Kementerian lancar Dasar 1Murid 1Sukan
Oleh Fakhrurrazi Usuldin
bhnews@bharian.com.my
2011/06/11
Langkah lahir pelajar seimbang, galak gaya hidup sihat
PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran semalam melancarkan Dasar 1Murid 1Sukan yang menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata dasar itu mewajibkan semua murid yang tidak mengalami masalah kesihatan memilih satu jenis sukan ditawarkan pihak sekolah atau dijalankan dengan persetujuan sekolah.
“Kementerian menggariskan beberapa perkara bagi memantapkan pelaksanaan dasar ini iaitu pihak sekolah perlu membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran sedia ada, mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan sukan dan memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun.
“Antara lain, dasar ini berhasrat memupuk budaya bersukan di kalangan murid supaya menjadi anggota masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas,” katanya pada sidang media pelancaran dasar berkenaan, di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Dr Zahri Aziz.
Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mac lalu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Berprestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008.
Muhyiddin menggariskan enam strategi memantapkan sukan di sekolah ketika mengumumkan program SPTS dan berharap dasar terbabit akan mengembalikan kecemerlangan sukan sekolah di seluruh negara.
Abdul Ghafar berkata, penyertaan menyeluruh semua murid dalam kegiatan sukan perlu bagi membangunkan modal insan cergas.
Berita harian Online
No comments:
Post a Comment