Kisah raja pecut
SUKAN Olimpik akhirnya melabuhkan tirainya hari ini. Sejak ia bermula pada 27 Julai lepas, kehangatan dan kemeriahan sukan ini sememangnya amat dirasai. Namun antara acara yang paling mendapat perhatian kebanyakan penduduk dunia sudah tentu acara pecut 100 meter.
Acara ini sememangnya ditunggu-tunggu, namun masih belum jelas kenapa ia begitu didambakan berbanding pelbagai sukan lain di Olimpik.
Ada yang menyatakan kerana persaingan sengit antara atlet yang bertanding termasuk beberapa nama besar mengakibatkan ia menjadi tumpuan.
Mungkin juga kerana peranan media termasuk akhbar yang memberi liputan meluas terhadap pemenang acara ini selain persaingan sengit antara atlet yang terlibat.
Namun hakikatnya sukan ini mula mendapat perhatian sekitar 1980-an dengan menjadikan pelari Amerika Syarikat (AS), Carl Lewis sebagai ikon.
Ini kerana Lewis telah berjaya mengubah hidup para atlet balapan dengan menjadikan dirinya rebutan media dan syarikat swasta yang berminat menjadikannya model iklan komersial.
Sejak acara ini diperkenalkan pada 1896, ternyata ia telah mencatat sejarah yang bukan sedikit. Malah ia hampir digunakan sebagai alat propaganda pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler pada kejohanan Olimpik 1936 di Munich.
Waima apapun yang diperkatakan tentang acara penuh prestij ini, namun yang pasti pemenangnya akan diangkat sebagai “manusia terpantas di dunia".
Jaguh pecut negara
Malaysia turut mempunyai beberapa nama besar dalam arena sukan pecut negara. Antaranya Sidique Ali Merican yang mencipta nama sekitar 1949 dan 1954 lalu dinobatkan Raja Pecut Malaya, selepas mencatatkan masa 10.3 saat dengan berkaki ayam dalam acara 100 ela (acara pecut ketika itu yang kemudian digantikan dengan acara 100 meter) pada satu kejohanan di Kota Bharu.
Bagaimanapun kejayaan Sidique yang paling mengagumkan ialah muncul rakyat Malaysia pertama berjaya melakukan catatan di bawah 10 saat bagi acara 100 ela pada 1952. Catatan 9.8s dilakukannya pada satu kejohanan antara universiti di Britain ketika melanjutkan pelajaran di Kolej Loughborough.
Beliau pernah bertugas sebagai guru dan Ketua Pengarah Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selain pernah menjadi Penolong Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dari 1974 hingga 1986. Beliau meninggal dunia pada 12 Mei 2009.
Dikenali sebagai The Flying Doctor, Tan Sri Dr. M. Jegathesan merupakan legenda sukan pecut negara. Memegang status pelari terpantas Asia selama lapan tahun pada era 1960-an, beliau mula mengorak langkah dalam arena olahraga ketika dibesarkan di Kuala Lumpur.
Kedudukannya pada ketika itu sukar digugat oleh mana-mana pelari benua Asia setelah memenangi pingat emas di Kejohanan Sukan Asia Bangkok 1966 dalam acara 100, 200 dan 4x100 meter. Jegathesan juga pelari pertama Malaysia yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Sukan Olimpik di Rom pada 1960 dalam acara pecut 100 meter.
Beliau pernah melayakkan diri ke gelanggang Olimpik sebanyak tiga kali berturut-turut pada 1960, 1964, 1968 dan menjadi atlet Malaysia pertama ke separuh akhir 200 meter pada 1964 dan mengulanginya empat tahun kemudian.
Seorang lagi pelari pecut yang berjaya mengharumkan nama negara ialah Rabuan Pit. Anak penoreh getah dari Melaka ini berjaya memperoleh kejayaan cemerlang ketika mewakili negara dalam kejohanan Sukan SEA 1979 dengan memenangi emas dalam acara 400 dan 200 meter.
Beliau berjaya membuktikan anak tempatan boleh melakar nama di peringkat antarabangsa apabila memenangi pingat emas acara 100 meter di Kejohanan Sukan Asia 1982 di New Delhi, 16 tahun selepas Jegathesan berjaya melakukannya.
No comments:
Post a Comment