Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Tuesday, January 3, 2012
Kekuatan rohani terbina dengan ketaatan tak berbelah-bahagi
Kekuatan rohani
terbina dengan ketaatan tak berbelah-bahagi
URUSAN keimanan ialah perkara terpenting dalam kehidupan yang tidak boleh dialpakan setiap Muslim. Malah ia adalah noktah penentuan sama ada seseorang ke neraka atau ke syurga. Mereka yang bijak akan terus berfikir dan melihat soal keimanan ini dalam beberapa sudut.
Mereka yang bersandarkan fitrah kejadian manusia itu sendiri dengan suara hati naluri menerima keesaan Allah SWT tanpa ragu-ragu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah ada keraguan terhadap Allah selaku pencipta langit dan bumi?” (Surah Ibrahim 10). Firman-Nya lagi: “Itulah fitrah yang dicetuskan Allah SWT” (Surah Ar-rum 30)
Semua menjuruskan kepada satu natijah bahawa Allah adalah pencipta dan berkuasa mutlak terhadap alam ini. Basyskal (seorang ahli falsafah) menyebut: “Kamu percaya atau tidak mengenai kewujudan Allah SWT, namun akalmu tetap tidak mampu menafikannya (kewujudan Allah) kerana ini adalah permainan antara akalmu dan fitrah kejadian. Jika dua panahan dilontarkan dari satu busur, pastinya salah satunya akan menuju ke sasarannya. Ketepatan itu akan membahagiakanmu untuk selama-lamanya” (Muzakkirat).
Mereka yang beriman tidak akan terjerumus dalam kancah permainan dunia yang sementara bahkan ia akan dipastikan bahawa ia akan mendapat keuntungan untuk keduanya-duanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang mengharapkan pahala di dunia, maka di sisi Allah ada pahala dunia dan akhirat.”(Al-Imran 134). Firman lain: “Mereka yang melakukan kebaikan di dunia, akan mendapat balasan baik dan sesungguhnya di akhirat pastinya lebih baik”. (An-Nahl 30)
Kewajipan yang ditaklifkan kepada hamba ialah loncatan kepada kebahagiaan di akhirat. Kekuatan rohani akan terbina dengan ketaatan yang dilakukan. Segala tegahan dan pengharaman sesuatu perkara adalah kerana ia akan mengancam terhadap keimanan seseorang di samping menyelamatkan akal, jiwa, akhlak dan keturunan mereka. Firman Allah SWT bermaksud: “Allah memerintahkan mereka melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, menghalalkan segala yang baik buat mereka dan mengharamkan sesuatu yang buruk untuk mereka” (Al-A’raf 157)
Mereka tidak akan mengalami kerugian dengan ketaatan yang dilakukan serta meninggalkan segala yang ditegah. Bahkan jiwa akan menjadi tenteram serta mendapat kehidupan yang terbaik. Segala kebaikan ini akan menjadikan mereka seorang mukmin yang sejati.
Firman Allah SWT bermaksud: “Orang yang beriman akan gerun apabila nama Allah disebut dan keimanan mereka meningkat apabila mendengar ayat Allah SWT dan banyak berserah padanya. Mereka juga melakukan solat dan membelanjakan hartanya. Merekalah mukmin yang sejati”. (Al-Anfal 2,3 dan 4)
Di sini kita akan dapat melihat cetusan dari mengingati Allah atau zikrullah akan melahirkan amalan kebajikan. Zikrullah terbahagi kepasa dua pengertian mengikut pandangan Syekh Ahmad Syakir.
Penulis ialah Eksekutif Agama di NSTP

Azam patut seimbang usaha cari reda Ilahi

Azam patut seimbang
usaha cari reda Ilahi
Sudah menjadi tradisi, apabila tiba tahun baru, kita menyambutnya dengan semangat baru, diari baru dan segalanya baru. Sebenarnya dalam Islam tiada istilah tahun baru atau lama kerana kita sentiasa dituntut taat kepada Allah setiap masa, dari awal tahun hingga akhir tahun, daripada umur baligh hingga ke liang lahad.
“...dan sembahlah Tuhanmu
sehingga tiba kepada kamu kematian...”.
Tidak menjadi kesalahan apabila budaya menyambut tahun baru ini kita selarikan dengan kehendak dan tuntutan syarak. Justeru, kita sepatutnya lebih mengutamakan kebaikan, menjauhi kejahatan, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin dan jujur dalam gerak kerja.
“dan tidak Aku jadikan jin dan manusia
kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.”
Setahun berlalu pasti melakarkan catatan penting yang boleh dijadikan iktibar. Jika tahun lalu, banyak kepincangan dalam hidup kita secara disengajakan atau tidak, maka tahun ini kita berazam tidak mengulangi kepincangan sama.
Jika tahun lalu kita menempa kejayaan, maka tahun ini biar kita mencipta kejayaan lebih baik kerana seseorang Muslim sentiasa mengarahkan diri ke arah lebih baik, seperti kata Saidina Umar:
“Celakalah bagi Muslim yang hari ini
lebih buruk daripada semalam dan esok
lebih buruk daripada hari ini.”
Sesuatu yang lumrah, tahun baru sering dikaitkan dengan soalan, apakah azam dan cita-cita tahun baru? Golongan artis pasti memasang azam lebih cemerlang dalam lagunya dan menghasilkan filem atau album lebih meletup. Ahli perniagaan pula bercita-cita mengembangkan perniagaan agar mendapat keuntungan berlipat ganda, manakala ahli sukan menggandakan lagi usaha menempa nama negara di mata dunia.
Amat jarang kita dengar, orang menyuarakan cita-cita menjadi hamba Allah lebih bertakwa, lebih pemurah, lebih patuh atau taat kepada hukum Allah dan lebih menghayati ajaran Islam secara syumul.
Tidak salah menanam azam tetapi biar seimbang dalam usaha mencari kecemerlangan dunia dan akhirat. Selain itu, usaha bersungguh-sungguh perlu disusuli supaya azam menjadi realiti. Firman Allah SWT dalam Surah ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud:
“Maka apabila engkau berazam,
bertawakallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang
yang bertawakal kepada-Nya.”
Perkara lain yang perlu diberi perhatian serius ialah pengisian sambutan tahun baru. Kita bimbang dan sedih apabila melihat sambutan tahun baru sering dicemari dengan upacara penuh unsur maksiat yang jelas menyalahi hukum dan menyimpang daripada adat dan budaya Melayu.
Ada pihak menganjurkan sambutan dengan acara nyanyian yang melalaikan, minum arak dan pergaulan bebas.
Penganjuran seumpama ini membuka satu lagi ruang bagi mengundang kemurkaan Allah SWT. Maka sudah muda-mudi yang dahagakan hiburan akan terpikat dengan program ini. Maka terlena dan hanyutlah mereka sehingga ada yang tenggelam dalam maksiat.
Sepatutnya tahun baru disambut penuh rasa syukur kepada Allah dengan berdoa atau menganjurkan majlis ilmu yang boleh membina minda untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Marilah kita jadikan tahun baru ini titik tolak untuk memperelokkan akhlak dengan mencontohi peribadi Rasulullah SAW .
Diharapkan juga tahun baru ini menjadi tahun kegembiraan. Dalam mengimpikan hasrat ini, usaha dan tekad perlu selari kerana kejayaan tidak datang bergolek. Begitu juga dengan kebaikan, tanpa azam dan pegangan kukuh pada nilai murni, ia tidak akan dapat dicapai.
Penulis ialah guru
Pendidikan Islam di
Sekolah Kebangsaan Satak, Raub, Pahang
Sunday, January 1, 2012
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2012...

Pancaran bunga api menerangi ruang udara sekitar KLCC
menandakan berakhirnya tahun 2011
tepat jam 12 malam tadi.

Saturday, December 31, 2011
Selamat Tahun Baru 2012

Selamat Tahun Baru 2012
Semoga bertambah....
maju jayanya iman
dan
ketaqwaan kita terhadap
Allah swt dan kehidupan.

Renung wasiat
Hassan al-Banna untuk
mula tahun baru
SEMOGA kehadiran tahun baru 2012 ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Pengalaman sepanjang 2011 kita simpan sebagai kenangan yang tidak mungkin dapat kita ulangi.
Orang cakap ‘sejarah mungkin berulang’ tapi adakah ia sama seperti pertama kali terjadi? Tak, kan? Kenangan manis, kita kenang sampai bila-bila.
Kenangan pahit, kegagalan yang berlaku sepanjang 2011 kita anggap saja sebagai langkah yang perlu dilalui untuk kehidupan yang lebih berjaya.
Sebagai muhasabah dalam memulakan langkah 2012, penulis ingin mengajak kita merenung wasiat dan nasihat Hassan al-Banna yang sangat relevan dan hidup kata-katanya walaupun beliau sudah tiada lagi antaranya:
Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq.
Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran di mulakan dengan menyebut solat pada awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat di medan perang walaupun pada saat genting dan cemas.
Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.
Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir! Di sini ada ketenteraman, kedamaian dan keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.
Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Ayuh! Apa tunggu lagi bukalah ruang walaupun seminit!
Bagaimanapun berpada-pada saja wahai kawan, Plato juga berharap supaya pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh hanya disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing.
Begitu juga pendapat Aristotle, supaya belia ditegah daripada menyaksikan hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, agar tidak menular keburukan dalam diri!
Itulah katanya suara keldai! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita. Jangan keraskan suaramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.
Menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan
Azam baik
tidak perlu tunggu tahun baru
untuk diterap
ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan.
Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk.
manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya. "
- (Surah an-Nisa, Ayat 60)
Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.
Firman Allah bermaksud:
“Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia
dengan sesat yang sejauh-jauhnya.”
– (Surah an-Nisa, ayat 60)
Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain. Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera.
Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.
Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain.
Sabda Rasulullah bermaksud:
“Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum,
maka dia dalam kalangan mereka”
(Hadis riwayat Abu Daud).
Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.
Allah memberi peringatan agar mementingkan masa.
Maksud firman Allah:
“Demi masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh
serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
dan berpesan-pesan dengan sabar.”
– (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)
Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.
Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.
Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.
Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik.
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin
apabila melakukan dosa bererti ia
membuat noda dengan sebuah titik hitam
di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat,
meninggalkan perbuatannya,
dan memohon ampun kepada Allah,
maka hatinya jernih kembali.
Tetapi apabila ia menambah dosanya,
maka bertambahlah titik hitam itu hingga
menutupi seluruh hatinya.”
– (Hadis Riwayat Ahmad)
Kerajaan tanggung RM147j kos mansuh yuran
Tambahan RM20 juta
ketika mengadakan lawatan ke
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail
di Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta buku teks.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman tidak dapat diserahkan mengikut jadual.
Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara, minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu di sekolah menengah.
Selain itu, katanya, sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25 sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan depan.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelajaran.
“Sebenarnya tidak ada yuran... bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan program sekolah.
“Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang.
“Di banyak negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,” katanya.
Tubuh Majlis Bahasa Inggeris

Tubuh Majlis Bahasa Inggeris
semasa meninjau persiapan menjelang musim baru persekolahan 2012
di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail,
Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 30 Dis. - Majlis Bahasa Inggeris yang bertujuan mengkaji kualiti dan standard sistem pengajaran, pembelajaran serta pencapaian bahasa tersebut di kalangan pelajar akan ditubuhkan tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majlis itu yang akan dianggotai oleh pakar tempatan dan luar negara antaranya dari Universiti Cambridge akan meneliti dan menyediakan penanda aras tentang perkara itu kepada kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak mahu dilihat terlalu mudah berpuas hati dengan pencapaian bahasa Inggeris di kalangan pelajar sedangkan belum pernah ada penilaian menyeluruh dibuat mengenainya.
"Majlis Bahasa Inggeris kelak akan menjadi rujukan serta penanda aras untuk semua pihak sama ada Kementerian Pelajaran atau sekolah swasta untuk menilai kedudukan standard Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
"Kita mahu standard pengajaran, pembelajaran serta pencapaian bahasa Inggeris di sekolah sama dengan standard antarabangsa. Kita tidak mahu dilihat syok sendiri dengan mendakwa kita terbaik, padahal belum ada kajian dibuat.
"Buat masa ini kita sedang menggubal format-format yang berkaitan sejajar dengan matlamat penubuhan majlis ini," katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail di sini hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil kira penanda aras majlis tersebut terlebih dahulu sebelum langkah wajib lulus bahasa Inggeris bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan, Muhyiddin berkata, ia akan dilihat kemudian.
Dalam pada itu beliau berkata, sistem interaksi langsung yang membolehkan ibu bapa dan guru berkomunikasi secara maya akan diwujudkan di sekolah-sekolah bagi membolehkan prestasi setiap pelajar dipantau secara terus.
Jelasnya, langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan bagi membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini prestasi anak mereka selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan pada 2014.
"Pendekatan ini telah lama digunakan di negara maju dan melalui interaksi langsung menggunakan teknologi maklumat ini, ibu bapa boleh mengenal pasti prestasi anak-anak mereka kerana PMR selepas ini akan dimansuhkan," katanya.
Keputusan guna bahasa Melayu tepat

Keputusan guna bahasa Melayu tepat
PETALING JAYA: Sebanyak 89 peratus pelajar Tingkatan Satu yang akan memulakan persekolahan 3 Januari depan memilih bahasa Melayu atau dwibahasa bagi mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini menunjukkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar yang diputuskan itu sesuai dengan tahap keupayaan pelajar yang akan mengikuti proses Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bagi Sains dan Matematik.
Beliau berkata, pekeliling sudah diedarkan supaya Pegawai Pelajaran Daerah diberi tanggungjawab menangani sebarang masalah sepanjang pelaksanaan MBMMBI.
Katanya, Jawatankuasa Khas MBMMBI merumuskan 164,324 pelajar menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik, berbanding 56,025 pelajar menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar Sains dan Matematik pula seramai 56,248 pelajar.
“Selebihnya pelajar yang mempelajari subjek berkenaan menggunakan dwibahasa, seramai 258,622 untuk Sains, manakala 261,600 bagi Matematik,” katanya.
Muhyiddin juga berkata, Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan penanda aras dan tahap pencapaian BI pelajar dalam sistem persekolahan negara.
Katanya, majlis yang berkelayakan sebagai tempat rujukan dan menentukan tanda aras bahasa itu akan menggunakan pakar dalam dan luar negara serta mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.
“Bila kata pelajar itu pandai dalam BI, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi kita sedang memikirkan pembentukan majlis ini untuk menanda aras standard BI yang digunakan di Malaysia.
“Kerajaan tidak mahu syok sendiri untuk menyatakan tahap BI di sekolah mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata mutu BI pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang merangka struktur, format, komposisi organisasi majlis itu termasuk berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi merealisasikan penubuhannya.
Ditanya sama ada penubuhan majlis itu sebagai langkah kerajaan menetapkan supaya pelajar lulus BI untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhyiddin berkata: “Kita akan lihat kemudian.”
Muhyiddin juga berkata, mulai tahun depan beberapa sekolah dipilih menyertai projek rintis apabila ibu bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka menerusi konsep maya.
Beliau berkata, konsep dijangka diperkenalkan dua tahun lagi antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video dan mendapatkan nasihat guru bagi meningkatkan prestasi anak mereka.
“Projek rintis yang dikenali sebagai ‘Virtual Learning atau Pembelajaran Maya mengambil contoh konsep di negara maju seperti Korea Selatan,” katanya.
Friday, December 30, 2011
Masa terus berlalu dengan pantas.....

Menghadapi cabaran 2012
BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2012. Masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru kian menghimpit kita.
Menyedari perkara itu, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin.
Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna.
Dalam Islam transformasi disebut sebagai islah. Ia bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).
Dalam transformasi kehidupan insan, Islam telah menetapkan manusia sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian segala bentuk perubahan atau pembaikan adalah bertujuan membina kualiti kemanusiaan.
Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran yang menyentuh aspek akidah, hukum-hakam, akhlak, sirah dan juga sains dan teknologi. Kesemua aspek tersebut disebut oleh Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban kemanusiaan.
Ini jelas seperti firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa
yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka
mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(ar-Ra'd: 11)
Perubahan diri (taghir al-anfus) atau disebut sebagai self reform dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran dalam diri seseorang untuk melakukan perubahan.
Ini disebut sebagai self introspection atau muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan juga pembaikan diri.
Muhasabah diri merupakan suatu tuntutan yang penting pada hari ini kerana kehidupan yang kian mencabar dari pelbagai aspek.
Amat sedih kerana ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga tidak mampu dan gagal menemukan faktor-faktor kelemahan diri sendiri.
Oleh yang demikian, kita perlu mengingati apa yang telah disebut oleh Khalifah Umar al-Khattab yang telah mengingatkan: "hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung."
Walaupun ramai yang mentafsirkan peringatan tersebut merujuk kepada persiapan kematian, tetapi kepentingan untuk bermuhasabah dalam pelbagai aspek kehidupan perlu kita lihat dalam konteks yang lebih luas.
Untuk itu kita perlu bermuhasabah dan tindakan tersebut perlu dimulakan oleh diri kita sendiri seperti mana saranan Rasulullah SAW yang menyebut ibda' binafsika (mulakan daripada diri kamu sendiri).
Perlu kita sedari bahawa umat Islam tidak akan terjatuh atau terperosok ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam. Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa umat jika umat Islam gagal untuk mengambil ajaran Allah sebagai petunjuk dan panduan kehidupan.
Berdasarkan keadaan tersebut, beberapa tindakan memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan. Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan dari aspek visi keislaman yang jelas, akidah yang murni, ibadah yang kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap.
Jika ini dapat dilakukan ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.
Proses yang disebutkan di atas akan memacu setiap insan Muslim ke arah yang lebih baik dan melakukan perubahan diri. Perlu kita sedari bahawa seorang Muslim yang baik, tidak akan pernah dalam dirinya bersifat statik dalam melakukan perubahan dalam diri.
Pada asasnya kehidupan hari ini perlu lebih baik daripada semalam dan kehidupan hari esok perlu lebih baik daripada hari ini. Jika berlaku keadaan yang statik atau jumud, ini bererti berlaku kemunduran dan jika tidak dibaiki, keadaan akan menjadi bertambah buruk dan akan menuju kehancuran atau kebinasaan.
Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat dan kesedaran fahaman wasatiah atau ummatan wasatan perlu digerakkan bagi mencapai ciri-ciri umat yang terbaik (khaira ummah).
Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dapat dicapai sudah pasti umat Islam akan dapat menjadi pemimpin dunia bukan sahaja dalam penguasaan politik tetapi juga dalam segala aspek kehidupan manusia seluruhnya kerana umat Islam pernah menjadi pemimpin dunia dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.
Al-Islah al-manhaj
Untuk al-islah al-manhaj iaitu transformasi sistem kehidupan manusia berdasarkan fikrah manusia yang merupakan makhluk sosial yang perlu kepada saling berkomunikasi dan berinteraksi di antara satu sama lain.
Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi, manusia memerlukan peraturan atau sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik dan sempurna.
Sehubungan itu, Islam telah mengatur atau membentuk sistem kehidupan manusia secara jamaie yang mampu membentuk sistem hidup manusia yang sempurna.
Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum-hakam yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan juga jenayah. Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepimpinan kerana manusia bukan makhluk haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma-norma tertentu.
Untuk itu, dalam hidup yang berperaturan dan bersistem, memerlukan kepimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah yang lebih baik.
Ia tidak sekadar menumpukan kepada ibadah-ibadah khusus yang berbentuk individu semata-mata tetapi ia perlu terus dimantapkan dengan pengukuhan pelbagai aspek kehidupan dan peraturan Islam yang merangkumi aspek ibadah khusus dan ibadah umum yang melibatkan kepentingan seluruh umat.
Sirah nabawi juga telah mencatatkan terdapat dua orang nabi yang telah membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad SAW.
Kedua-dua pemimpin manusia utusan Allah itu tidak sahaja mengajak manusia melakukan ibadah secara khusus seperti puasa, solat, zakat dan zikir semata-mata tetapi kedua-dua utusan Allah itu mengajak manusia melakukan ketaatan Allah berlandaskan sistem Islam yang dibawa oleh mereka.
Untuk itu, dalam usaha membina sistem kehidupan yang bertujuan untuk membentuk manusia ke arah yang lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat Islam perlu melihat ibadah serta aspek kehidupan bermasyarakat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam mampu membentuk masyarakat melakukan perubahan secara menyeluruh dalam kehidupan bermasyarakat dan bukan tidak mempercayainya atau meminggirkannya.
Sesungguhnya transformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkait. Kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang satu lagi.
Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik.
Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar.
Justeru, dalam menghadapi tahun baru 2012 kita perlu membina semangat baru dan berazam menjadi individu yang bersedia melakukan perubahan yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna.
Ia seperti mana peringatan Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25.
Wednesday, December 28, 2011
Gila di abun

Mewah Bahasa:
Gila di abun
Man: Eh! Fahmi, lama tak nampak?
Fahmi: Ada …. Man: Yea lah ada, tapi lama tak nampak.
Dulu setiap hari pagi Sabtu mesti jumpa kau kat pasar tani.
Sekarang ni ….
Man: Sibuk? Kau sambung belajar ke?
Baguslah tu, kalau dah ada ijazah dapatlah jadi jurutera,
taklah jadi juruteknik rendah aje sampai tua.
Kan dulu dari kecil cita-cita kau nak jadi jurutera?!
Akhirnya ke arah itu juga kau yea, semoga berjaya mengejar cita-cita!!
Fahmi: Eh!! Idaklah, tak larat nak belajar lagi dah!
Man: Habis tu, sibuk apa pulak?
Fahmi: Mengejar cita-cita juga.
Man: Mengejar cita-cita?
Fahmi: Ha’ah!! Mengejar cita-cita yang lebih tinggi, lebih besar!!
Bukan untuk diri aku saja, tetapi untuk negara.
Meletakkan negara kita di puncak persada dunia!!
Man: Huh!! Mak ai …. Tingginya cita-cita kau tu ….
Fahmi: Haa … ni la cita-cita aku sejak kecil.
Dulu tak ada peluang dan kesempatan, sekarang ni
aku sedang berusaha bersungguh-sungguh memenuhi cita-cita aku tu
dan juga harapan negara!!
Man: Apa sebenarnya cita-cita kau tu?
Fahmi: Aku sebenarnya sekarang ni sibuk latihan.
Man: Latihan?? Kau masuk Pertahanan Awam ke?!
Fahmi: Hahaha …. Pertahanan Awam pulak perginya.
Aku sibuk latihan bola sekarang ni, Sabtu Ahad memang kat padanglah!!
Man: Bola? Bola sepak? Eh! Kau biar betul ni ….
Fahmi: Aku nak jadi pemain bola sepak nombor satu di dunia.
Aku nak main untuk Malaysia dan nak bawa Malaysia menjadi juara piala dunia!!
Itulah impian aku sejak kecil dan aku akan buktikan aku boleh!!
Man: Hahahaha …. Luculah!! Pandai kau buat lawak!! Hehehee ….
Fahmi: Itulah masalahnya orang kita,
tak percaya dengan kemampuan diri sendiri,
tidak punya keyakinan diri. Dulu aku macam kau juga,
lemah dan tak percaya pada kemampuan diri,
tapi sekarang aku dah berubah, tak macam dulu lagi.
Sekarang aku percaya dengan kemampuan diri aku,
aku percaya aku boleh! Malaysia boleh!!
Man: Hehehehe … kau memang hebat, semangat Malaysia boleh
dah mengalir dalam urat nadi kau tu!! Tapi ….
Fahmi: Tapi apa pulak? Kau ingat aku tak serius ke?!
Man: Memang serius… hehhehe. Tapi bak kata orang tua-tua, kau tu gila di abun!!
Fahmi: Huh!! Udahlah tak mau bagi perangsang dan semangat,
kau kata aku gila pulak!! Inilah penyakit orang kita,
bila ada orang yang nak berubah, mulalah mencemuh
dan melemahkan semangat!!
Man: Hehhehe …. Fahmi, Fahmi … aku bukan kata kau gila,
tapi aku kata cita-cita kau tu hanyalah gila di abun!!
Fahmi: Apa bendanya gila di abun ni?
Man: Peribahasa ni, peribahasa orang tua-tua kita dulu ….
Fahmi: Peribahasa ….
Man: A’ aa … peribahasa yang menerangkan cita-cita kau tu!!
Fahmi: Kau perli aku lagi ek?! Apa maknanya?
Man: Hehehe …. Maknanya, bercita-cita, atau lebih tepat lagi
mengangankan sesuatu yang tak mungkin tercapai!! Macam kau tu laa ….
Fahmi: Eh! Man, kau jangan kecil bakat dan kebolehan aku dalam bola sepak tau!!
Man: Fahmi! Aku bukannya tak akui kebolehan kau,
walau hebat macam mana pun kau sekarang ni, tetap mustahil!!
Fahmi: Kau jangan cabar aku ….
Man: Hehehhee … jagalah dari lamunan!!
Jangan hidup dalam angan-angan! Kau tau tak,
Piala Dunia yang akan datang 2014, kau masih belum masuk
skuad kebangsaan dan pasukan kita dah tak berjaya masuk pun!!
Piala Dunia berikutnya 2018, pasukan Malaysia
masih ada peluang, tapi kau tak ada peluang langsung!!
Fahmi: Itu yang aku berlatih bersungguh-sungguh dari sekarang ni ... eh!
Tolonglah bagi semangat sikit!!
Man: Kalau umur kau lima belas tahun, aku memang sokong
dan bagi semangat kat kau, tapi umur kau tu dah tiga puluh lima tahun.
Pada 2018 nanti umur kau dah lebih empat puluh!!
Mana boleh main bola lagi umur tu, stamina dah tak ada!! Hehhhee ….
Tu la aku kata kau tu gila di abun!!
Fahmi: ????
Glosari:
Peribahasa: Gila di abun - mengangankan sesuatu yang tidak mungkin tercapai
Abun (abun-abun) - angan-angan
Nota Kaki
Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan
adanya beberapa cara untuk menyampaikan
sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza
disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi.
Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan
yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.
Prof Madya Dr Nor Hisham Osman
adalah Pensyarah Jabatan Linguistik,
Akademi Pengajian Melayu (APM),
Universiti Malaya.





