Malaysia ke-71 daripada 144 negara
Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan berkata, Malaysia membuat kemajuan yang baik apabila menduduki tempat ke-71 tahun ini berbanding tempat ke-78 pada 2011.
“Laporan ini sebenarnya sangat penting untuk Malaysia memandangkan ia mengukur prestasi kita dalam tahun ini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Model Baru Ekonomi (NEM) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP),” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.
Indeks Kebebasan Ekonomi tertangguh dua tahun berikutan kelewatan penyiaran data global dan peningkatan kedudukan itu menunjukkan agenda ekonomi kerajaan berjaya meningkatkan kedudukan negara yang susut sejak beberapa dekad lalu.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu terus komited dalam meliberalisasikan semangat NEM dan mengelak kecenderungan menawarkan habuan populis serta subsidi menjelang pilihan raya umum memandangkan ia memberikan impak negatif ke atas kedudukan Malaysia di peringkat dunia.
Laporan kali ini juga menunjukkan sistem ekonomi yang lebih liberal berkait rapat dengan pendapatan per kapita yang lebih tinggi serta pertumbuhan ekonomi.
Hong Kong sekali lagi mendominasi senarai berkenaan dengan menduduki tangga teratas diikuti Singapura, New Zealand dan Switzerland. Di kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia mencatatkan kedudukan lebih baik berbanding Indonesia yang berada di tangga ke-76, Thailand (87) dan Vietnam (96) namun, masih jauh ketinggalan berbanding Singapura yang berada di tangga kedua.
Negara lain yang disenaraikan termasuk Amerika Syarikat menduduki tangga ke-18, Jepun (20), Jerman (31), Perancis (47), Itali (83), Russia (95), Brazil (105), China (107), dan India (111).
No comments:
Post a Comment