Sabar, kebaikan
cara berkesan bukti
kesyumulan Islam
Akhlak yang baik mampu mengubah seseorang ke arah kebaikan. Kebaikan akan
meresap ke dalam hati manusia secara perlahan-lahan walaupun ada kalanya
perbuatan itu nampak kecil, tetapi meninggalkan kesan yang besar.
Contohnya, apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mempersendakan Islam atau ajarannya, kita sepatutnya sabar dan membalas tindakan mereka dengan kebaikan. Sabar dan kebaikan ini bukan bermakna kita tidak melawan, ia strategi halus boleh menyentuh perasaan secara perlahan-lahan.
Kebaikan yang ditunjukkan
melalui penjelasan untuk memberi kefahaman kepada salah faham itu jika
dilakukan secara istiqamah, lama kelamaan membuka mata mereka untuk melihat
kemurnian Islam.
Umat Islam perlu menjaga
keharmonian hidup bersama dengan bukan Islam dalam keadaan prinsip Islam
dijaga."
Malangnya, ramai antara kita mengambil jalan pintas melepas geram dengan kata-kata kesat dan kasar. Membalas kejahatan dengan kejahatan tidak akan menginsafkan manusia, sebaliknya menambahkan lagi penyakit dalam hati.
Contohilah Rasulullah SAW yang mampu memberi senyuman kepada orang kafir Quraisy walaupun mereka melemparkan batu dan najis kepada Baginda. Walaupun kisah ini sudah beratus tahun lamanya, hingga hari ini ia masih disebutkan di dunia Islam, malah oleh bukan Islam.
Menghormati semua bangsa
Perbezaan agama adalah perbezaan ajaran dan cara amalan keseluruhannya. Ia
mungkin dianggap pelik daripada ajaran kita. Namun, kita diwajibkan menghormati
mereka tanpa sebarang alasan. Jika ingin agama kita dihormati, jangan
memperkecilkan kepercayaan orang lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
" Allah tidak
melarang kamu
daripada berbuat
baik
dan berlaku adil
kepada orang-orang
yang tidak
memerangi kamu kerana
agama
(kamu)
dan tidak mengeluarkan kamu
dari kampung
halaman kamu;
sesungguhnya
Allah
mengasihi orang yang
berlaku adil.”
(Surah al-Mumtahanah, ayat 8)
Kebanyakan pengakuan mereka yang mendapat hidayah Allah mengaku mereka sentiasa
didedahkan mengenai unsur keganasan, diskriminasi terhadap wanita dan salah
faham lain terhadap Islam tanpa tanpa memahami hakikat sebenarnya.
Maknanya, disebabkan bukan Islam didedahkan kepada perkara negatif yang direka
atau fitnah musuh Islam, maka kebenaran tertutup. Maka, menjadi tanggungjawab
kita untuk menjernihkan pemahaman dan memperbetulkan salah faham itu.
Ada juga rakan bukan Islam akan bertanyakan mengenai agama Islam. Peluang ini
sepatutnya digunakan untuk menjelaskan kebenaran Islam supaya mereka memahami
kemurnian agama Islam.
Selain penjelasan, cara berkesan untuk menunjukkan kesyumulan Islam ialah
melalui tindakan. Maka tunjukkan keindahan atau hikmah di sebalik segala
perintah Allah. Kebanyakan yang menerima Islam kerana tertarik dengan kebaikan
tersembunyi di sebalik ajaran Islam.
Serlahkan keindahan Islam
Ramai yang tidak nampak keindahan Islam kerana hanya Islam pada nama. Seharusnya
kita berasa bertuah terhadap nikmat iman yang diberikan Allah SWT. Menjadi umat
yang terpilih ini menuntut usaha untuk berdakwah kepada Muslim dan bukan
Muslim.
Umat Islam perlu menjaga keharmonian hidup bersama dengan bukan Islam dalam
keadaan prinsip Islam dijaga. Umat Islam juga dilarang menimbulkan perselisihan
dan mencetuskan permusuhan dengan orang yang bukan Islam.
Bermula hari ini, mari kita bermuhasabah diri, sejauh mana akhlak kita telah
fahami dan amalkan serta pamerkan dalam muamalah dengan semua orang. Semaikan
dalam hati dan minda bahawa kita wajib berlaku baik kepada semua orang demi
memelihara kesucian Islam.
P/s :
Hanya peringatan untuk diri sendiri :)
No comments:
Post a Comment