Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, April 11, 2012

MBMMBI pilihan terbaik




MBMMBI pilihan terbaik


Bahasa Melayu dan Inggeris sama-sama diberi keutamaan



KERAJAAN diminta bertegas dalam pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang bukan saja meletakkan bahasa Melayu pada kedudukannya mengikut Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga bahasa Inggeris.
Tidak ketinggalan sokongan parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA dan GERAKAN sangat diperlukan bagi menentukan kejayaan MBMMBI bersama-sama dokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sekiranya mahu bahasa Melayu dimartabatkan.




Apabila orang Melayu sendiri menolak dan berasa tidak yakin terhadap bahasa Melayu sebagai alat untuk kemajuan negara, maka ia turut menghilangkan kepercayaan bangsa lain. Bahasa Melayu mampu berfungsi sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan kerana sudah memiliki pangkalan data yang lengkap bagi semua bidang termasuk sains dan teknologi. - Prof Dr Teo Kok Seong, Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM.





Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata ketika ini MBMMBI menghadapi tiga halangan utama untuk dilaksanakan, meskipun hakikatnya perancangan dan dana program terbabit sudah diatur serta disediakan.





“Halangan itu daripada NGO, orang perseorangan dan parti politik yang cuba mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta menafikan MBMMBI sebelum sempat ia dilaksanakan.




“Ia diburukkan lagi dengan kewujudan penutur bahasa Melayu yang yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini,” katanya pada Forum Bahasa Melayu: Keberkesanan Pendekatan MBMMBI Dalam Konteks Pendidikan di Sekolah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.





Prof Teo berkata, penutur bahasa Melayu perlu menyokong dasar MBMMBI kerana mereka memberi pengaruh besar terhadap sokongan masyarakat terhadap dasar berkenaan.




“Apabila orang Melayu sendiri menolak dan berasa tidak yakin terhadap bahasa Melayu sebagai alat untuk kemajuan negara, maka ia turut menghilangkan kepercayaan bangsa lain. Bahasa Melayu mampu berfungsi sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan kerana sudah memiliki pangkalan data yang lengkap bagi semua bidang termasuk sains dan teknologi,” katanya.





Pensyarah Fakulti Pengajian Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, menyifatkan tindakan menuntut diwujudkan pilihan untuk mempelajari Matematik dan Sains menggunakan bahasa Inggeris tidak bertepatan dengan matlamat menyatukan masyarakat menerusi Bahasa Kebangsaan.





“Pengwujudan pilihan bahasa Melayu atau Inggeris bagi mengajar subjek terbabit akan menjadikan kita ketinggalan dalam aspek penyatuan dalam kalangan masyarakat berbanding banyak negara lain di dunia yang menggunakan satu bahasa di sekolah.





“Kita akan ketinggalan dalam aspek berkenaan berbanding negara lain di Asia Tenggara, malahan Amerika Syarikat yang mempunyai kepelbagaian kebudayaan yang jauh lebih kompleks dari negara ini juga menggunakan hanya satu bahasa sebagai bahasa pendidikan mereka,” katanya.





Beliau berkata, dasar MBMMBI sesuai untuk dilaksanakan pada situasi semasa kerana walaupun usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu akan terus dilakukan, namun ia juga meletakkan bahasa Inggeris pada kedudukan yang betul.




“Sesetengah pihak menganggap kita hanya boleh maju jika menggunakan bahasa Inggeris kerana tidak melihat banyak negara lain yang bangkit dengan menggunakan bahasa sendiri. Bahasa Inggeris pada masa sama akan terus dimantapkan terutama dalam kalangan pelajar sebagai alat untuk menimba ilmu,” katanya.





Ketua Satu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, ketegasan adalah kunci utama bagi memastikan MBMMBI dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diterima baik seluruh lapisan masyarakat terutama pelajar di sekolah.




“Dasar MBMMBI perlu dilaksanakan dengan tegas dan tuntutan yang dilaksanakan segelintir pihak yang kurang peka terhadap kepentingan Bahasa Kebangsaan tidak sepatutnya diutamakan,” katanya.




Beliau berkata, GAPENA sentiasa menyokong usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, apalagi sudah terbukti dasar PPSMI sebelum ini lebih banyak membawa kesan buruk.




“Walaupun tanpa dasar MBMMBI, bahasa Melayu masih perlu digunakan sebagai bahasa pengantar bagi mengajar di sekolah berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Menurut akta ini, semua pengajaran di sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi (IPT) perlu diajar dalam bahasa Melayu,” katanya.











No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...