Mental pemain Johor DT
tidak terjejas: Fandi
Johor Bahru: Mental pemain Johor Darul Takzim (DT) tidak terjejas
biarpun terpaksa menempuh detik hitam ketika di Stadium Darul Makmur,
Selasa lalu malah sudah bersedia untuk berdepan Pahang pada saingan
separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Fandi Ahmad berkata, perlawanan yang dibatalkan selepas kekecohan di Kuantan nyata meningkatkan lagi moral pemain yang sudah bersedia untuk berdepan skuad Tok Gajah tatkala memiliki bekalan 1-0 selepas menang pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu.
"Perlawanan akan diteruskan. Kita sudah bersedia tidak kisah beraksi di gelanggang mana pun. Moral pemain tampak begitu tinggi untuk membuat perhitungan di gelanggang berkecuali.
Kita sudah bersedia bagi menentukan slot ke final Piala FA. Pemain juga tidak trauma dengan insiden di Stadium Darul Makmur tempoh hari kerana mereka adalah pemain profesional dan perlu menerima kenyataan apa yang terjadi.
"Sebenarnya kita sudah bersedia untuk beraksi di Kuantan tetapi apakan daya perlawanan itu terpaksa dibatalkan malah kita juga tidak sabar untuk beraksi di Bukit Jalil," katanya.
Fokus buru kemenangan
Mengulas Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi medan penentu memburu slot final untuk berdepan Kelantan, 29 Jun ini, Fandi nyata akur dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Keputusan sudah dibuat oleh FAM dan kita ikut apa jua yang ditetapkan. Apa yang kita inginkan adalah beraksi di padang dan memburu kemenangan untuk layak ke final. Saya juga arahkan pemain supaya fokus selepas kita sudah berhempas pulas untuk layak ke separuh akhir dan rugi jika tidak ambil kesempatan itu," kata Fandi.
No comments:
Post a Comment