Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, December 28, 2011

Pencetus alahan






Pencetus alahan



Terdedah kepada risiko seperti habuk sedari kecil antara puncanya



SETIAP pagi, anda bersin berulang kali hingga hidung dan matanya berair. Malah, garisan halus terbentuk pada batang hidungnya akibat tabiat menggosok hidung setiap kali terasa gatal.




Lalu pelbagai andaian atau kemusykilan yang timbul - apakah ini masalah resdung atau sinus dan mungkinkah ini masalah selesema biasa? Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dibuat, anda disahkan mengalami masalah alahan yang lazimnya wujud dalam pelbagai peringkat kehidupan dan dianggap sebagai lumrah.






Alahan adalah satu tindak balas terlalu sensitif disebabkan oleh satu atau lebih bahan dalam persekitaran (debunga, habuk, makanan) yang melalui mekanisme sistem imun. Walaupun alahan jarang meragut nyawa, kesannya akan mengganggu kualiti hidup pesakit termasuk gejala fizikal dan tekanan emosi yang serius.




Untuk mendapat alahan, pesakit perlu terdedah kepada alergen (bahan yang tidak merbahaya) yang menyebabkan tindak balas imun. Sistem imun terdiri daripada dua jenis sel darah putih iaitu T dan B. Ia membantu sistem imun mempertahankan tubuh dengan mengenalpasti bahan asing.




Sebarang elemen berbahaya yang dikesan akan merangsang sistem pertahanan tubuh (mast cell) untuk melepaskan bahan kimia seperti histamines untuk memeranginya. Apabila sistem imun tersilap mengenalpasti elemen berbahaya, alahan akan berlaku terutama apabila berulang kali terdedah kepada bahan tertentu.




Gangguan alahan boleh terjadi dalam pelbagai bentuk termasuk gangguan hidung dan sinus kepada alahan kulit, lelah dan makanan. Gejala-gejalanya juga berbeza dari ketidakselesaan ringan (hidung dan mata berair, bersin, gatal) kepada gejala yang lebih berat (sesak nafas, ruam, tindak balas alahan melampau atau anafilaktik). Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak yang juga Profesor di Jabatan Otorhinolaryngology Universiti Malaya, Dr Prepageran Narayanan, berkata jenis alahan yang dihidapi seorang kanak-kanak berkait rapat dengan betapa terdedahnya mereka dengan persekitaran sejak bayi.




Katanya, pada awal kelahiran, biasanya mereka terdedah dengan bedak talkum, lampin pakai buang dan pakaian. Pada usia dua hingga tiga tahun mereka gemar memasukkan apa saja objek ke dalam mulut, empat hingga lima tahun mula bermain di taman permainan dan terdedah kepada persekitaran luar sehingga mula mendapat alahan.




“Anda hanya akan mendapat alahan bergantung kepada apa yang didedahkan kepada anda. Sebab itu kadangkala ada pesakit yang datang mengadu pada mulanya tiada masalah dengan kekacang tetapi lama kelamaan alahan itu wujud. Ini kerana individu hanya akan mendapat alahan apabila terdedah berulang kali dengan perkara yang sama,” katanya pada kempen awam Hidup Bebas Alahan anjuran Persatuan Pakar Bedah Otorinolaringologi Kepala dan Tengkuk Malaysia (MSO-HNS), Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) dan disokong oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK).





Bagaimanapun, katanya, apa yang menyedihkan, alahan sering disalah anggap oleh masyarakat, malah kebanyakan pesakit rela menerima hakikat alahan adalah sebahagian daripada lumrah kehidupan.





Gejala seperti hidung berhingus dan tersumbat bukanlah masalahnya tetapi akibat daripada gejala-gejala yang timbul itu dan menyebabkan seseorang terpaksa mengambil cuti sakit kerana tidak dapat bekerja.





Ada pula yang datang bekerja, tetapi tidak dapat melakukan tugas dengan baik kerana masalah hidung yang berhingus, tersumbat serta mata yang gatal dan berair.





“Keadaan ini bukan saja memberi kesan kepada produktiviti tetapi juga mengakibatkan tekanan perasaan serta psiko-sosial,” katanya.





Dr Prepageran berkata, memandangkan alahan adalah permulaan masalah yang lebih serius, ia perlu dibendung dan dicegah seawal mungkin. Sekiranya individu alah kepada habuk, hama atau debu, langkah kawalan dan pencegahan awal boleh diambil dengan mengelaknya. Ini kerana lebih awal alahan bermula lebih lama ia akan dihidapi.





Jelasnya, adalah mustahil untuk mengelak dari terdedah kepada habuk, hama, debunga mahupun cuaca terutama di negara seperti Malaysia.





“Pilihan yang ada adalah menyedarkan masyarakat mengenai alahan dan mengenai pertalian antara penyakit hidung, kulit dan lelah.





“Pendidikan dalam kalangan orang awam adalah kunci dalam membantu pesakit dalam menentukan jenis alahan yang dihidapi bagi mengurangkan kejadian dan merebaknya penyakit itu dengan pengesanan dan rawatan yang bersesuaian.”






INFO: Antara faktor risiko alahan:






  • Asap rokok - Kanak-kanak yang membesar di rumah yang terdedah dengan asap rokok, lebih berisiko alami masalah alahan.




  • Mereka yang lahir tidak cukup bulan.




  • Pendedahan awal atau dari usia kecil kepada pencetus alahan seperti habuk, kulat, lipas dan jenis makanan tertentu.




  • Gejala alahan:







  • Berbeza daripada ketidakselesaan ringan (hidung dan mata berair, bersin, gatal)




  • Ia lebih kepada gejala yang lebih berat seperti sesak nafas, ruam dan tindak balas alahan melampau.







  • No comments:

    Post a Comment

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...