_TempeMalaya/Article
No comments:
Post a Comment