Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, December 28, 2011

Gila di abun








Mewah Bahasa:


Gila di abun




Man: Eh! Fahmi, lama tak nampak?



Fahmi: Ada ….

Man: Yea lah ada, tapi lama tak nampak.
Dulu setiap hari pagi Sabtu mesti jumpa kau kat pasar tani.
Sekarang ni ….



Fahmi: Hahaha …. Sibuk sikitlah!!


Man:
Sibuk? Kau sambung belajar ke?
Baguslah tu, kalau dah ada ijazah dapatlah jadi jurutera,
taklah jadi juruteknik rendah aje sampai tua.
Kan dulu dari kecil cita-cita kau nak jadi jurutera?!
Akhirnya ke arah itu juga kau yea, semoga berjaya mengejar cita-cita!!




Fahmi: Eh!! Idaklah, tak larat nak belajar lagi dah!




Man:
Habis tu, sibuk apa pulak?




Fahmi: Mengejar cita-cita juga.




Man: Mengejar cita-cita?




Fahmi: Ha’ah!! Mengejar cita-cita yang lebih tinggi, lebih besar!!
Bukan untuk diri aku saja, tetapi untuk negara.
Meletakkan negara kita di puncak persada dunia!!





Man:
Huh!! Mak ai …. Tingginya cita-cita kau tu ….




Fahmi: Haa … ni la cita-cita aku sejak kecil.
Dulu tak ada peluang dan kesempatan, sekarang ni
aku sedang berusaha bersungguh-sungguh memenuhi cita-cita aku tu
dan juga harapan negara!!





Man:
Apa sebenarnya cita-cita kau tu?




Fahmi: Aku sebenarnya sekarang ni sibuk latihan.




Man: Latihan?? Kau masuk Pertahanan Awam ke?!



Fahmi: Hahaha …. Pertahanan Awam pulak perginya.
Aku sibuk latihan bola sekarang ni, Sabtu Ahad memang kat padanglah!!





Man: Bola? Bola sepak? Eh! Kau biar betul ni ….




Fahmi: Aku nak jadi pemain bola sepak nombor satu di dunia.
Aku nak main untuk Malaysia dan nak bawa Malaysia menjadi juara piala dunia!!
Itulah impian aku sejak kecil dan aku akan buktikan aku boleh!!





Man:
Hahahaha …. Luculah!! Pandai kau buat lawak!! Hehehee ….




Fahmi: Itulah masalahnya orang kita,
tak percaya dengan kemampuan diri sendiri,
tidak punya keyakinan diri. Dulu aku macam kau juga,
lemah dan tak percaya pada kemampuan diri,
tapi sekarang aku dah berubah, tak macam dulu lagi.
Sekarang aku percaya dengan kemampuan diri aku,
aku percaya aku boleh! Malaysia boleh!!




Man: Hehehehe … kau memang hebat, semangat Malaysia boleh
dah mengalir dalam urat nadi kau tu!! Tapi ….





Fahmi:
Tapi apa pulak? Kau ingat aku tak serius ke?!




Man: Memang serius… hehhehe. Tapi bak kata orang tua-tua, kau tu gila di abun!!



Fahmi: Huh!! Udahlah tak mau bagi perangsang dan semangat,
kau kata aku gila pulak!! Inilah penyakit orang kita,
bila ada orang yang nak berubah, mulalah mencemuh
dan melemahkan semangat!!




Man: Hehhehe …. Fahmi, Fahmi … aku bukan kata kau gila,
tapi aku kata cita-cita kau tu hanyalah gila di abun!!





Fahmi:
Apa bendanya gila di abun ni?




Man: Peribahasa ni, peribahasa orang tua-tua kita dulu ….




Fahmi: Peribahasa ….




Man: A’ aa … peribahasa yang menerangkan cita-cita kau tu!!




Fahmi: Kau perli aku lagi ek?! Apa maknanya?




Man: Hehehe …. Maknanya, bercita-cita, atau lebih tepat lagi
mengangankan sesuatu yang tak mungkin tercapai!! Macam kau tu laa ….





Fahmi:
Eh! Man, kau jangan kecil bakat dan kebolehan aku dalam bola sepak tau!!



Man:
Fahmi! Aku bukannya tak akui kebolehan kau,
walau hebat macam mana pun kau sekarang ni, tetap mustahil!!





Fahmi: Kau jangan cabar aku ….




Man: Hehehhee … jagalah dari lamunan!!
Jangan hidup dalam angan-angan! Kau tau tak,
Piala Dunia yang akan datang 2014, kau masih belum masuk
skuad kebangsaan dan pasukan kita dah tak berjaya masuk pun!!
Piala Dunia berikutnya 2018, pasukan Malaysia
masih ada peluang, tapi kau tak ada peluang langsung!!





Fahmi:
Itu yang aku berlatih bersungguh-sungguh dari sekarang ni ... eh!
Tolonglah bagi semangat sikit!!




Man: Kalau umur kau lima belas tahun, aku memang sokong
dan bagi semangat kat kau, tapi umur kau tu dah tiga puluh lima tahun.
Pada 2018 nanti umur kau dah lebih empat puluh!!
Mana boleh main bola lagi umur tu, stamina dah tak ada!! Hehhhee ….
Tu la aku kata kau tu gila di abun!!




Fahmi: ????






Glosari:





Peribahasa
: Gila di abun - mengangankan sesuatu yang tidak mungkin tercapai



Abun (abun-abun) - angan-angan






Nota Kaki





Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan
adanya beberapa cara untuk menyampaikan
sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza
disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi.
Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan
yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.






Prof Madya Dr Nor Hisham Osman



adalah Pensyarah Jabatan Linguistik,


Akademi Pengajian Melayu (APM),


Universiti Malaya.



2 comments:

  1. ini kali pertama saya dengar peribahasa ni. apa2pun ia menarik dan menggelikan hati.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...