Simbol kecemerlangan sekolah
KEGIATAN kokurikulum yang membabitkan aspek pendidikan muzik dan kesenian menjadi semakin penting dan sentiasa mendapat sambutan hebat daripada pelajar.
Kini, pembabitan warga pendidik dan pelajar dalam kegiatan seumpama itu dilihat berupaya melonjakkan elemen kokurikulum ke mercu yang lebih berdaya dinamik.
Demikian juga halnya dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu yang sinonim dengan pasukan pancaragamnya.
Sekolah berkenaan sering menjuarai pelbagai pertandingan sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun peringkat kebangsaan, malah pernah mewakili Malaysia ke pertandingan di peringkat antarabangsa.
Ketua Guru Penasihatnya, Teo Gim Phey berkata, penubuhan pasukan pancaragam itu bermula hasil idea dan usaha gigih mantan pengetua, Wee Beng Tan pada 1985 dengan matlamat membuka ruang kepada pelajar berkecimpung dalam bidang seni muzik sebagai antara kegiatan kokurikulum utama.
Sejak itu, pasukan pancaragam sekolah itu tidak menoleh ke belakang lagi, sebaliknya terus berusaha gigih sehingga muncul sebagai antara pasukan pancaragam terkenal.
"Saya lihat sambutan daripada pelajar sangat baik dan ini petanda kegiatan dalam seni muzik pancaragam menjadi ikon baru di kalangan pelajar sekolah.
"Untuk menjadi ahli pasukan, pelajar dinilai daripada segi minat, disiplin dan bakat bermain alat muzik," katanya.
Menurutnya, aspek utama yang diberi perhatian adalah minat dan disiplin diri kerana bakat boleh dipelajari dan ditingkatkan dari semasa ke semasa apabila seseorang pelajar itu menjadi ahli pasukan.
Katanya, sesi latihan dijalankan dengan ketat di mana setiap ahli pasukan wajib menghadirinya tanpa gagal dan dalam sesi itu, ahli lama dan baru dipisahkan ketika sesi latihan untuk memudahkan jurulatih memberi tumpuan.
"Setiap kumpulan mengadakan latihan dua kali seminggu dan latihan penuh bersama ahli baru dan lama sekali sebulan.
"Selain itu, kami menekankan kepada sesi latihan mengadakan persembahan secara kawat formasi sebagai persediaan menghadapi sesuatu pertandingan," katanya.
Antara kejayaan dicapai pasukan itu adalah muncul juara 12 tahun berturut-turut dari 1999 hingga 2010 di peringkat negeri dan lebih membanggakan, mereka pernah mengadakan persembahan di Shanghai, China pada 2009.
Pelajar, Tan Kian Hua, 15, yang juga drum major pasukan meluahkan rasa bangganya kerana terpilih mewakili pasukan pancaragam sekolahnya.
Katanya, dia berasa sangat terharu apabila diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai drum major.
"Saya sedar tugas ini sangat berat dan memerlukan komitmen dan fokus tinggi, tetapi setakat ini saya mampu melakukannya dengan baik hasil bimbingan jurulatih.
"Lagipun, rakan sepasukan sangat kental dan memberi kerjasama selain saling membantu dan berdisiplin," katanya.
Rakannya, Lai Kok Chien, 17, yang bermain alat perkusi berkata, minatnya dalam bidang itu berputik sejak melihat rakannya bermain pancaragam.
"Melalui aktiviti seumpama ini saya mampu memantapkan kemahiran dalam muzik, malah juga dididik supaya sentiasa berdisiplin," katanya.
Sementara itu bagi Amanuddin Ariffin, 16, dia mendapat dorongan dan sokongan kuat daripada ibu bapanya, sekali gus membuatnya teruja menyertai pasukan itu.
"Saya bangga kerana menjadi antara pelajar yang berjaya menyumbangkan sesuatu untuk menaikkan nama sekolah melalui pertandingan pancaragam.
"Saya juga sangat optimis pasukan sekolah saya akan terus cemerlang pada tahun akan datang kerana persembahan barisan pelapis semakin hebat," katanya yang bermain quintton.
Seorang lagi ahli pasukan, Muhd Rifqi Danial Abdul Ghafar, 15, yang bermain alat saksafon mengatakan, tidak rugi bagi seseorang pelajar bergiat dalam bidang muzik pancaragam, malah kegiatan itu berupaya merangsang minda untuk cemerlang dalam akademik.
"Saya berharap lebih ramai pelajar turut sama menyertai kegiatan muzik pancaragam ini kerana ia menambah kemahiran dan pengalaman, sekali gus menjana ketrampilan diri yang unggul," katanya.
Sesungguhnya muzik dan pasukan pancaragam menjadi satu simbol kecemerlangan SMK Chung Hwa Wei Sin di persada dunia pendidikan negara.
INFO
> Pasukan Pancaragam SMK Chung Hwa Wei Sin dianggotai 140 pelajar
> Ditubuhkan pada 1985 dengan motto Swadaya yang bermaksud 'kekuatan dengan keupayaan sendiri'
> Memenangi banyak pertandingan yang disertai
> Diterajui oleh Ketua Guru Penasihat, Teo Gim Phey
>PROFIL
NAMA: Tan Kian Hua
UMUR: 15 tahun
POSISI: Drum Major
HOBI: Bersukan
CITA-CITA: Juruterbang
>PROFIL
NAMA: Lai Kok Chien
UMUR: 17 tahun
POSISI: Bermain alat perkusi
HOBI: Bersukan dan mendengar muzik
CITA-CITA: Usahawan
>PROFIL
NAMA: Amanuddin Ariffin
UMUR: 16 tahun
POSISI: Bermain Quintton
HOBI: Membaca novel, bersukan dan bermain alat muzik
CITA-CITA: Jurutera
>PROFIL
NAMA: Muhd Rifqi Danial Abdul Ghafar
UMUR: 15 tahun
POSISI: Bermain saksafon
HOBI: Bersukan dan bermain permainan komputer
CITA-CITA: Pramugara
http://www.hmetro.com.my/articles/Simbolkecemerlangansekolah/Article/artikelMA
No comments:
Post a Comment