Wujudkan dunia selamat
untuk kanak-kanak
Pada 1952, Kesatuan Kebajikan Kanak-Kanak Antarabangsa membawa
satu usul penting ke Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) iaitu yang mendesak agar setiap negara anggota badan dunia itu
mengiktiraf Hari Kanak-Kanak Sedunia sebagai tanda keprihatinan terhadap
nasib serta kebajikan kanak-kanak seluruh dunia.
Akhirnya
mulai 1953, setiap negara anggota PBB menjadikan hari Sabtu terakhir
Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Kanak-Kanak peringkat
kebangsaan di negara masing-masing.
Ketetapan ini satu langkah penting warga dunia untuk mengambil
peduli terhadap nasib kanak-kanak sejagat yang sewaktu itu menjadi
mangsa keadaan dunia yang baru menamatkan Perang Dunia Kedua. Sejak
tarikh itu banyak usaha dilakukan agar tahap kebajikan, keselamatan dan
kesejahteraan kanak-kanak sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.
Namun, usaha mewujudkan dunia yang selamat dan sejahtera
kepada kanak-kanak bukan suatu usaha mudah yang mampu dijayakan
segelintir individu atau kumpulan atau juga sebuah negara.
UNICEF atau United Nation Children’s Fund iaitu organisasi di bawah
PBB yang bertanggungjawab mengawal selia isu pembangunan, pemeliharaan
dan pembelaan kanak-kanak seluruh dunia menyatakan bahawa tahap
kesihatan dan kesinambungan kehidupan kanak-kanak terletak di tengah
kemajuan manusia.
Ini bermakna, maju mundur golongan kanak-kanak ada
kaitan langsung dengan cara pemikiran, keputusan serta tindakan
golongan dewasa. Walaupun kesedaran mengenai perlunya membela nasib
kanak-kanak telah muncul sejak awal 1946, namun ia masih gagal
menghalang ancaman terhadap golongan yang lemah ini.
40,000 mati setiap tahun
Pada 1986, UNICEF menyatakan ada 40,000 kanak-kanak yang mati pada
setiap tahun. Maknanya, sejumlah besar kanak-kanak yang sepatutnya
menyambung kehidupan generasi masa depan lenyap sekelip mata akibat
kejadian kebuluran, kekurangan zat makanan, serangan penyakit, dan
konflik peperangan akibat perbezaan ideologi dan perseteruan kaum.
Kini, walaupun UNICEF kelihatan begitu serius untuk
memastikan pembangunan manusia khasnya kanak-kanak dapat dipertahankan
untuk jangka masa panjang namun ia masih gagal menyekat kejadian
peperangan dan konflik terbaru sehingga menyebabkan kematian kebuluran
dan kematian kanak-kanak berterusan.
Dalam situasi kemelesetan
ekonomi kini, dikhabarkan ada satu bilion umat manusia yang jatuh
miskin dan sudah pasti kanak-kanak juga menjadi mangsa yang terburuk.
Hakikatnya, dalam dunia peperangan dan kelaparan yang mana setiap orang
mengejar waktu untuk hidup, maka kanak-kanak sering terkebelakang dari
segi keutamaan atau hak.
Kanak-kanak dipaksa menggalas senjata
Malah lebih buruk lagi, bukti menunjukkan terdapat kanak-kanak yang
dipaksa menggalas senjata untuk menjadi pembunuh atas kepercayaan untuk
mempertahankan maruah dan kepentingan.
Sesetengah pemimpin dan
orang berpengaruh di rantau yang bergolak menipu kanak-kanak dengan
menghulur sebuku roti yang berlapikkan pisau di tangan kanan dan
memaksa kanak-kanak ini pergi ke ‘medan perang’ atas nama perjuangan,
sedangkan di tangan kirinya telah terhunus sepucuk pistol yang akan
memecahkan kepala kanak-kanak ini sekiranya mereka enggan menurut
perintah.
Kanak-kanak ini membesar dengan kepercayaan palsu
bahawa mereka adalah pejuang tulen yang sama taraf seperti watak
‘Rambo’ dalam paparan perang Amerika melawan Vietnam. Istilah
kemanusiaan, kasih sayang, simpati dan kesakitan dalam diri kanak-kanak
malang ini amat jauh sekali maknanya dengan piagam PBB terhadap
kanak-kanak seperti yang dipersetujui oleh keseluruhan negara
anggotanya.
Kanak-kanak di Malaysia lebih baik
Suasana dan persekitaran yang wujud untuk kanak-kanak di Malaysia
pastinya jauh lebih baik berbanding paparan yang dinyatakan di atas.
Sebahagian besar kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dalam suasana yang
menggembirakan. Kekuatan institusi sosial yang berasaskan nilai
kekeluargaan dan ditambah lagi dengan sokongan prasarana kesihatan yang
baik menjadikan kelahiran bayi yang selamat serta sihat amat tinggi di
negara ini.
Namun, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan
pencapaian yang ada ini. Memahami bahawa negara masih menghadapi
cabaran pembangunan yang masih belum sekata dengan pelbagai aspek
perbezaan sosioekonomi serta demografi, maka adalah penting buat kita
semua menjadikan aspek pemeliharaan, perlindungan serta pemulihan
kanak-kanak sebagai keutamaan kita. Perlu lebih banyak pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) diwujudkan untuk memantau dan memperjuangkan isu
ini pada setiap sudut kehidupan.
Masih ramai kanak-kanak yang
yang terpaksa berpisah dengan induk keluarga atas masalah yang
ditimbulkan oleh orang dewasa. Perceraian ibu bapa sering menjadikan
kanak-kanak mangsa keadaan yang menjejaskan keseluruhan kualiti hidup.
Masih ramai kanak-kanak (khasnya anak-anak yatim) kita yang terkeliru di
antara paksaan untuk mencari dana pengajian agama di madrasah dengan
makna tanggungjawab memenuhi tuntutan sebagai penganut yang taat.
Amatlah malang seorang anak yatim yang ditetapkan haknya sebagai asnaf
sepatutnya dilindungi umat Islam terpaksa menghabiskan sebahagian
usia remaja dengan menjadi peminta sedekah.
Penulis ialah
Presiden Majlis Belia Malaysia
No comments:
Post a Comment