Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi tempoh 2013 hingga 2025 sudah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin. Ia disambut dengan pelbagai reaksi oleh pelbagai golongan sama ada yang terbabit secara langsung dengan pendidikan atau secara tidak langsung.





Terkandung di dalamnya ialah laporan maklum balas yang diterima daripada sesi dialog pendidikan, persidangan, seminar dan perbincangan meja bulat yang diadakan oleh pihak yang berminat mengenai pendidikan negara.





Proses mencanai potensi





Pendidikan bagi sesebuah negara adalah satu perkara yang amat penting. Di sinilah proses mencanai perkembangan dan potensi serta menakrif ciri dan identiti warga negara pada masa hadapan. Bagi pendidikan di Malaysia ia terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang mendefinisikan matlamat dan fungsi pendidikan di negara kita ini.





Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menggariskan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh 22 tahun akan datang. Ia satu tempoh yang penting dan amat getir kerana dalam tempoh berkenaan kita akan melalui tahun 2020 yang menakrifkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.





Penulis tidak berhasrat untuk membincangkan PPPM secara keseluruhan dalam ruang yang terhad dan terbatas ini, tetapi sekadar berkongsi pandangan kerana PPPM masih pada peringkat draf dan ruang masih terbuka bagi maklum balas diajukan kepada Kementerian Pelajaran.





Dalam PPPM, perkara yang paling menonjol adalah hasrat untuk melonjakkan pendidikan di Malaysia ke tahap antarabangsa, baik dari sudut guru, kemudahan pendidikan, pembangunan kurikulum, pembangunan pelajar mahupun kemahiran berfikir. Semuanya diletakkan kayu ukur yang menepati piawaian antarabangsa.






TIMS dan PISA yang juga satu rujukan penting bagi menilai kedudukan negara dalam pembelajaran Sains dan Matematik turut menjadi perhatian dalam PPPM ini. Ia sekali lagi satu ujian terhadap kemampuan kognitif pelajar. Sudah sampai masanya kita mencirikan pembelajaran Sains dan Matematik berakar umbi kepada masyarakat kita.






Sains umpamanya perlu diajar seiring dengan nilai kehidupan dan kemanusiaan. Ia adalah satu bidang ilmu yang meliputi cakupan pancaindera dan bermatlamatkan untuk mengenali Allah sebagai Pencipta. Ia sarat dengan nilai yang mengukuhkan keyakinan kepada Allah. Menerusi nilai ini ia akan melahirkan individu yang mempunyai akhlak yang baik dan terpuji.






Sains dalam dimensi ini tidak mendapat tempat pada peringkat antarabangsa. Maka tidak hairanlah tamadun Barat yang berteraskan kemajuan sains dan teknologi akhirnya menjerumuskan mereka ke dalam satu krisis kemanusiaan yang parah. Ramai pakar pendidikan mereka sudah mula mengkritik sistem pendidikan mereka sendiri yang gagal melahirkan insan.






Seperkara menarik dalam PPPM ini adalah mengenai pelaku pendidikan iaitu golongan guru. Secara jelas dan spesifik martabat guru akan diangkat bermula dari calon guru sehinggalah kepada latihan dan skim perkhidmatan.






Sememangnya ia disambut baik oleh kita semua kerana guru adalah kelompok terpenting dalam mencorakkan masa depan negara menerusi pendidikan. Namun seharusnya hasrat ini melimpah kepada guru di sekolah agama yang bukan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran seperti sekolah agama rakyat, sekolah menengah agama kerajaan negeri dan sekolah agama persendirian.






Aspek kokurikulum juga masih memerlukan perhatian yang sewajarnya. Seharusnya wujud satu kaedah untuk membantu sekolah jenis ini bagi menghadapi perubahan sistem pendidikan yang semakin kompleks.





Pantau sekolah antarabangsa





Persoalan yang timbul sejak Laporan Razak perlu diselesaikan segera. Jika dulu kita berhadapan dengan sekolah vernakular, kini kita berhadapan pula dengan sekolah antarabangsa yang semakin subur dan mendapat sambutan masyarakat. Ia secara terang memberikan pilihan untuk rakyat keluar daripada sistem pendidikan arus perdana jika tidak ditangani dengan berhati-hati.







Persoalan pendidikan menggamit perhatian banyak pihak. Ia membabitkan masa depan kita, masa depan negara dan yang lebih penting adalah masa depan kita di hadapan-Nya.