“Anda tidak akan berjaya menjadi penulis
sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu.”
KAEDAH-KAEDAH BELAJAR
JARANG-JARANG diketahui oleh sesetengah pelajar
bagaimana kejayaan menyusuli setiap
usaha dan ketekunan mereka.
Tidak diketahui pula
bagaimana harus memulakan usaha
supaya apa yang dilakukan itu
akan memberi hasil
yang baik dan memuaskan.
Ya !
Setiap orang harus memikirkan soal ini.
Walaupun cara mentelaah pelajaran
yang baik tidak sama pada setiap orang
dan mengikut jenis pelajaran
tetapi ada prinsip-prinsip umum yang dapat diamalkan.
Sebenarnya kejayaan di dalam pelajaran
tidak sahaja bergantung kepada
kebolehan dan kekuatan berusaha.
Tetapi ia juga bersandar
pada cara atau teknik belajar.
Tidak dinafikan bahawa sesetengah pelajar itu
dapat melakukan sesuatu dengan mudah
dalam masa-masa yang tertentu
dengan kebolehan dan kemampuan dirinya.
Tetapi bukanlah faktor yang utama
yang menafikan faktor yang lain.
Keterangan-keterangan berikut
mengandungi punca-punca yang akan
membantu kejayaan seseorang itu :
(a) Kecerdikan dan kebolehan yang istimewa
………….. 50 – 60 %
(b) Kesungguhan , minat dan cara-cara
mentelaah yang memberi kesan
………………………. 30 -40 %
(c) Nasib dan faktor persekitaran
……………………………. 10 – 15 %
Kebolehan sebenarnya dapat
menolong seseorang ke arah kejayaan itu
tetapi kebolehan sahaja tidaklah memadai.
Ramai di antara pelajar yang bijak
kecewa terutama dalam subjek-subjek
yang sukar seperti Matematik dan Sains.
Sebab utamanya para pelajar
tidak merangkumi keseluruhan teknik
yang diperlukan atau tidak pernah
memikirkan cara-cara
untuk belajar dengan berkesan.
Umpamanya rancangan dengan jadual belajar .
JAWABLAH SOALAN-SOALAN BERIKUT DENGAN IKHLAS :
1. Adakah kamu mempunyai
rancangan jadual melakukan sesuatu
setiap hari ?
Ya / Tidak
2. Kalau benar adakah kamu mematuhinya ?
Ya / Tidak
3. Adakah kamu menghadapi
sebarang masalah apabila hendak
memulakan study kamu ?
Ya / Tidak
4. Adakah kamu memulakan
pelajaran tepat pada
waktunya ?
Ya / Tidak
5. Adakah kamu berasa
tugas kamu menarik ?
Ya / Tidak
6. Adakah kamu berbincang
tentang sesuatu perkara yang telah
dibaca bersama-sama orang lain ?
Ya / Tidak
7. Pernahkah kamu bertanya
apa yang kamu kurang faham
atau tidak mengetahuinya ?
Ya / Tidak
8. Pernahkah kamu membuat kajian
sepintas lalu dahulu sebelum
membaca dengan teliti ?
Ya / Tidak
9. Adakah kamu tidak memberi
perhatian kepada jadual dan rajah
semasa membaca ?
Ya / Tidak
10. Adakah kamu menyimpan nota-nota
mengenai satu pelajaran di
tempat yang sama ?
Ya / Tidak
11. Adakah kamu membuat
catatan,rajah,jawapan dan sebagainya
daripada apa yang dibaca dalam
perkataan sendiri ?
Ya / Tidak
12. Adakah kamu bersedia
untuk peperiksaan sehingga
larut malam ?
Ya / Tidak
13. Adakah kamu mendapat
tidur atau kerehatan
yang cukup ?
Ya / Tidak
14. Adakah kamu mendapat
markah yang rendah jika ujian dibuat
secara tidak disangka-sangka ?
Ya / Tidak
JAWAPAN :
1. Ya 8. Ya
2. Ya 9. Tidak
3. Tidak 10. Ya
4. Ya 11. Ya
5. Ya 12. Tidak
6. Ya 13. Ya
7. Ya 14. Tidak
Kamu dapat membuat kesimpulan yang tersendiri
sejauh mana kemajuan yang telah kamu perolehi.
Atau adakah pertanyaan-pertanyaan di atas itu
telah terjawab dan kamu telahpun mengamalkannya?
Jika anda gagal dalam banyak ujian di atas
maka fikirlah segera cara membaikinya.
Adakah hidup kamu benar-benar dirancang?
Cuba analisis diri
dengan berpandukan jadual berikut :
Kegiatan / Lama Yang Sepatutnya
Tidur / 6 – 7 jam
Makan / 1 jam 15 minit
Mengikuti kelas@pejabat / 6 jam
Belajar / 4 jam
Kelab,persatuan,sukan / 2 jam
Aktiviti-aktiviti sosial /1 jam
Perjalanan / 1 jam
Lain-lain pekerjaan yang perlu / 1 jam
Jumlah / 24 jam
Masa belajar setiap hari
mesti tidak kurang 4 jam.
Jika tidak dapat dicapai maka kamu
mesti berfikir secara serius, kenapa?
Munginkah kerana tidur dan berbaring-baring
atas katil melebihi 8 jam?
Atau mungkin juga akiviti sosial
dan lain-lain pekerjaan yang perlu
memakan masa lebih daripada 2 jam.
Umpamanya berbual-bual kosong,
menonton TV atau mandi yang terlalu lama.
Ingatlah “masa itu emas”.
Sekiranya ia berlalu kamu tidak dapat memilikinya lagi.
Mengikut kata pujangga:
“Hari kelmarin sudah pun pergi,
hari ini pasti ada ;
hari esok belum tentu bahagia”.
Jadi kita mesti gunakan masa yang pasti ada ini
untuk menyediakan hari esok yang akan tiba.
Gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya.
Setiap kesempatan mesti digunakan untuk belajar.
Biasakan diri dengan tabiat membaca
umpamanya sementara menunggu bas,
semasa di kantin, semasa membuang air besar dan lain-lain.
Pendek kata dunia kamu adalah buku
dan kamu mestilah menumpukan sepenuhnya
pada pelajaran.
Kelulusan kamu sama ada,
peringkat cemerlang (Distinction),
kepujian (credit) atau lulus (pass) bergantung kepada
pemusatan fikiran dan perhatian yang diberikan.
Kalau kamu bertekad mendapat
Pangkat A1 atau A2,
kamu mestilah mencurahkan tenaga dan masa
seperti orang yang mahu mendapatkan
pangkat lebih daripada A1.
Dan kalau kamu
ingin mendapat kepujian (katakan C6)
curahkan tenaga untuk mendapatkan A2.
Ringkasnya , curahkan tenaga berkali-kali ganda
lebih banyak atau tinggi daripada
apa yang dicita-citakan.
Anda harus
mempunyai rasa tanggungjawab
dan disiplin diri.
Orang yang bertanggungjawab
akan berusaha besungguh-sungguh
agar lulus dengan baik.
Dia sedar akan maruahnya .
Masalah besar yang dihadapi
oleh kebanyakkan pelajar ialah godaaan (ancaman)
pengaruh luar seperti kawan, permainan,
kelab, hiburan dan seumpamanya .
Semua ini akan berjaya mematahkan
semangat dan memesongkan haluan kamu
jika azam kamu tidak kuat ,
matlamat tidak bulat dan padu.
Segala usaha dan ikhtiar akan
dibalas baik jika dilakukan dengan betul
dan bersungguh-sungguh.
Ucapkan nama Tuhan sebelum
memulakan sesuatu pekerjaan atau aktiviti.
TEKNIK-TEKNIK BELAJAR
Teknik-Teknik belajar yang kamu mesti praktikkan ialah :
a. Keadaan tempat duduk, bilik atau seumpamanya mesti sesuai .
Belajar secara duduk tegak
lebih baik daripada
berbaring atau bersandar.
b. Semasa membaca ,
pen mesti ada di tangan
bagi mewujudkan suasana yang serius .
Semasa membaca kamu harus
mencatat atau melukis sesuatu yang penting.
c. Sebaik-baiknya baca semua sekali
mengenai sesuatu tajuk,
bukannya secara berperingkat-peringkat.
Umpamanya sajak, esei dan lain-lain.
d. Cari perkataan kunci (key word)
yang terdapat dalam ayat
atau perenggan yang dibaca.
Perkataan-perkataan ini
harus diulangi sebutannya supaya
dapat dirasakan maknanya dan dengan itu
lebih difahami dan melekat dalam ingatan.
Catatan atau nota ringkas amat penting
terutama di waktu hampir peperiksaan.
Ia membolehkan ulang kaji dibuat
dalam masa yang singkat tetapi
meliputi semua pelajaran yang dipelajari
dalam masa 1 tahun.
TEKNIK MEMBUAT NOTA RINGKAS
BERIKUT disenaraikan teknik atau susun cara
atau pusingan pembelajaran
yang boleh diamalkan.
Ia boleh diubahsuai
mengikut kesesuaian
pelajar masing-masing :
1. Pilih satu tajuk dan baca nota.
2. Faham kandungan secara umum
untuk menentukan fakta atau pokok persoalan .
3. Baca dan garis fakta.
4. Baca dan cuba fahamkan
kaitan antara fakta yang digariskan dengan nota asal .
5. Keluarkan fakta dan salin pada kertas lain.
6. Faham fakta dan kaitannya
dengan keseluruhan fakta daripada tajuk itu .
7. Susun fakta ( jika perlu ).
8. Cuba tulis semula fakta-fakta
tanpa melihat fakta-fakta
yang telah ditulis dahulu .
9. Bandingkan apa yang kamu tulis.
10. Ulang hingga kamu puas hati.
11. Ulang membaca fakta , jika ada masa.
12. Simpan dengan baik untuk tujuan ulang kaji.
13. Mulakan tajuk baru dan lakukan
proses no. 1 hingga no. 12 ,
sehingga habis kesemua tajuk
dalam sukatan pelajaran.
Kunci kejayaaan dalam menghasilkan
catatan yang baik ialah perbendaharaan kata.
Ia akan menolong kamu memahami
apa yang dibaca dan menulis semula
dalam bentuk ayat yang pendek,
lengkap dan bernas.
Cara-caranya ialah :
• Gunakan perkataan sendiri
bukan menyalin ayat-ayat yang dipetik
daripada karangan asal.
• Isinya mesti disusun dengan teratur
dan mengadungi perkara-perkara yang penting sahaja.
• Buat garisan dan tanda-tanda
di bahagian yang penting
bagi menarik tumpuan apabila membaca.
• Gunakan simbol-simbol
yang kamu dapat faham.
• Tinggalkan satu ruangan kosong
di tepi sebelah kiri untuk dicatat
sebarang tambahan atau isi penting.
TEKNIK MEMBUAT JADUAL BELAJAR
JADUAL belajar amat perlu .
Ia merupakan satu aspek pengurusan masa.
Ia adalah satu ikatan atau disiplin diri,
untuk memanfaatkan masa yang terluang.
Setelah ditolak masa di sekolah, masa tidur,
masa bersukan, masa makan, masa tuisyen
( atau kelas tambahan ) dan lain-lain.
Jadual belajar juga merupakan
alat pembahagian di antara semua mata pelajaran
yang perlu diberi perhatian.
Pembahagian tersebut berdasarkan
kepentingan mata pelajaran dan juga
kelemahan setiap calon.
Jadi, jumlah masa belajar
untuk setiap mata pelajaran berbeza-beza.
Langkah pertama dalam membuat
jadual belajar ialah tetapkan masa belajar.
Contohnya:-
Hari Ahad : 9.00 pagi – 10.00 pagi
: 10.30 pagi – 12.00 tengah hari
: 2.00 petang – 3.30 petang
: 3.30 petang – 5.00 petang
: 8.30 malam – 10.00 malam
: 10.00 malam – 11.30 malam
Hari Isnin : 2.30 petang – 4.00 petang
: 4.00 petang – 5.30 petang
: 8.30 petang – 10.00 malam
: 10.00 malam – 11.30 malam
Langkah kedua, ialah mengagihkan kekerapan
setiap mata pelajaran, berdasarkan
kepentingan dan kelemahan diri.
Contohnya :
1. Matematik – 4 kali seminggu
2. Bahasa Inggeris – 2 kali
3. Sejarah – 4 kali
4. dan seterusnya
Langkah ketiga, ialah menyediakan jadual
yang menggabungkan masa belajar
dan agihan mata pelajaran
yang disebut di atas.
PERINGATAN :
• Oleh kerana masa
yang boleh digunakan untuk belajar ,
berbeza mengikut hari , maka jadual belajar
perlu dibuat berasingan.
Iaitu setiap hari.
• Masa untuk tidur malam
yang sebaik-baiknya ialah
antara 11.30 malam hingga 6 .00 pagi.
• Masa belajar 1 jam 30 minit
yang diberi di atas
hanya contoh sahaja.
Ia boleh dikurangkan kepada
40 minit atau 75 minit atau sebagainya .
• Pematuhan kepada jadual,
tidak semestinya 100%, kerana pelajar
mungkin terpanggil untuk sesuatu tugasan
tertentu sama ada yang diperlukan
oleh sekolah atau keluarga.
TEKNIK MENCATAT NOTA BERKESAN
SEBAGAI calon peperiksaan rasmi
sama ada STPM, SPM, PMR mahupun UPSR,
kamu tidak seharusnya bersikap
tidak kisah terhadap pelajaran.
Persediaan awal perlu dibuat
sebaik sahaja sekolah dibuka.
Kamu sepatutnya sudah mula
membuat nota.
Nota ialah
catatan-catatan yang kita ambil
dan kita sediakan daripada pelbagai sumber
untuk tujuan ulang kaji.
Sumber-sumber itu boleh diperoleh
daripada buku teks, buku rujukan,
perbincangan berkumpulan, pengajaran guru
ataupun ceramah. Dari situ,
kita mengambil isi-isi penting
untuk diingat atau difahami.
Adakah kamu menyediakan nota
sendiri sejak awal lagi?
Bagaimana bentuk nota kamu?
Banyak sebab mengapa kita mesti
mempunyai nota yang kita tulis sendiri,
kita sediakan sendiri, kita susun sendiri,
dan kitalah pengarangnya.
Membuat nota sendiri perlu dilakukan
secara berterusan setiap hari,
tidak semestinya menjelang peperiksaan saja.
Cuba kamu ikut contoh Fazley,
seorang penyanyi yang memperoleh
8A1 dalam SPM.
Dengan keputusan yang cemerlang itu
telah melayakkannya melanjutkan pelajaran
ke Victoria University, Welllington, New Zealand
dalam bidang Perdagangan dan Pentadbiran.
Tentu kamu tertanya-tanya ,
bagaimana dia boleh skor A
dalam setiap mata pelajaran yang telah diambilnya.
Fazley mula membuat nota kecil
sejak di Tingkatan Empat lagi.
Jika kamu mahu mengikuti jejak langkahnya,
ayuh … jangan bertangguh …
mulakan dari sekarang.
Mari ikut teknik Fazley.
LANGKAH PERTAMA
Fazley menggunakan 12 batang pen
berlainan warna termasuk
beberapa batang highlighter sebagai
persediaan membuat nota kecil.
Sebenarnya, kamu boleh menggunakan
kurang atau lebih daripada jumlah pen itu.
Terpulang kepada kemampuan
dan keselesaan kamu.
LANGKAH KEDUA
Mula membaca buku teks dan buku rujukan.
Sambil membaca, kata kunci
atau kata penting diwarnakan.
Pada masa yang sama,
fahamkan betul-betul maklumat yang dibaca.
Bacalah mengikut bab atau topik.
Tidak perlu baca banyak perkara.
Yang penting kamu faham,
kemudian baru buat nota.
LANGKAH KETIGA
Sehelai kertas bersaiz A4
dilipat kepada empat bahagian atau kolum
LANGKAH KEEMPAT
Mula menulis nota mengikut kolum .
Setiap kolum boleh dibahagikan
kepada dua bahagian (subtopik)
untuk satu bab ataupun kamu boleh jadikan
keempat-empat kolum itu untuk satu bab sahaja.
Di sebelah belakang kertas itu pula
satu bab yang lain.
Gunakan pen yang berlainan warna.
Nota dicatat seringkas-ringkasnya agar
dapat meningkatkan tahap ingatan.
LANGKAH KELIMA
Setelah kata kunci ditulis,
gunakan highlighter untuk tajuk
dan perkara-perkara yang penting.
Pastikan kamu gunakan warna yang selari
untuk semua nota supaya fikiran kamu tidak keliru.
Misalnya, jika warna kuning untuk isi-isi penting,
maka gunakan warna yang sama
untuk subjek lain pula.
Contohnya, tarikh penting – warna merah,
nama tokoh – warna biru.
LANGKAH KEENAM
Setelah nota disiap ditulis,
kamu boleh menghafalnya.
Jangan lupa untuk meninggalkan sedikit ruang
untuk menambah isi penting
apabila guru mula mengajar.
LANGKAH KETUJUH
Ambil sampul surat panjang.
Tuliskan mata pelajaran.
Kemudian, masukkan nota itu
mengikut mata pelajaran.
Bawalah nota itu ke mana-mana .
Jika ada masa terluang , silalah baca .
Untuk subjek yang melibatkan pengiraan
seperti Matematik, Fazley menasihatkan pelajar
agar menyediakan sebuah buku khas
untuk membuat latihan pengiraan.
Latihan perlu dibuat selalu agar pelajar biasa
dengan corak soalan.
Fazley berpendapat bahawa subjek Matematik
memerlukan pelajar merangka jalan penyelesaian
yang betul secara sistematik.
Jalan penyelesaian yang betul
akan menemukan jawapan yang tepat
dan mendapat markah yang baik.
Menurut Fazley, dia akan membawa
nota tersebut ke mana-mana sahaja.
Misalnya, ketika menunggu bas,
dia tidak perlu membawa buku tebal,
tetapi hanya membaca nota kecil itu.
Fazley turut mengingatkan para pelajar
agar membawa nota yang dibuat
tanpa menunggu hari peperiksaan.
Kaedah di atas adalah berdasarkan
pengalaman Fazley sendiri.
Sebenarnya, ada banyak lagi teknik belajar
mengikut keselesaan kamu.
Belajar awal dan membuat nota
pada peringkat awal dapat menimbulkan
semangat yakin pada kebolehan diri
dan kamu akan merasakan bahawa
diri kamu telah cukup bersedia
untuk menghadapi peperiksaan ketika pelajar lain
baru hendak membuat persediaan.
Dengan cara ini kamu mempunyai stamina
untuk mengulang kaji semua mata pelajaran
yang telah kamu buat mengikut
kesesuaian kamu.
PETA MINDA
Kaedah membuat nota jenis peta minda
telah diperkenalkan oleh Tony Buzan .
Kaedah ini lebih menitikberatkan
grafik dan kata kunci.
Kaedah ini lebih efektif berbanding
dengan kaedah biasa kerana kita dapat
menyeimbangkan pengguanaan otak kiri dan otak kanan.
Di samping itu, peta minda merupakan
kaedah yag berkesan untuk mendapatkan
semula maklumat daripada ingatan untuk
ditukarkan kepada bentuk yang boleh dilihat.
Peta minda boleh membantu kamu
mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman.
Melalui peta minda,
kamu berhubung secara aktif dengan
maklumat dalam ingatan kamu seolah-olah
kamu berbicara dengan daya ingatan kamu sendiri.
Segala maklumat yang kamu susun
dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan
secara tepat dan mudah difahami.
PERSEDIAAN MEMBUAT PETA MINDA
• Tenangkan hati dan pasang niat untuk belajar .
Bacalah doa (bagi pelajar Islam) ,
duduk tegak, dan pernafasan biarlah betul.
• Tingkatkan konsentrasi.
Pastikan suasana tenang ,
hindarkan sebarang gangguan yang boleh
memberi kesan terhadap penumpuan belajar.
• Baca teks keseluruhan,
terutama tajuk penting ,
pendahuluan , subtajuk , kesimpulan ,
soalan / latihan , gambar rajah dan carta.
• Baca keseluruhan teks dengan laju.
• Baca dengan sederhana laju dan
tandakan fakta-fakta penting.
• Kenal pasti tajuk utama dan subtajuk
yang hendak dimasukkan ke dalam peta minda.
• Bina peta minda
KAEDAH MEMBUAT PETA MINDA
• Mula membuat peta minda
di bahagian tengah kertas.
• Bezakan tajuk utama dan tajuk kecil
dengan menggunakan warna yang terang
dan berbeza supaya lebih menarik.
• Tuliskan tajuk utama di tengah-tengah kertas
dan lukis gambar untuk mewakili tajuk utama tersebut.
Gunakan warna yang berlainan
dan menarik supaya lebih mudah mengingatinya.
• Sambungkan ranting utama
ke tajuk yang berada di tengah-tengah .
Kembangkannya dengan cara melebar ke tepi.
• Tulis atau lukis imej yang menggambarkan
fakta di atas ranting utama tersebut .
Gunakan simbol.
• Tambahkan ranting utama
mengikut fakta
yang hendak kamu masukkan.
Gunakan warna yang berbeza
untuk memudahkan kamu mengingatinya.
• Kembangkan ranting utama
ke ranting kecil mengikut fakta.
Jika boleh , kamu gunakan warna
yang berbeza antara ranting-ranting kecil ini.
Contoh peta minda
NOTA ISTILAH
Nota istilah digunakan
untuk menyalin istilah-istilah sukar ,
definisi , atau formula di atas kad atau kertas .
Nota istilah ini boleh digunakan sebagai bahan
untuk mengulang kaji tanpa mengira masa dan tempat .
KAEDAH MEMBUAT NOTA ISTILAH
• Baca topik dengan teliti.
• Tandakan istilah , formula atau
definisi-definisi yang penting.
• Catatkan istilah ,
formula atau definisi di atas kertas .
Gunakan kertas keras dan pen berwarna
untuk menjadikan nota tersebut
menarik dan tahan lama.
• Nota yang dicatat
hendaklah ringkas dan padat .
Kamu boleh guna ringkasan perkataan
atau simbol seperti yg , dgn , cth , & .
Lihat contoh.
Subjek : Sejarah Dunia (tingkatan 4)
Tajuk : Dari Gua ke Perkampungan Awal (bab 1)
1 . Zaman Paleolitik
• Manusia hidup berpindah-randah – dlm kelompok yg kecil
• Mencari sumber makanan – tumbuhan liar
• Memburu binatang – dimknan
• Tidak tinggal tetap di sesuatu tempat.
• Tinggal – di dlm gua – di bwh ranting-ranting
yg ditutup dgn rumput-rampai.
• Peralatan harian – diperbuat drp batu & tulang
NOTA GAMBAR RAJAH
Nota gambar rajah dapat memberikan
gambaran yang menyeluruh tentang
sesuatu topik yang dipelajari .
Kaedah ini dapat membantu mengimbas
kembali topik yang sedang diulang kaji .
Gambar rajah atau carta penting ,
bolehlah kamu salin daripada nota ,
buku teks atau buku rujukan .
Gunakan pen berwarna untuk menjadikan
nota gambar rajah ini lebih menarik .
Kamu bebas untuk memilih bentuk gambar rajah .
KAEDAH MEMBUAT NOTA GAMBAR RAJAH
• Tenangkan hati dan pasang niat untuk belajar .
Bacalah doa (bagi pelajar Islam) , duduk tegak ,
dan pernafasan biarlah betul.
• Tingkatkan konsentrasi . Pastikan suasana tenang ,
hindarkan sebarang gangguan yang boleh
memberi kesan terhadap penumpuan belajar
seperti bunyi bising.
• Baca teks keseluruhan , terutama tajuk penting ,
pendahuluan , subtajuk , kesimpulan ,
soalan/latihan , gambar rajah dan carta .
Ketika mencatat nota ,
hubungan pelajar dengan guru perlu dijaga .
Jadi , kamu harus bertanya kepada guru
jika kamu tidak faham tentang sesuatu fakta .
Faktor ini penting untuk mengelakkan kamu
mencatat nota yang tidak perlu atau tidak penting .
Bertanyalah kepada guru tentang
fakta-fakta penting yang perlu diberi
penekanan dalam proses pembelajaran .
Guru yang prihatin biasanya akan cuba
memberikan seberapa banyak bahan
yang boleh selain buku teks .
Belajarlah menulis nota dari sekarang
kerana nota menjadi suatu rekod
yang kekal dan amat penting untuk tujuan
mengulang kaji dan pembelajaran semula .
Cuba ingat nota-nota penting
dalam minda kamu kerana kesemua nota
yang baik dan sempurna
merupakan pasport kejayaan
kamu dalam peperiksaan.
Sumber : http://tip-peperiksaan-stpm-spm-pmr-upsr.blogspot.com
Salam hormat
ReplyDeleteTerima kasih Cikgu atas perkongsian ini.
Selamat menyambut Aidil Adha.