Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, April 23, 2012

Berbudikah Melayu kepada bahasa?





Berbudikah Melayu kepada bahasa?



Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas (kanan)
menerima buku Merekayasa Universiti: Biografi Naib Canselor USM
selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Mulia Bangsa Tinggi Bahasa di USM baru-baru ini.





Menurut Tenas Effendy di dalam bukunya Tunjuk Ajar Melayu (2006), masyarakat Melayu mempunyai tunjuk ajar yang mengandungi nilai-nilai luhur daripada ajaran agama Islam yang sesuai dengan budaya dan norma-norma sosial yang dianuti oleh masyarakatnya.




Salah satu tunjuk ajar Melayu yang sangat penting ialah berbudi. Banyak sudah tersemat di dalam lipatan budaya orang Melayu tentang budi.




Orang Melayu diminta untuk berbudi dengan manusia yang lain. Kita sering mengaitkan berbudi dengan hubungan manusia dengan manusia yang lain. Namun jarang kita mengaitkan berbudi dengan bahasa. Ungkapan “berbudi bahasa” perlu juga dilihat di dalam konteks berbudi kepada bahasa. Orang Melayu dituntut untuk berbudi kepada bahasa Melayu iaitu bahasa ibundanya. Jika orang Melayu boleh berbudi kepada orang lain mengapa tidak juga berbudi kepada bahasanya iaitu menjaga, memelihara, menghormati, menyanjungi dan menyayangi bahasa Melayu.




Baru-baru ini Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM mengadakan satu seminar Mulia Bangsa Tinggi Bahasa. Seminar ini membincangkan tentang perlunya bangsa Melayu berbudi kepada bahasanya. Bangsa yang mulia akan cinta dan hormat kepada bahasanya. Hanya bangsa korup yang menghina bahasanya sendiri. Bangsa yang kecil akan memperkecilkan bahasanya dengan alasan tidak mampu menjadi bahasa ilmu.




Bangsa Melayu, kembalilah ke pangkal jalan untuk mencintai dan menghormati bahasa sendiri. Jika kita tidak menghormati bahasa sendiri, siapa lagi akan menghormatinya. Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan penutur yang cukup ramai.




Perjuangan meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang tinggi dan bermartabat perlu dikuatkan dengan iltizam dan pendekatan yang kreatif dan berani oleh kita semua khususnya pejuang-pejuang bahasa. Bahasa Melayu bukan sahaja milik orang Melayu sebalik milik rakyat Malaysia dan penduduk Nusantara.




Bahasa Melayu ialah bahasa ilmu dan hal ini telah terbukti kerana ramai graduan yang lahir berasaskan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan banyak buku yang telah diterbitkan di dalam bahasa Melayu.




Seminar Kebangsaan Mulia Bangsa dan Tinggi Bahasa sememangnya mengambil semangat dua perkara iaitu bangsa dan bahasa. Apabila mulia sesuatu bangsa maka tinggilah martabat bahasanya. Mulia bangsa membawa pelbagai konotasi yang menjurus kepada persoalan budi bahasa dan keimanan. Bangsa mencerminkan bahasanya. Keperibadiannya boleh dibaca melalui bahasa yang dipakai. Sikap hormat dan sayang kepada bahasanya ada kaitannya dengan keperibadiannya. Maka menghormati bahasa khususnya bahasa sendiri merupakan sebahagian daripada bangsa yang mulia.




Penting




Pada hari ini, bahasa Inggeris mendapat tempat yang penting di dalam pelbagai posisi kehidupan kita. Keperluan untuk menguasai bahasa Inggeris sangat kuat bukan bagi membentuk identiti baru tetapi lebih kepada kemahiran untuk menguasai dan menyebarkan ilmu serta menampilkan diri di arena antarabangsa.




Bahasa Melayu mengandungi unsur-unsur seperti sejarah, sosiobudaya dan kebijaksanaan yang membentuk kekuatan tersendiri. Hal ini tidak difahami sesetengah daripada kita. Mereka melihat bahasa sebagai satu unsur yang terpisah-pisah daripada pembentukan identiti sesuatu bangsa itu. Di dalam konteks memperkasakan bahasa Inggeris, kita perlu juga memartabatkan bahasa Melayu dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas dan bukan kerana isu-isu sensasi.




Malangnya pada hari ini, ada sesetengah daripada kita tidak lagi memartabatkan bahasa Melayu kerana banyak sebab. Antaranya apabila keperluan untuk berbahasa Inggeris maka bahasa Melayu tidak lagi perlu diutamakan. Seterusnya, tidak ada rasa cinta dan hormat kepada bahasa sendiri. Ada yang lebih dahsyat lagi, ada yang menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu. Kalau diteliti kepada sebab-sebab yang saya sebut tadi, krisis yang dilalui oleh bahasa Melayu dan sikap penuturnya khususnya orang Melayu yang sedang mengalami krisis identiti. Mereka tidak mahu melihat adanya hubungan yang erat antara bangsa dan bahasa. Bangsa yang lupa diri adalah bangsa yang lupa kepada bahasanya. Jadi, Melayu yang lupa diri dan keperibadiannya akan lupa kepada kehebatan dan kehalusan bahasanya.




Dalam Bahasa Melayu Bahasa Dunia (2005), James T. Collins menulis bahawa hari ini terdapat lebih kurang 150 juta penutur bahasa Melayu di seluruh dunia. Angka ini cukup besar dan membanggakan orang Melayu. Namun bagi saya, kuantiti tidak menjamin kelestarian bahasa Melayu. Kita perlu penutur bahasa Melayu yang kuat dengan kesedaran tentang hakikat hubungan di antara bangsa dan bahasa. Bangsa Melayu harus berbudi kepada bahasanya iaitu tahu menghormati dan menghargai bahasanya. Jika ramai penutur yang lupa hakikat ini maka kuantiti ini tidak bermakna.




Melayu yang berbudi akan sayang kepada bahasanya dan Melayu yang kurang budinya akan memperlekehkan bahasanya sendiri. Melayu harus terhutang budi kepada bangsa dan bahasanya kerana ia mewarnai dan mengisi identitinya. Namun berapa ramai yang masih menaruh budi kepada bahasanya? Melayu masih berbudi untuk kepentingan sendiri, begitu sempit pengertian budi kepada mereka ini. Kita perlu ingat ada ungkapan penting iaitu ‘budi bahasa’. Kenapa perkataan budi ini dikaitkan dengan bahasa? Bukankah ini menunjukkan betapa pentingnya budi dan bahasa. Melayu yang meminggirkan bahasanya adalah mereka yang kurang berbudi.




Berbahasa lebih daripada satu wajar diamalkan oleh pelbagai etnik yang terdapat di Malaysia. Bahasa Inggeris memang penting dan perlu dikuasai. Namun kita jangan lupa kepada bahasa Melayu yang telah berakar jauh lebih lama sebelum Inggeris menjajah kita. Bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa komunikasi tetapi juga bahasa ilmu. Bahasa Melayu juga begitu. Maka menjadi peranan setiap daripada kita untuk berbudi kepadanya. Ini kerana jika kita berbudi maka kita juga akan merasa betapa kayanya bahasa Melayu bukan sahaja keindahan tetapi juga keupayaannya untuk membentuk dunia ilmu, dahulu, hari ini dan masa depan. Maka berbudilah kepada bahasa Melayu khususnya orang Melayu itu sendiri.




PROFESOR DR. SOHAIMI ABDUL AZIZ

adalah Pensyarah

Pusat pengajian Ilmu Kemanusian Universiti Sains Malaysia

(USM).





Sumber





Teruskan membaca..

Sunday, April 22, 2012

Guru perlu fasih BM, BI





Guru perlu fasih BM, BI

Kementerian Pelajaran disaran supaya memperketatkan pengambilan pelajar ke institut pendidikan guru (IPG) demi meningkatkan profesion keguruan dengan melahirkan guru yang fasih dalam bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI).



Bagi menjayakan saranan ini, pelajar perlu mendapat kepujian dalam kedua-dua subjek di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bukannya sekadar mendapat kredit untuk BM atau lulus bagi BI.




Hal ini penting untuk merealisasikan dasar Memartabatkan BM Memperkasakan BI (MBMMBI) di samping untuk mengatasi masalah sekiranya guru, atas pelbagai sebab, 'terpaksa' mengajar salah satu subjek bahasa berkenaan apabila ditempatkan di sekolah.




Paling tidak, dengan asas yang kukuh dalam kedua-dua subjek ini, guru terbabit tidak akan berdepan masalah besar untuk mengajar mata pelajaran bahasa walaupun mengambil opsyen subjek lain ketika di IPG.




Malah dengan menguasai serta memiliki kemahiran berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa secara fasih akan melonjakkan martabat guru dan dipandang tinggi terutama ketika bermesyuarat atau membuat pembentangan di luar negara.




Pada masa yang sama, guru yang hebat dalam kedua-dua subjek ini akan turut melahirkan murid yang cemerlang serta mempunyai kemahiran berbahasa yang tinggi.




Bagaimanapun, untuk meningkatkan kemahiran berbahasa di kalangan murid, sukatan pelajaran subjek BM serta BI perlu disemak semula untuk membolehkan guru berinovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).





Sukatan pelajaran sedia ada agak padat dan perlu dihabiskan dalam tempoh masa ditetapkan menjadi faktor mengekang guru daripada menerapkan kaedah P&P yang menyeronokkan seperti melalui pendekatan bercerita atau secara drama.






Walhal pengajaran subjek bahasa memerlukan banyak latihan yang melibatkan pengungkapan kata, pengucapan awam dan komunikasi berkesan.





Akibat hambatan sukatan pelajaran juga menyebabkan pusat sumber sekolah yang dipenuhi banyak bahan bacaan tambahan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ia turut menjejaskan usaha membangun modal insan yang dapat menguasai kedua-dua bahasa dengan baik.





Sungguhpun begitu, dalam memperkasa BI, Kementerian Pelajaran telah mengambil beberapa langkah proaktif seperti menempatkan penutur jati di sekolah terpilih, mengambil guru bersara mengajar semula secara kontrak dan latihan khas kepada guru yang masih dalam perkhidmatan.









Sumber


























Teruskan membaca..

UTM tawar 100 guru ikuti PhD







UTM tawar 100 guru ikuti PhD




JOHOR BAHRU 12 April - Golongan guru yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) namun tiada masa berbuat demikian boleh merebut peluang yang ditawarkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tanpa perlu ke universiti itu.





Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, universiti itu membuka peluang tersebut kepada kira-kira 100 guru terpilih dengan menjalankan penyelidikan di sekolah masing-masing menggunakan peruntukan keseluruhan RM80 juta bermula September ini.





Tambah beliau, pihaknya juga akan memberikan peruntukan RM50,000 kepada setiap sekolah yang gurunya terpilih supaya dapat menaik taraf makmal bagi menghasilkan penyelidikan mereka.





Menurutnya, menerusi program itu pensyarah atau penyelia yang terlibat akan ke sekolah bagi melihat perkembangan penyelidikan yang dijalankan oleh guru-guru.





"Pada masa ini kita telah memilih beberapa sekolah di sekitar Johor, Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur bagi menjayakan program ini dan perincian mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi," katanya di sini hari ini.





Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Zoal Azha Yusof bagi membolehkan UTM menjalankan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan kementerian tersebut.





Menurut Zaini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran turut menyambut baik usaha itu kerana ia mampu memberi peluang kepada guru-guru melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.





Mengenai MoU itu, beliau berkata, kerjasama tersebut bertujuan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan pengurusan sumber asli dan alam sekitar.









Sumber













Teruskan membaca..

Solat didik hati manusia









Solat

didik hati manusia




JIKA difahami dan dihayati, solat sebenarnya

amalan yang cukup hebat. Solat adalah modul

lengkap bagi mendidik hati dan jiwa manusia.



Pelbagai kekuatan terhasil jika seseorang itu

benar-benar menjiwai tuntutan solat.

Solat juga menjadi penghubung antara

hamba dengan Tuhannya.



Setiap ayat dalam surah al-Fatihah

yang dibaca adalah bicara dengan Allah.


Perintah solat bukan untuk kepentingan

Allah Yang Maha Agung yang sudah

memiliki segala-galanya.



Solat hanya untuk kepentingan hamba-Nya.

Ia sebenarnya melatih seseorang hidup tertib

sebab gerakan solat sangat tertib dimulai

dengar takbir dan diakhiri dengan salam.



Tujuan solat sebenarnya untuk mengingati Allah.

Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya:




“Dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”






Dalam ayat lain Allah berfirman yang bermaksud:




“Hanya dengan mengingati Allah


hati akan menjadi tenang.”






Bayangkan seharian kita fikir mengenai dunia,

fikir mengenai kerja, makan minum,

kawan dan keluarga.






Kalau semua itu kita dapat bahagikan masa,

takkan kita tidak boleh memberi masa

untuk mengingati Allah.

Semakin baik kualiti dan mutu solat seseorang,

semakin kukuhlah benteng kemampuan untuk

memelihara diri mereka daripada perbuatan maksiat.





Beberapa contoh solat

dapat membina sifat positif manusia

antaranya bersikap rajin.

Untuk menjadi bangsa yang kuat,

kita perlu sentiasa rajin.

Dalam solat kita memuja dan memuji Allah.





Kita membuat janji dan ikrar yang semua solat,

ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Allah.

Perbuatan dalam solat membuatkan

kita cergas dan aktif,

rajin dan sentiasa bergerak.





Bermakna solat itu dapat membunuh sifat malas.

Orang yang kuat hubungannya dengan Allah

mesti banyak berhubung dengan manusia.

Jika betul takut dan cinta kepada Allah,

maka akan bertambah rasa cinta kepada manusia.





Solat ibarat ‘tiang’ dalam Islam.

Malah ketika bertempur dalam peperangan sekalipun

tidak boleh tinggal solat.

Selagi hayat dikandung badan, selagi itu mesti solat.





Solat perlu dilakukan dengan berdiri,

jika tidak mampu berdiri, boleh duduk

dan jika tidak mampu juga boleh dilakukan

dengan cara baring.




Sekiranya masih tiada daya juga

dengan isyarat mata dan masih tidak boleh juga,

lakukan dengan isyarat hati.





Solat bukan saja menghapuskan dosa

seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:




“Solat menghapuskan dosa

antara satu solat dengan satu solat

yang lain kecuali dosa besar.”





Imam Abu Aaliayah berkata:




“Solat mempunyai tiga keistimewaan

dan jika tidak ada ketiga-tiga ini maka solat itu

tidak sempurna dan tidak boleh mencegah dosa.

Keistimewaan itu adalah ikhlas, khusyuk dan zikrullah."





Ikhlas membuatkan seseorang melakukan perkara baik,

khusyuk akan mencegah perbuatan jahat

manakala zikrullah (ingat Allah) pula mencegah mungkar

dan menanam makruf (kebaikan).





Sesetengah ulama dulu apabila tiba

saat menghembuskan nafas terakhir,

mereka masih sempat meminta pertolongan orang

mengambil wuduk untuknya supaya

dapat mengerjakan solat.





Malah, ada yang minta diusung ke masjid

kerana hendak mati di tempat solat.


Justeru, janganlah kita mengabaikan solat

dan jadikanlah ia rutin hidup kita.

Setiap kali solat,

anggaplah mungkin itu

adalah solat yang terakhir.







Sumber












Teruskan membaca..

Friday, April 20, 2012

EMSE bantu tingkat kualiti pengajaran Bahasa Inggeris



EMSE bantu tingkat kualiti

pengajaran Bahasa Inggeris

SERAMAI 60 guru Bahasa Inggeris sekolah rendah dari 30 sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan menyertai sesi latihan selama empat hari.
SERAMAI 60 guru Bahasa Inggeris
sekolah rendah dari 30 sekolah di Kuala Lumpur,
Selangor dan Negeri Sembilan menyertai sesi latihan
selama empat hari.






EMSE modul pengajaran inovatif untuk pelajar bandar dan pedalaman







DALAM usaha meningkatkan kualiti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), British Council dan HSBC Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran melancarkan laman web 'Engaging Malaysian Schools in English' (EMSE).





EMSE menjadi sumber baru pengajaran dalam talian yang dibangunkan Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC) British Council dan Bahagian Pembangunan Kurikulum kementerian.







Majlis pelancarannya dirasmikan Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Kurikulum (CDD), Dr Mohamad Nor Mohamad Taib.








Pada hari berkenaan juga menyaksikan 60 guru Bahasa Inggeris sekolah rendah dari 30 sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dipilih menyertai sesi latihan selama empat hari.







Mohamad Nor berkata, EMSE adalah inisiatif terbaik meningkatkan kemahiran guru menyediakan kemudahan pembelajaran secara berkesan.









Kemudahan itu katanya, diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan sekali gus meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan mereka.
Beliau berkata, kemahiran itu penting bagi membolehkan generasi muda lebih berdaya saing dalam berhadapan dunia pasaran antarabangsa yang semakin mencabar.







“Kementerian berterima kasih kepada British Council dan HSBC atas usaha meningkatkan kualiti pengajaran kepada generasi muda,” katanya.







Sementara itu, Pengurus Projek, Heather Smeaton, berkata laman web EMSE ini boleh menjadi sumber utama bagi guru sekolah rendah dengan menyediakan bahan dan idea pengajaran untuk disampaikan kepada murid.







Beliau berkata, laman web yang menjadi sumber rujukan secara konsisten, setiap idea pengajaran membantu pembangunan profesional mereka.







Bahan latihan EMSE katanya, disediakan dalam tiga versi iaitu, suite bahan penuh yang disediakan untuk guru dengan sambungan Internet, versi himpunan tanpa talian dengan kertas kerja bercetak dan bahan dalam bentuk CD-ROM.









“Kemudahan ini sesuai bagi sekolah yang memiliki makmal komputer tanpa akses Internet dan versi bahan bercetak bagi idea pengajaran sekolah tanpa komputer.







“Ketiga-tiga versi ini menjadi sumber pengajaran semua guru Bahasa Inggeris di bandar dan luar bandar tanpa mengira tahap pengalaman,” katanya lagi.









Heather berkata, pihaknya mengharapkan kemudahan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang.









Teruskan membaca..

Thursday, April 19, 2012

Ibu bapa boleh jadi pakar-pakar motivasi




Ibu bapa

boleh jadi pakar-pakar motivasi

JAPLIN (tengah) bersama murid, guru dan ibu bapa yang menyertai program Kem Motivasi SK Labuan.
JAPLIN (tengah) bersama murid, guru dan ibu bapa
yang menyertai program Kem Motivasi SK Labuan.





Anak perlukan rangsangan untuk cemerlang dalam bidang akademik





MURID yang membesar dalam belaian kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa berupaya menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik kerana mereka berasa selesa berada di rumah.






Ini berbeza dengan rakan sebaya mereka yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa serta mudah terjebak dengan kegiatan tidak bermanfaat seperti ponteng, gangsterisme, pengedaran dan penagihan dadah, sekali gus gagal dalam peperiksaan.
Galakan serta dorongan keluarga adalah faktor penting dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Elakkan terlalu bergantung kepada pihak sekolah dan guru untuk melahirkan pelajar cemerlang kerana kecemerlangan bermula di rumah. - Datuk Japlin Akim, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah








Sehubungan itu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Japlin Akim mahu ibu bapa sentiasa mendampingi anak mereka untuk memberi motivasi dan menyelesaikan masalah dihadapi golongan pewaris kepemimpinan negara itu.









Beliau berkata, ibu bapa juga hendaklah menjadi ‘pakar motivasi’ kepada anak masing-masing dengan menggunakan pendekatan tersendiri untuk memberi galakan dan meningkatkan motivasi mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.









Katanya, ibu bapa atau penjaga adalah orang yang paling rapat dengan anak dan adalah wajar mereka memberi rangsangan kepada golongan terbabit dan pada masa sama mengelak daripada memberi tekanan.









“Galakan serta dorongan keluarga adalah faktor penting dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Elakkan terlalu bergantung kepada pihak sekolah dan guru untuk melahirkan pelajar cemerlang kerana kecemerlangan bermula di rumah,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kem Motivasi Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Labuan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sinar Jaya, Kota Belud, Sabah, baru-baru ini.








Dalam pada itu, Japlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, masyarakat yang membudayakan ilmu mampu menghasilkan pelbagai teknologi dan inovasi canggih yang mampu meletakkan negara sebagai sebuah negara berteknologi tinggi.









Katanya, untuk meletakkan negara sebaris dengan negara maju, ia memerlukan sebuah masyarakat yang berilmu kerana aspek itu mampu melahirkan individu yang pakar dalam pelbagai teknologi canggih meliputi kejuruteraan, telekomunikasi dan pembinaan.









Beliau berkata, pembudayaan ilmu, pembangunan inovasi dan teknologi serta memperkukuh ekonomi adalah komponen penting untuk mencapai Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.









“Penguasaan ilmu juga dapat membantu menyedia dan membentuk kumpulan bijak pandai yang berjiwa besar, hebat dan berkarisma untuk menjadi pemimpin masa depan negara,” katanya.










Teruskan membaca..

Kembali berkhidmat untuk negara



Pelajar tajaan perlu kembali

berkhidmat untuk negara:




TPM


KUALA LUMPUR: Pelajar cemerlang tajaan kerajaan yang melanjutkan pelajaran di luar negara perlu menyerlahkan potensi diri dan kembali berkhidmat untuk negara.




Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata potensi seseorang individu hanya akan dapat diserlahkan apabila mereka diberi peluang.




Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam mengharungi persekitaran global yang semakin kompetitif dan mencabar tidak mustahil generasi pelajar hari ini akan mencapai kejayaan yang tidak mampu dicapai ketika ini.





"Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada pelajar sekalian selaku generasi muda bahawa masa depan negara kita terletak di bahu anda semua.





"Oleh itu, gunakanlah peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh dan apabila tamat pengajian nanti, curahkanlah khidmat bakti anda kepada negara," katanya.




Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian surat tawaran Biasiswa Nasional kepada 50 pelajar yang mendapat A+ bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di Institut Tadbiran Awam Negara di sini, hari ini. - BERNAMA





Teruskan membaca..

Sunday, April 15, 2012

Damsyik kota Ashabul Kahfi





























Damsyik kota Ashabul Kahfi


KOTA Damsyik di Syria sudah berusia lebih 11,000 tahun, angka yang membolehkannya bergelar sebagai bandar paling tua di dunia. Damsyik merupakan bandar terbaharu di Asia Barat yang menyaksikan kebangkitan rakyat menentang status quo pemerintah.




Sebelum ini, gelombang rakyat telah berjaya menjatuhkan kepimpinan Presiden Zin Al-Abidin di Tunisia, Presiden Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya.




Kini giliran Presiden Bashar Al-Assad merenung nasibnya sebagai pemerintah negara bersejarah itu.




Di Malaysia, umat Islam negara ini mengenali Damsyik sebagai pusat perdagangan yang telah membawa Nabi Muhammad SAW berkelana ke sana pada usia 12 tahun lagi.




Pada masa itu, Syria dikenali sebagai negeri Syams dalam kalangan orang Arab. Jarak antara tempat tinggal Rasulullah di Mekah dan Damsyik adalah kira-kira 2,500 kilometer.




Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, berkata Syria yang mempunyai penduduk seramai 20 juta orang sinonim dengan perkembangan agama Islam.




"Basra, sebuah pekan lama di selatan Damsyik merupakan lokasi Rasulullah berdagang bersama bapa saudara baginda, Abu Talib.




"Pada waktu itu, baginda masih kecil iaitu hanya berusia 12 tahun," cerita Ramlah. Semasa di Basra seorang ahli kitab bernama Buhaira telah mengenal pasti tanda kenabian Rasulullah seperti yang terdapat pada tubuh baginda.




Empat mimbar


MASJID UMAYYAH merupakan tempat yang wajib dikunjungi pelancong yang datang ke Damsyik.




Berbicara mengenai Damsyik, Ramlah memberitahu, bandar itu menempatkan makam keluarga dan sahabat Nabi Muhammad. Ia juga menjadi lokasi tumpuan era Perang Salib di samping tempat kemunculan pemimpin Islam yang terkenal.




"Makam pahlawan Islam, Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Baitulmuqaddis semasa Perang Salib terletak di Damsyik," katanya sambil menambah, sejarah Nabi Yahya dan Nabi Sulaiman berlaku di Syria.




Bandar Damsyik juga sangat dekat dengan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Daud Che Ngah. Ujarnya, Souq al-Hamidiyya atau lebih dikenali Pasar Hamidiyya menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang gemar membeli-belah.




"Pasar tertutup sepanjang 400 meter itu merupakan pasar terbesar di Syria. Barangan yang dijual sangat murah, daripada barangan cenderahati, pakaian, barangan dapur hinggalah makanan. Ramai juga yang datang ke Pasar Hamidiyya untuk mencuci mata," kata Daud sambil ketawa.




Terletak bersebelahan pasar tersebut ialah Masjid Umayyah iaitu masjid tertua dan terbesar di kota Damsyik.




"Masjid ini mempunyai kronologi sejarah yang panjang. Pada awal dibina, ia merupakan sebuah kuil tetapi dijadikan gereja sewaktu pemerintahan Empayar Rom. Sewaktu kerajaan Uthmaniah berkuasa, gereja itu diubahsuai menjadi masjid.


BUAH delima mudah ditemui di pasar-pasar di seluruh Syria.


"Apa yang uniknya, di dalam masjid itu terdapat empat mimbar yang menggambarkan empat mazhab yang diamalkan di Damsyik iaitu Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi," katanya.




Di tengah-tengah dewan masjid itu terdapat makam Nabi Yahya, manakala di luar masjid berhampiran dataran ditempatkan makam Husin Bin Ali, cucu kesayangan Nabi Muhammad. Husin adalah anak hasil perkongsian hidup antara Ali dan Fatimah, anak perempuan Rasulullah.




Gua




Terletak bersebelahan dengan masjid itu pula ialah makam seorang panglima tentera Islam yang tersohor pada era Perang Salib, Salahuddin Al-Ayubi.




Salahuddin telah membebaskan Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa daripada genggaman tentera Salib pada tahun 1187.




Tentera Islam kemudian membersihkan masjid yang telah ditukarkan kepada kandang kuda oleh tentera Salib dan mengembalikan maruah agama suci itu. Pada tarikh itu jugalah laungan azan kembali berkumandang dari menara Masjid Al-Aqsa.




Berdekatan Masjid Umayyah tadi terdapat sebuah tapak perkuburan, Bab As Saghir. Di situ bersemadinya beberapa insan yang rapat dengan Rasulullah termasuk isteri baginda, Ummu Habibah dan Ummu Salamah selain sahabat baginda, Bilal Bin Rabah.


SYRIA memiliki banyak bandar lama yang berusia ribuan tahun.



Di situ juga terdapat makam Muawiyyah Abu Sufian, Ibnu Makhtum, Abu Darda dan cucu Ali Abi Talib, iaitu Zainab dan Rugaiyah yang sering menjadi tumpuan kaum Syiah. Tokoh terkenal lain ialah Khalifah Umayyah, Abdul Malik Marwan dan anak beliau, Walid Abdul Malik.




Daud menambah, kisah Ashabul Kahfi seperti yang diceritakan dalam surah al-Kahfi didakwa berlaku di sebuah gua di Damsyik. Ia mengisahkan beberapa orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan cuma bangun 309 tahun kemudian.




"Makam Habil iaitu anak Nabi Adam AS yang dibunuh oleh saudaranya Qabil yang merupakan peristiwa pembunuhan pertama di dunia juga dikatakan terletak di pergunungan Qalamun yang terletak 45 kilometer dari Utara Kota Damsyik ," ujarnya.




Daud yang pernah melawat Syria pada tahun 2007 dan 2009 berkata, beliau tidak dapat melupakan pengalaman melihat banyak kereta nasional negara, Proton Iswara bergerak di jalan raya di Damsyik.




"Mereka mengatakan kereta buatan Malaysia tahan lama dan berkuasa tinggi," katanya.




Ceritanya lagi, ladang zaitun yang luas merupakan pemandangan biasa di Damsyik.




"Cuma yang peliknya, walaupun negara ini dikelilingi oleh laut, penduduknya jarang makan ikan. Mereka lebih suka makanan berasaskan ayam, kambing dan lembu," ujarnya.





Sumber





























Teruskan membaca..

Iman, takwa jadi cerminan kehidupan sebenar Muslim



Iman, takwa

jadi cerminan kehidupan

sebenar Muslim




KITAB Musnad Imam Ahmad ada menukilkan kisah sahabat berbicara mengenai seseorang yang mereka kenal sangat salih dan rajin beribadah di hadapan Rasulullah SAW. Ketika orang dibicarakan itu datang, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:




“Kalian semua membicarakan

seorang yang nampak

sentuhan syaitan pada wajahnya.

Sesungguhnya orang itu

dan kelompoknya membaca al-Quran,

tetapi bacaan mereka hanya sampai pada kerongkong.

Mereka telah keluar daripada agama mereka

sebagaimana anak panah yang terlepas

daripada busurnya.”

(Hadis riwayat Ahmad)







Hadis ini secara jelas mengisyaratkan seseorang yang kuat agamanya dilihat pada akhlaknya. Antara tujuan pensyariatan ibadat kepada umat Islam adalah membentuk ketinggian peribadi dan kemuliaan akhlaknya.






Ucapan ‘Allahuakbar’ yang diulang dalam setiap gerakan rukun solat dan haji bertujuan mengingatkan kita hanya Allah Yang Maha Besar. Semakin kerap kita melaksanakan ibadat solat atau haji, maka semakin terasa kita adalah makhluk yang kerdil, hina, dan daif.







Natijahnya, kita akan semakin dekat kepada Allah SWT dan akhlak bertambah mulia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Sesiapa

yang solatnya tidak mencegah

daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar,

maka solatnya hanya menjauhkannya

daripada Allah SWT.”

(Hadis riwayat Tabrani)






Begitu juga ibadat puasa bertujuan melatih seseorang supaya berupaya mengendalikan hawa nafsunya, menundukkannya untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya.








Ketika Rasulullah SAW melihat seseorang mencaci-maki hamba sahayanya, Baginda SAW berkata:





" Makanlah kamu.

Dia menjawab:

Aku sedang berpuasa.

Ujar Rasulullah SAW dengan sabdanya

yang bermaksud:

“Bagaimana kamu berpuasa

sedangkan kamu telah mencaci-maki

hamba sahayamu.”







Pada ketika lain, ketika disebutkan kepada Rasulullah SAW bahawa ada seseorang yang menghabiskan waktu malamnya dengan beribadah, manakala waktu siangnya pula dengan berpuasa, akan tetapi dia suka menyakiti hati jiran tetangganya, maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Tempatnya dalam api neraka.”

(Hadis riwayat Tirmizi)






Dalam konteks ini, hakikat beragama menurut perspektif Islam bukanlah dengan berlapar, berpuasa sepanjang masa, beriktikaf di masjid, berjubah dan berserban, menjauhkan diri daripada aktiviti sosial dengan bertapa dan sebagainya yang menjadi lambang lahiriah kepada orang beragama.






Sebaliknya hakikat beragama yang sebenarnya ialah seseorang Muslim sewajibnya memiliki tubuh badan yang sihat lagi kuat untuk menggalas tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di muka bumi ini.






Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan bahawa hakikat beragama itu sebenarnya berdiri atas dua landasan utama iaitu landasan iman yang membawa maksud kepercayaan bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Juga percaya kepada Malaikat-Nya, Kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari akhirat dan kepada takdir-Nya.






Landasan kedua ialah landasan Islam didahului dengan kepercayaan kepada Allah dan Muhammad SAW sebagai utusan-Nya yang tersimpul dalam dua kalimah syahadah. Kemudian keyakinan itu diperkukuhkan dengan ibadat solat, zakat, puasa dan haji ke Baitullah.






Hakikat beragama itu ialah gandingan kemas antara iman dan Islam sehingga menjadi tunjang utama yang akan mendasari setiap sudut kehidupan seseorang Muslim. Dengan lain perkataan, iman dan Islam tidak boleh dipisahkan sama sekali.







Oleh itu, seorang yang beriman adalah seorang Muslim, begitu juga sebaliknya. Seandainya ada seseorang yang mengaku dirinya sebagai Muslim dengan melakukan solat, zakat, puasa dan sebagainya, tetapi pada masa sama dia masih percayakan perkara khurafat, mengamalkan syirik, melakukan jenayah sosial, dia sebenarnya bukanlah seorang Muslim yang sempurna.








Jelas kepada kita bahawa hakikat beragama menuntut kita menjadikan agama sebagai teras kehidupan semasa.






Ini bermakna kita tidak sewajarnya meminggirkan terus agama daripada landasan hidup dalam kesibukan mengejar kemewahan dunia dan bergelut dengan ledakan globalisasi.










Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...