Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, June 1, 2013

Israk, Mikraj simbolik kuasa Pencipta


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjMeBdtAbI6aSOvlFrRataBkwpcbnClduDtFgMehN50hBnB-RSuggTBAGQKNN7lb2LPr06dvmq4XFrkcdadLZHSCK8pclbmT723V0PhiO5YcJX5K4TFYHQT2svgY4rnL9XMHbd259eZewmg/s400/israkmikrajsk.jpg

Israk, Mikraj

 simbolik kuasa Pencipta

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah perjalanan terindah dalam sejarah manusia. Tiada yang lebih indah daripada perjalanan menuju kepada Allah SWT dan ia juga kemuncak kemuliaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang lama bersabar menunaikan dakwah agama Allah SWT. 


Tibalah masanya Allah SWT mengurniakan suatu mukjizat terbesar kepada Baginda SAW iaitu Israk dan Mikraj bertujuan menyatakan kepada dunia bahawa penghuni langit sentiasa menerima kedatangan Baginda SAW dengan penuh penghormatan.

Perkara tersirat dalam peristiwa ini adalah lebih jauh daripada apa yang difahami di mana Allah SWT hendak menunjukkan keluasan kerajaan-Nya kepada Rasulullah SAW dan umat manusia walaupun Baginda SAW merasa kesempitan hidup hasil daripada tekanan dihadapi. 



Ia akan menyuntik semangat kepada Baginda SAW supaya terus gigih membawa perubahan tamadun manusia berdasarkan wahyu walau ditentang oleh orang kafir. 


Peristiwa Israk dan Mikraj adalah simbolik kepada satu kuasa yang tidak dapat digugat oleh sesiapa. Cahaya Islam yang terpancar di bumi tidak akan terpadam walaupun seluruh dunia berusaha memadamkannya. 


Kekuatan dihasilkan daripada peristiwa ini dapat dijana melalui ibadat solat yang juga anugerah terulung pada malam itu. Kemuliaan dikurniakan kepada Baginda SAW adalah sesuatu yang tidak ternilai dan tiada kepada nabi lain. 


Allah SWT juga menzahirkan martabat Nabi Nabi Musa pada malam itu dengan memperkenankan pandangan Nabi Musa berkaitan bilangan solat. Ini adalah kerana ujian yang diterima Musa tidak jauh berbeza dengan Baginda SAW. 

Perintah ibadat solat
 
Peristiwa penting ini juga ada kaitan dengan ibadat solat lima waktu. Allah SWT menjemput Nabi Muhammad SAW menghadap-Nya untuk diberikan perintah khusus kewajipan mengerjakan solat fardu lima waktu. Ini menunjukkan pentingnya ibadah solat hingga Rasulullah SAW menyatakan solat adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, dia menegakkan agama dan sesiapa meninggalkannya seperti meruntuhkan agama. 


Syurga yang dilawati Rasulullah SAW membawa pengertian bahawa umat Baginda SAW akan dimasukkan ke syurga seluruhnya. Baginda SAW bertanyakan sahabat: Adakah dalam kalangan kamu yang merasai syurga? Jawab Abdullah bin Umar: Saya wahai Rasulullah. Adakah di antara kamu yang merasai buah-buahan dan minuman syurga? Jawab Abdullah lagi: Saya. Jawab bapanya Umar: Aku menutup kepalaku kerana malu. Lalu Baginda SAW meminta penjelasan Abdullah. Abdullah berkata: Sesungguhnya saya merasai apa yang engkau rasa pada malam Israk dan Mikraj dan kita semua akan merasainya pada Hari Kiamat. 


Berdisiplin susun tindakan
 
Perjalanan ke langit mengajar kita cara berdisiplin dan menyusun tindakan apabila Baginda SAW meminta keizinan pada setiap pintu langit. Apakah Allah SWT dan malaikat tidak mengetahui kedatangan Baginda SAW pada malam itu? 


Jawapannya tidak, namun simbolik kepada kita semua pentingnya disiplin dalam kehidupan supaya ia berjalan dengan lancar. Sabda Baginda SAW: Kebenaran yang tidak sistematik akan tewas dengan kebatilan yang lebih berkesan dan sistematik.
 
Masjid dijadikan tempat permulaan dan penutup kepada peristiwa ini menunjukkan masjid adalah penting untuk kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Di situlah manusia berkumpul mengeratkan hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. 


Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW:
" Mahukah kalian 
aku tunjukkan suatu urusan
 yang akan menghapuskan
 kesalahan dan meninggikan 
 darjat seseorang?
 Mereka menjawab: 
Ya, wahai Rasulullah. 
Baginda bersabda:
 Menyempurnakan wuduk 
pada waktu yang sukar, 
banyakkan langkah ke masjid dan
 menunggu solat (berikutnya) 
selepas (melakukan solat). 
 Maka itu adalah tali pengikat a
ntara kamu dengan Allah SWT. 
(Riwayat Muslim) 


Manusia hari ini, keluar berjalan dan melihat keindahan bumi adalah salah satu cara untuk menghilangkan segala tekanan serta bebanan hidup. Demikianlah Allah SWT menghilangkan kesedihan Baginda SAW terhadap kehilangan orang tersayang iaitu Khadijah dan Abu Talib. 
 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiGPKZ1Oc19CYxfvp2RnX1MYh41N11EWtod_8CPEiPdt45mNkkoHq0kEXy-v1jfk10PlcJlg90VxoUpDmCAVrrtCPRUmJ2TxzPDDFud_7X3ZjVxJYPlDxkrS2ElhsnXvqvEqvAca7DH3NE/s1600/223933_309485635810742_1156326165_n.jpg

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...