Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, May 19, 2012

Tingkat ilmu ketika bekerja





Tingkat ilmu ketika bekerja


Pendidikan mampu bentuk akal, perwatakan





APABILA kita mengamati pencapaian bangsa yang maju dan pembangunan tamadun silam, maka kita akan mendapati pelbagai faktor menyumbang kepada kejayaan itu antara yang utama disebabkan kualiti pendidikan serta ketinggian nilai diri dalam bidang keilmuan.







Kualiti pendidikan bukan semata-mata yang dibentuk secara formal dan sistematik di sekolah atau universiti, tetapi juga di rumah, tempat kerja dan persekitaran masyarakat.
Sering terlintas dalam benak fikiran orang bekerja adalah untuk mendapatkan gaji. Benar, namun peluang keemasan lain yang perlu direbut ialah pengetahuan dan pengajaran supaya bukan saja dapat mencapai matlamat serta hasrat organisasi tetapi menambah nilai bagi kerja termasuk profesionalisme dan lebih utama menjadi ibadat.
Pendidikan membentuk akal, menajamkan minda serta mempengaruhi perwatakan dan tindakan seseorang.







Justeru, ia sangat penting untuk diteruskan sepanjang hayat sebagaimana seruan supaya menuntut ilmu daripada buaian sehingga ke liang lahad.







Benarlah mengapa ayat al-Quran pertama diwahyukan menjurus kepada seruan pencarian dan pengkajian ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT bermaksud:







“(Wahai Muhammad)

Bacalah dengan nama Tuhanmu

yang menjadikan (sekalian makhluk).”









Sayyid Qutb dalam tafsir fi Zilal al-Quran menyatakan, di samping menjelaskan hakikat penciptaan manusia, ayat ini juga menjelaskan hakikat mengajar iaitu bagaimana Allah mengajar manusia dengan pena yang menjadi alat mengajar paling luas dan mendalam kesannya kepada kehidupan manusia sehingga ke hari ini.









Ayat ini turut memerintahkan amalan iqra’ iaitu membaca menjadi asas penerokaan ilmu. Manakala apa yang dipelajari pula hendaklah membawa kepada kebaikan dan keimanan kepada Allah SWT.









Rasulullah mensyaratkan tawanan Perang Badar yang tidak mampu ditebus dengan harta, menebus diri dengan mengajar orang Islam menulis dan membaca. Namun, yang menyedihkan umat Islam sehingga kini ialah kadar literasi di negara majoriti Islam sendiri masih rendah sekitar 60 ke 70 peratus.










Justeru, dalam merealisasikan kewajipan iqra, dua tindakan utama perlu dipupuk dalam masyarakat iaitu minat belajar dan peka untuk mengambil sebanyak pelajaran atau pengajaran sepanjang kehidupan termasuk ketika bekerja.









Pepatah Arab menyatakan ilmu (terhasil) dengan belajar dan lemah lembut (terhasil dengan perbuatan yang) berlemah lembut. Oleh kerana sebahagian besar daripada hari dan masa kita diluangkan di tempat kerja, maka peluang dan kesempatan belajar dan mengambil pelajaran dalam persekitaran kerja sama ada secara langsung atau tidak, perlu dititikberatkan.









Sering terlintas dalam benak fikiran orang bekerja adalah untuk mendapatkan gaji. Benar, namun peluang keemasan lain yang perlu direbut ialah pengetahuan dan pengajaran supaya bukan saja dapat mencapai matlamat serta hasrat organisasi tetapi menambah nilai bagi kerja termasuk profesionalisme dan lebih utama menjadi ibadat.








Syair Saidina Ali menyatakan, carilah ilmu dan jangan gantinya dengan apa juga, semua orang mati dan ahli ilmu hidup (apabila ilmunya terus dimanfaatkan).








Persekitaran belajar dalam organisasi sering dilakukan melalui penganjuran kursus, latihan, bengkel, percambahan idea, kempen membaca, pengalaman pertukaran ke unit atau bahagian, kenaikan pangkat, kejayaan staf dan organisasi lain, penyelidikan, pergaulan serta bimbingan daripada rakan sejawat dan pegawai atasan.









Manakala usaha mengambil pelajaran pula boleh dijana melalui hasil dapatan audit, teguran pihak atasan, aduan pelanggan, kecuaian pekerja dan kemerosotan pencapaian organisasi lain. Proses mengambil pelajaran amat ditekankan dalam ajaran Islam khasnya melalui peringatan Allah SWT.









FirmanNya seperti perkataan ‘afala yatadabbarun’ bermaksud tidakkah kamu meneliti, mengkaji.










Firman Allah SWT bermaksud:








“Dan

sesungguhnya untuk kamu,

pada binatang ternak itu,

terdapat ibrah.”


(Surah An-Nahl, ayat 66)








Mengambil ibrah atau pengajaran adalah cara ditunjukkan Allah SWT untuk mengelak kegagalan berulang dan meningkatkan kewaspadaan bertindak sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda umat Islam tidak boleh jatuh ke dalam lubang sama dua kali.









Sekali gus, menjadikan umat Islam memiliki daya fikir tinggi serta peka terhadap persekitaran. Kedua-dua usaha belajar dan mengambil pelajaran adalah gambaran kepada ciri masyarakat ulul albab yang disebut tidak kurang daripada 16 kali dalam al-Quran.










Oleh itu, sebagai usaha meningkatkan sumber daya dalam kalangan pekerja khasnya usaha memacu organisasi berdaya saing, berinovasi, berpencapaian tinggi, persekitaran belajar dan mengambil pelajaran ini perlu direbut warga organisasi pelbagai peringkat dan sentiasa dihidup, dimeriahkan dengan mengenal pasti dan merancang keperluan latihan dalam pelbagai bentuk yang dinilai pencapaiannya secara konsisten.










Ini akan menyumbang kepada peningkatan kualiti kendiri, pencapaian organisasi, kepuasan pelanggan dan diri pekerja.













Oleh

Sharifah Haayati



Penulis ialah

pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)












No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...