Guru mesti mahir nilai isu
Usah tertipu berita negatif
mengenai kerajaan di media sosial
Jertih: Kakitangan awam khususnya guru disaran tidak mudah terpengaruh dengan paparan negatif terhadap kerajaan menerusi media sosial sehingga timbul sikap tidak mempercayai dan membenci pemerintah.
Kalau ingin jadikan Malaysia negara maju dengan warganya yang hebat, guru harus ketepi amalan mudah mempercayai fakta tidak sahih dalam sesetengah media sosial” Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II
“Banyak perkara negatif dipaparkan dalam media sosial yang tidak diketahui sumber sebenar dan ini perlu ditapis setiap guru sebagai golongan terpelajar.
“Kalau ingin menjadikan Malaysia negara maju dengan warganya yang hebat, guru seharusnya mengetepikan amalan mudah mempercayai fakta tidak sahih dalam sesetengah media sosial,” katanya pada program Bicara Intelektual kepada warga pendidik di Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan di Bukit Keluang di sini, semalam.
Gabung tenaga pakar
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd Ghaffar Mahmud; Pengarah Pendidikan Kelantan, Hussin Awang dan Pengarah IPG Sultan Mizan, Kamaruddin Hashim.
Sementara itu, Idris menyarankan digabungkan tenaga pakar di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan wujud pengaliran ilmu dan kemahiran secara terus yang boleh dimanfaatkan pelajar sekolah.
Melalui penggabungan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, ahli akademik seperti profesor dan pensyarah boleh menyampaikan kepakaran mereka kepada pelajar sekolah dan maktab pada bila-bila masa.
“Kita tidak mahu lagi melihat pakar atau profesor berada dalam alam pekerjaan mereka di IPT saja, malah sekali-sekala mereka juga boleh turun padang untuk menyampaikan ilmu di sekolah,” katanya.
Program Brain Bee
Justeru, katanya langkah Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan yang mengadakan Program Brain Bee dengan SMK Kuala Besut boleh dicontohi, yang bertujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.
Dalam program itu, beberapa profesor, termasuk Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Nuerosians USM, Prof Dr Jafri Malin Abdullah yang juga pakar pembedahan otak akan berinteraksi terus dengan pelajar.
No comments:
Post a Comment