Putera  William dan  dan Catherine  disambut pelbagai lapisan masyarakat ketika tiba  di  Taman KLCC, semalam.
Putera William dan dan Catherine
disambut pelbagai lapisan masyarakat ketika tiba
di Taman KLCC, semalam.




3,000 kibar bendera sambut pasangan diraja

Britain di Taman KLCC




Kuala Lumpur: Lebih 3,000 segenap lapisan masyarakat membanjiri Taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pagi semalam, bagi melihat lebih dekat pasangan diraja Britain, Putera William dan Catherine.




Duke dan Duchess of Cambridge yang tiba jam 10.30 pagi disambut dengan sorakan orang ramai yang tiba seawal 8 pagi sambil mengibarkan bendera Malaysia dan Britain.



Pasangan itu dibawa menaiki buggy dari luar pusat beli-belah Suria KLCC sehingga ke pintu masuk taman dan kemudian berjalan untuk bersalaman dan melambai kepada orang ramai.




Persembahan kebudayaan






Ketibaan pasangan diraja itu disambut dengan paluan gendang dan tarian kebudayaan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta dipersembahkan dengan alunan alat muzik tradisional daripada pelbagai kaum termasuk gambus, kulintangan, sape, sitar dan er hu.




Orang ramai yang hadir ternyata teruja dan kagum dengan kecantikan Catherine yang memakai gaun berwar-na putih mutiara dan kesegakan William yang menyarungkan sut berwarna biru gelap.




Putera William dan Catherine atau lebih dikenali sebagai Kate sentiasa melemparkan senyuman kepada orang ramai yang turut memberikan kuntuman bunga mawar.
Priyenshar Sebastian, 19, yang datang sejak 8 pagi bersama rakannya Sangeeta Arokiasamy, 22, gembira sehingga tidak mampu berkata-kata apabila melihat pasangan diraja itu di hadapan mata mereka.




Pelajar di Help Institute itu sanggup berlari untuk mengikut Putera William dan Kate yang berjalan di sepanjang Taman KLCC itu.




"Walaupun kami tidak dapat bersalaman dengan pasangan itu, tetapi kami gembira dan seperti tidak percaya dengan pengalaman ini, mujur kami sempat merakam gambar mereka," katanya yang memakai subang bendera Britain.




Warga Scotland, Lynn Maitland, 40, isteri kepada seorang ekspatriat cukup teruja apabila pasangan diraja itu sempat bersalaman dan berbual pendek dengannya.




Rasa gementar





“Saya rasa gementar. Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya. Saya tidak pernah mendapat peluang berada begitu dekat dengan pasangan diraja ini dan baginda berdua bertanyakan saya dan beberapa rakan saya beberapa soalan mengenai di mana kami tinggal di sini dan tempat kerja suami,” katanya yang telah menetap di sini selama enam tahun kerana mengikuti suaminya yang bekerja di Petronas. - BERNAMA