'Sangka rakan rupanya buaya'
Kuching: “Mulanya saya sangka rakan bergurau dengan menerkam paha saya dalam air, namun sebaik menoleh ke belakang, saya lihat lima rakan berada agak jauh.
“Saya terus meraba ke bawah sebelum terpegang benda keras dan menggerutu, sebelum menyedari ia seekor buaya besar,” kata Ashley Austin Chin, 14.
Dia yang ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini menceritakan detik cemas diserang buaya ketika berkelah di pantai Pasir Pandak, Santubong, pada jam 7.30 pagi semalam. Gigitan itu menyebabkan dia cedera di paha dan betis kanan.
Dalam kesakitan selepas kedua pahanya digigit buaya, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong itu terus melepaskan tumbukan ke arah mata dan mulut buaya berkenaan.
Tumbuk mata buaya
“Selepas tumbukan yang saya lepaskan mengena mata buaya berkenaan, barulah reptilia itu melepaskan gigitan dan saya terus menendangnya sebelum menyelamatkan diri dengan dibantu rakan,” katanya.
Austin berkata, dia bersama lima rakan lain pergi berkelah ke Pasir Pandak sempena cuti sekolah dan cuti Aidilfitri.
Katanya, dia tidak menyangka sama sekali ada buaya di situ berikutan pantai berkenaan sentiasa menjadi tumpuan ramai.
Remaja itu juga kesal kerana tidak mengendahkan larangan ibunya supaya tidak pergi ke pantai lagi, selepas pulang daripada berkelah di Pantai Sematan, kelmarin.
“Mujur saya selamat dan serik untuk pergi ke pantai berkenaan lagi selepas ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment