Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, December 23, 2009

RENCANA

Redakan sentimen perkauman

SENTIMEN primordial merujuk kepada perasaan bangga sesuatu kaum atau puak ke atas kumpulannya. Ia hasil persamaan budaya, perkongsian dan pengalaman hidup, pertalian darah, keturunan serta sejarah yang dilalui secara bersama.

Lantas, tidak hairanlah orang Melayu akan melindungi kaumnya jika ada sebarang gugatan dalam bentuk tulisan, lisan mahupun tindakan yang dianggap mengancam simbol-simbol atau institusi yang mewakili kaum tersebut. Tindak balas serupa juga akan dilakukan oleh kaum lain apabila menghadapi situasi yang sama.

Justeru ketika Karpal Singh berura-ura mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, ratusan laporan polis dibuat ke atas beliau oleh pimpinan dan pertubuhan yang mewakili orang Melayu.

Perkara yang sama juga timbul apabila tulisan Zaini Hassan dalam ruangan Cuit yang menyentuh perihal orang India di India dan India di Malaysia dibalas dengan tiga laporan polis.

Respons, penentangan, maklum balas dan amarah juga dapat dilihat apabila kenyataan dua ahli Parlimen DAP yang menyentuh sensitiviti primordial umat Melayu berhubung hak keistimewaan orang Melayu dan peruntukkan yang dilebihkan bagi pembinaan masjid.

Apa yang menarik, reaksi bercampur baur antara pandangan bersifat perundangan, emosi, logik, mahupun keinginan untuk melindungi hak kaum berkenaan.

Secara umum reaksi sebegini adalah fitrah. Ia berlaku secara spontan dan merupakan tindak balas semulajadi. Kesan kuatnya ialah keterikatan kepada sentimen primordial tadi.

Maka, dalam realiti kemajmukan masyarakat Malaysia, sentimen ini senantiasa berperanan untuk mengikat dan mewujudkan sense of belonging dan kekitaan yang cukup tinggi. Jika sentimen ini tidak diurus secara konstruktif, ia mampu menjadi bom jangka.

Hakikatnya kenyataan, tindakan mahupun tulisan yang seringkali mengundang maklum balas amarah dari kaum lain berkait rapat dengan budaya umum yang dibentuk kesan sentimen primordial tadi.

Oleh itulah kefahaman sosio-budaya, dialog antara kaum, integrasi sosial, pemupukan sifat toleransi dan saling memahami merupakan elemen indoktrinasi yang perlu dipupuk dan direncanakan sepanjang masa bukannya bermusim.

Dalam hal ini, pertimbangan rasional, niat yang luhur lagi jujur wajar menjadi prinsip kepada setiap yang mahu menutur, menulis atau bertindak ke atas sesuatu yang boleh dipersepsikan kepada cubaan menyentuh sensitiviti kaum lain dan usaha menggoyah sentimen primordial berkenaan.

Misalnya dalam kes tulisan Zaini, jika mahu menggunakan sentimen primordial, sudah tentulah sebagai Melayu, penulis akan menyokongnya. Tanpa perlu memikir apa perasaan dan sensitiviti kaum India.

Tetapi jika penelitian empiris dibuat, tulisan yang pada persepsi kaum India telah menghina mereka, boleh diubah kepada sudut yang lebih positif langsung merangsang daya motivasi kaum tersebut.

Misalnya daripada menggunakan perlambangan realiti kaum India di India, kenapa tidak realiti sumbangan India Malaysia dijadikan tema dan persoalan tulisan?

Kenapa isu dua tiga kerat orang India yang suka riuh-rendah dan menuntut itu ini tidak ditukar kepada jasa kaum India yang turut membina negara? Dua tiga kerat orang India yang bermasalah dan suka mencipta kontroversi ini bukanlah cerminan sebenar sikap majoriti India di Malaysia.

Ramai orang India yang berjasa dan diingati. Contohnya, keupayaan jurulatih bola sepak negara K. Rajagobal, bersama play-maker, K. Gurusamy dan pemain sayap, S. Kunalan. Sumbangan mereka membolehkan kemarau penantian selama 20 tahun berakhir pada Sukan SEA di Laos, baru-baru ini.

Demikian juga jika menyelusuri kehidupan masyarakat kita. Sedari kecil sehingga dewasa, tidak lengkap hidup ini tanpa peranan kaum India.

Bangun pagi, kita menatap akhbar harian yang dihantar penjual suratkhabar kaum India. Tengah hari menjamah nasi kandar di restoran mamak milik keturunan India. Begitu juga juadah pada waktu malam.

Malah masakan di rumah juga ada sentuhan "India" berdasarkan pelbagai rempah dan serbuk kari keluaran syarikat milik keturunan India. Berdasarkan semua itu, darah daging, tubuh badan dan bahan kumbahan kita hampir sebahagian besar daripada 'air tangan' kaum India.

Dalam kes Kulasegaran, daripada mempertikaikan agar hak istimewa Melayu dihapus dan dikaji semula, beliau akan dilihat lebih murni sekiranya tidak menyentuh isu Melayu tetapi meminta jaminan keadilan untuk kaum lain yang turut sama menyumbang membina negara.

Sarjana seperti Imanuel Kant menegaskan "kebenaran sesuatu penulisan atau kenyataan adalah ditentukan oleh objektif dan daya taakulan (reasoning) yang dihasratkan oleh penulis dan penuturnya.

Tujuan di sebalik sesuatu tulisan atau kenyataan ada pelbagai.

Pertama, mungkin bermaksud untuk menjadi hero atau pembela kaum masing-masing berdasarkan sentimen primordial tadi. Mungkin juga ingin mencipta nama dan sejarah tersendiri.

Kedua, bermatlamat menyalahkan nasib buruk yang menimpa kaum mereka bukan dengan melihat kelemahan kaum tersebut tetapi dengan menyalahkan sistem, pihak ataupun puak lain.

Ketiga, sebagai satu pernyataan tersirat yang mempunyai maksud halus bagi menyampaikan perkara lain. Keempat, sebagai satu rakaman pernyataan untuk sama-sama terlibat (bikin kecoh) atas dasar mewakili kaum, puak atau kumpulan berhubung sesuatu isu.

Kelima, sebagai bayangan perasaan inferiority complex kaum berkenaan. Keenam, kesan akibat pengaruh sosiobudaya yang membentuk peribadi dan jati diri penulis dan penutur berkenaan.

Ketujuh, boleh jadi kesan daripada kurangnya pemahaman bahawa sentimen primordial sebenarnya perlu diurus secara yang harmonis, bermotivasi dan konstruktif. Bukannya disemarakkan dan diapi-apikan melalui amalan konvensional sebelumnya.

Natijahnya usaha pemupukan perpaduan, keharmonian kaum, integrasi antara ras akan hanya menjadi retorik yang bermain di bibir semata-mata tetapi gagal diterjemahkan kewujudannya.

Sebab itu kita perlu menghayati pepatah lama "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa" atau "Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar".

Kata cerdik pandai pula, "Tiada masalah kenapa perlu mencari masalah".

Jika ini mampu dihayati Malaysia yang aman, harmoni, unik lagi makmur dan kental ikatan perpaduan rakyatnya akan mampu dilestarikan. read more Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...