Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Friday, March 19, 2010
Thursday, March 18, 2010
Hikmah di sebalik gagal
Selamanya.
Esok Masih Ada Andai Keazaman Dilipatgandakan
TIDAK dapat dinafikan, kegagalan adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan. Kesakitan hasil daripadanya boleh menyebabkan seseorang sangat terganggu fizikal, mental, malah juga spiritual.
Daripada sudut mental, selain menjadi seseorang dan sesuatu yang boleh dipersalahkan, ada kalanya ramai juga akan mengutuk diri sendiri atas kegagalan yang menimpa.
Kutukan demi kutukan terhadap diri sendiri akhirnya bakal memakan dan membarahkan lebih banyak kekecewaan hingga membawa kepada putus asa.
Menerima diri sebagai terus gagal dan akan terus terbuang, diri akan terus menjauhi masyarakat kerana terasa kerdil dan malu atas kegagalannya.
Daripada sudut fizikal, bagi segelintir individu, selera menurun hingga membawa implikasi kesihatan tubuh. Manakala yang lain pula sebaliknya bertambah selera makan akibat kegagalan, juga membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikalnya.
Akhirnya, tanpa kesihatan fizikal, mental dan minda turut merosot. Kesudahannya, kedua-duanya rebah dan sukar bangkit kembali.
Daripada sudut spiritual pula, kegagalan boleh mendatangkan dosa. Ia juga boleh menambah pahala dan iman seseorang. Saya pernah bertemu seseorang yang gagal dalam PhD, terhakis keyakinannya terhadap konsep qada’ dan qadar Allah SWT. Imannya tergoncang.
Tidak kurang ada yang menyalahkan Allah SWT ketika menghadapi sesuatu kegagalan. Akhirnya, dia terus jatuh daripada sudut spiritualnya, kejatuhan bersama mental dan fizikal, sukar dirawati.
Namun begitu, ada juga kegagalan yang berjaya menjadi sebab seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kembali kepada jalan lurus selepas bengkok lalu dia kembali bangkit dengan azam, rancangan dan laluan yang baru, lalu dia berjaya.
KEGAGALAN DAN SAYA Saya pernah gagal dalam banyak perkara, namun syukur kerana ia tanda kita perlu membuat perubahan yang besar bagi memperbetulkannya.
Tanpa usaha itu, kegagalan akan terus bernanah dan membunuh. Biasanya, satu perubahan itu sangat perit dan berat lagi kurang selesa.
Walau sukar dan berat, ia satu kemestian. Hasilnya, apabila tepat cara pengendalian kegagalan dan perubahan yang diperlukan, ia akan membuahkan hasil lebih baik.
Tatkala itu baru kita sedari, rupa-rupanya kegagalan itu adalah satu titik kepada penyambungan titik lain dalam kehidupan kita.
Ia seperti satu simpang yang menjauhkan kita daripada kesesatan atau melorongkan kita kepada satu laluan yang lebih baik untuk masa depan.
Saya teringat betapa kecewanya saya apabila tidak berjaya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda di Timur Tengah.
Sekarang saya sedar dan tahu betapa besar hikmah untuk saya belajar di Universiti Malaya (UM), segala pengalaman yang diperoleh itu banyak mencorak kehidupan saya selepas itu.
Akhirnya, selepas tiga tahun menamatkan pengajian di UM, saya berjaya ke Jordan, bukan untuk peringkat Sarjana Muda tetapi Sarjana.
Banyak perkara dan jenis kegagalan dan saya kini sedar hikmah dan kebaikan daripadanya, namun ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.
Apapun, semua jenis kegagalan yang menimpa memerlukan satu proses perit yang lain. Bukankah Allah SWT sudah mengingatkan: “Sesungguhnya dengan kesukaran itu adalah kesenangan.” Apa yang mesti dan pasti, kita mesti meyakini kegagalan itu adalah satu proses yang perlu ditangani secara positif.
Ia ibarat satu konflik yang mendesak minda dan akal kita untuk lebih agresif dan kreatif bagi mencari jalan keluar.
Tanpa disedari, rupa-rupanya tanpa kegagalan, kita mungkin akan berterusan di takuk lama dan kurang kreatif.
UCAPAN STEVE JOBS YANG HEBAT Ketika saya menulis ini, saya sangat kagum dengan tips dan nasihat Steve Jobs, Pegawai Eksekutif syarikat ternama dunia, Apple dan Pixar. Pengasas iPhone, iPod juga iPad.
Jobs menceritakan bagaimana beliau gagal di universiti yang akhirnya membuahkan idea penciptaan perisian dan komputer Macintosh, satu revolusi dalam dunia komputer, malah ia adalah idea yang kemudian ditiru oleh Bill Gates, pengasas Microsoft, dengan sedikit perubahan.
Beliau menceritakan bagaimana pada umur 30 tahun, akibat kebuntuan syarikat yang diasaskannya iaitu Apple, lembaga pengarah syarikat menolaknya keluar dari syarikat berkenaan.
Hasil kegagalan itu, lahirlah revolusi kartun moden menggunakan animasi komputer. Lahirlah animasi ‘Toy Story’ yang sungguh popular.
Jika tidak kerana kegagalan pertama, revolusi animasi seperti Toy Story mungkin belum pasti bila akan wujud.
Selain itu, pelbagai nasihat lain diberi oleh Jobs dalam ucapannya, termasuk memastikan kita sudah menjumpai kerja dan bidang yang kita cinta juga minat.
Tanpa minat dan kecintaan kepada tugasan kita, setiap kerja akan menjadi beban. Namun bagi Muslim, minat itu mestilah dipastikan TIDAK BERLANGGAR dengan hukum Islam. Apabila haram, ia wajib diubah kepada yang halal.
Ucapan beliau semakin menarik apabila mendedahkan bagaimana perasaan ‘berasa akan mati’ memotivasikan diri untuk membuat keputusan tepat dalam kehidupan.
Jobs berkata: “Mengingati yang saya akan mati tidak lama lagi adalah alat utama yang saya tidak pernah temui untuk membantu saya membuat keputusan penting dalam kehidupan.
“Ini kerana, hampir keseluruhan kepelbagaian perasaan luaran akan hilang di ambang kematian, yang tinggal hanya perkara paling penting.
“Mengingati anda akan mati adalah cara yang saya tahu paling baik untuk mengelak diri anda terperangkap dalam pemikiran anda akan kehilangan sesuatu,” katanya.
Dalam Islam, kematian memang sudah lama dijadikan prinsip oleh Rasulullah SAW untuk diterapkan kepada umatnya supaya berusaha berfikir sesuatu yang lebih penting dan meninggalkan yang tidak penting serta kurang penting.
Bagi umat Islam, yang paling penting adalah apa yang akan kita bawa selepas mati. Justeru, fikirkan dan berubahlah. Jangan menganggap kegagalan itu sesuatu yang terlalu besar, jadikan ia kunci untuk kejayaan seterusnya.
Benar, apa saja kegagalan boleh diatasi kesan buruknya sehingga dilihat kerdil dan kecil serta boleh diatasi JIKA KITA MENYEDARI. Kematian itu pasti dan sesuatu perlu dilakukan segera untuk mempersiapkan diri kepadanya.
Akhirnya, kegagalan jangan dicari tetapi apabila ia datang, ia tanda satu perubahan drastik diperlukan dalam rutin harian, mengubah zon selesa yang lapuk kepada satu zon baru yang tidak lagi gagal.
Jadikan kegagalan sebagai ubat penawar yang maha pahit tetapi menyembuh luka yang dalam, terlihat dan tidak terlihat. Sesungguhnya orang mukmin itu tidak sedih dan tidak takut kecuali kepada Allah SWT.
===================
Gagal SPM bukan titik akhir hidup
Mana tidaknya, reaksi spontan selepas melihat slip keputusan SPM diiringi tangisan membuatkan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan tertanya-tanya sama ada keputusan mereka cemerlang atau sebaliknya.
Bagi pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang, tangisan itu lambat-laun akan bertukar kepada senyuman, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang gagal? Bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, mudah membuat perancangan masa depan dengan memohon memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).
Benarkan masa depan pelajar yang gagal itu gelap atau ada peluang lain untuk menebus maruah yang hilang? Jika ada apa yang harus lakukan? Pensyarah Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Profesor Madya Dr Sapora Sipon, berkata keputusan SPM sangat penting, tetapi ia bukanlah penentu masa depan seseorang.
Beliau berkata, tahap kematangan seseorang individu adalah berbeza dan jika berusaha gigih, masa depan mereka pasti cerah.
"Gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Jadi, jangan anggap gagal SPM sebagai satu titik akhir dalam hidup. Insya-Allah jika berusaha, kejayaan pasti ada," katanya.
Pelajar yang gagal atau keputusan 'cukup makan' tidak perlu risau kerana banyak peluang untuk berjaya.
"Dahulu memang peluang melanjutkan pelajar untuk mereka yang tercorot agak tipis, kini dengan adanya pelbagai kolej dan pusat pendidikan swasta, pelajar hanya perlu bijak memilih kursus yang diminati.
"Dengan kelulusan minimum yang pelajar ada, mereka boleh memohon kursus di bidang teknikal atau vokasional.
"Latihan kemahiran di Giat Mara atau institusi pertanian membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran," katanya.
Apabila memperoleh sijil nanti, mereka mempunyai pilihan untuk terus bekerja atau melanjutkan pelajaran lebih tinggi.
Bagaimana pula jika gagal memohon di mana-mana institusi atau pusat kemahiran? "Jangan risau kerana anda boleh bekerja dan dalam masa yang sama ambil kursus di mana-mana institusi atau mengulang semula peperiksaan SPM kembali.
"Tetapi, perlu ada keazaman dan usaha gigih," katanya.
Peluang kerjaya kini mempunyai banyak saingan dan pelajar perlu bijak memilih.
Justeru, katanya, jika tiada pilihan lain, pelajar boleh menceburi bidang keusahawanan atau berniaga kecil-kecilan untuk mendapat pengalaman sebelum melabur dalam skil lebih besar.
"Ketika bekerja, kumpul modal dan belajar ilmu pengurusan, insya-Allah dalam tempoh beberapa tahun, anda bakal menjadi usahawan berjaya.
"Yang penting anda ada keinginan, semangat dan usaha untuk berjaya," katanya.
Menurutnya, bidang keusahawanan menjanjikan masa depan yang cerah.
Justeru, katanya, usah menangisi nasib sendiri apabila gagal kerana ia tidak membawa apa-apa, sebaliknya kumpul semangat yang masih ada untuk bangun dan melakukan sesuatu yang positif.
"Perasaan sedih itu memang lumrah apatah jika berusaha tetapi keputusan yang diterima mengecewakan.
"Tetapi, anda tidak boleh terus menangis kerana kehidupan perlu diteruskan, inilah yang patut ada pada diri pelajar yang gagal, semangat dari kejatuhan," katanya.
Beliau mengaku ketika ini ibu bapa memainkan peranan penting memberi dorongan kepada anak-anak.
"Sokongan ibu bapa diperlukan bagi mengubat pelajar yang dalam kesedihan. Mereka perlu peka dan prihatin.
"Jangan memarahi atau mengaibkan mereka kerana ia memberi akibat yang buruk," katanya.
Katanya, ibu bapa perlu sedar bahawa pelajar yang gagal dalam SPM hari ini boleh berjaya di masa hadapan jika mereka bijak membimbing.
Dalam perkembangan yang sama, Dr Sapora meminta pelajar yang gagal rajin melihat peluang lain yang ada.
"Jika masih bersedih dan tidak boleh menerima kenyataan terhadap kegagalan itu, jumpa guru kaunseling di sekolah.
"Rajin-rajinlah membelek surat khabar untuk melihat peluang melanjutkan pelajaran," katanya.
Tuesday, March 16, 2010
Qari Muda-Muhammad Thaqif
Most people are about as happy as they make up their minds to be. ---Abraham Lincoln
Perjalanan juara tilawah Al-Quran
SUASANA ruang tamu di salah sebuah kuarters kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Bangsar yang didiami oleh pasangan Fajuri Mamat, 43, dan isterinya Haniza. Abd Jalil, 42 agak hening seketika.
Sayup-sayup kedengaran suara seorang remaja lelaki sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan lagu yang merdu dan mengasyikkan.
Daripada raut wajah remaja itu jelas dia sedang khusyuk menyudahkan baris-baris akhir ayat-ayat yang tertera dalam kitab suci di hadapannya itu.
Bagaimanapun dia tidak berseorangan, seorang lelaki berkopiah putih berada bersamanya, meneliti setiap baris ayat yang dibacakannya sambil sesekali menganguk-anggukkan kepala.
Bagi Muhammad Thaqif, 13, atau lebih mesra dengan panggilan Thaqif itulah rutin hariannya sejak berusia lima tahun lagi.
Bapanya, Fajuri atau lebih dikenali sebagi Ustaz Fajuri di kalangan kakitangan TNB merupakan seorang pegawai agama dan guru pertama yang mengajarnya tentang al-Quran. Bermula daripada proses mengenal huruf sehinggalah beliau boleh membaca sambil bertaranum.
Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, proses tersebut tidak berlaku sekelip mata, sebaliknya memerlukan latihan selama bertahun-tahun, malah sehingga kini pun beliau masih belajar dan memperbaiki corak bacaan yang dilakukan.
FAJURI (kanan) akan memastikan anak-anaknya termasuk Thaqif membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu muka selepas solat Subuh. |
Kata Thaqif, antara perkara rutin yang sering dilakukan oleh mereka ialah wajib membaca sekurang-kurang satu muka al-Quran selepas solat Subuh.
"Sebagai guru, bapa seorang yang tegas, dia tidak akan berkompromi jika ada antara kami yang ingkar. Jika ada kesempatan, saya akan mengaji secara bersendirian di dalam bilik untuk memperbaiki bacaan dan memperbaiki kelemahan-kelemahan bacaan," katanya yang sudah khatam al-Quran lebih sepuluh kali.
Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar itu memberitahu, beliau banyak didedahkan dengan bacaan al-Quran secara bertaranum berserta qiraat ketika keluarganya tinggal di Mesir beberapa tahun lalu.
Ketika itu, bapanya sedang melanjutkan pelajaran dalam pengajian Takhassus al-Quran wal-Qiraat di salah sebuah pusat pengajian tinggi Islam di sana.
Selain sering mengikuti pertandingan tilawah al-Quran, Thaqif juga sering dibawa ke Masjid Saidina Hussein tempat bapanya menjalani kuliah.
Tradisi masyarakat Mesir yang sering memanggil qari dan qariah terkemuka Mesir seperti Dr. Ahmad Naina dan Syaikh Mustaffa Ismail membaca al-Quran pada majlis-majlis rasmi atau upacara kematian menyebabkan Thaqif semakin berminat mendalami bidang taranum.
Sekembalinya keluarga Thaqif ke Malaysia, Thaqif mula berguru daripada bapanya di samping mendengar kaset bacaan qari dan qariah terkemuka pada waktu yang terluang.
Serlahkan bakat
Dari situ, bakatnya semakin teserlah dan dia mula didedahkan dengan pelbagai pertandingan tilawah al-Quran yang diadakan bermula di peringkat TNB, sekolah dan seterusnya mewakili Wilayah Persekutuan.
Antara kejayaan manis yang pernah dicapai ialah menjadi Johan Tilawah al-Quran Peringkat Sekolah-Sekolah Agama Wilayah Persekutuan (2007/2008); Johan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan TNB bagi kategori kanak-kanak (2007/2009) dan Naib Johan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2008.
Terbaru, kejayaan yang dicapainya ialah menjadi Johan Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan, KPM pada tahun 2009.
Mengambil juara Akademi al-Quran (AQ) musim pertama, Abdullah Fahmi Che Nor sebagai idolanya, Thaqif kini sedang melanjutkan pelajaran di Mahaad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, Kelantan. Thaqif juga berguru dengan Ustaz Yahya Daud dan Ustaz Muhyiddin Daud yang pakar dalam bidang berkenaan.
''Saya memasang impian untuk menjadi seorang tahfiz pada masa hadapan di samping ingin memperbaiki corak dan kaedah bacaan sekali gus berpeluang mewakili Malaysia di peringkat kejohanan tilawah antarabangsa suatu hari nanti," katanya yang terlibat sebagai qari jemputan khas dan berpeluang memperdengarkan bacaan al-Quran sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini.
Kini, Thaqif baru sahaja menghasilkan sebuah video cakera padat, Qari Emas: Bacaan al-Quran Bertaranum yang mengandungi beberapa surah yang dijual di pasaran.
Beliau memberitahu, mereka sekeluarga tidak pernah terlepas untuk menonton tilawah al-Quran yang disiarkan di kaca televisyen.
Pengalaman Thaqif turut dilalui oleh Siti Aisyah Baain, 13, yang merupakan pelajar Mahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriah, Kuantan.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, dia mula membaca al-Quran pada umur lima tahun selepas mendapat tunjuk ajar daripada ayahnya, Baain Ali, 46, seorang pesara tentera.
Mahir taranum
Khatam al-Quran buat kali pertama ketika berusia lapan tahun, dia kemudian didedahkan dengan kaedah pembacaan secara bertaranum oleh ayahnya itu.
"Ketika itu saya didedahkan dengan pelbagai tilawah al-Quran di peringkat sekolah dan berjaya menjadi johan dalam beberapa kategori yang diadakan," katanya yang ditemui pada uji bakat program realiti AQ baru-baru ini.
Antara kejayaan tertinggi yang pernah dicapainya ialah menjadi Juara Tilawah al-Quran Angkatan Tentera Malaysia kategori kanak-kanak pada 2007.
Selain dibimbing oleh ayahnya, beliau turut mengikuti kelas yang dianjurkan oleh Johan Qariah Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman ketika berusia 11 tahun.
Berguru hampir satu tahun, dia mengakui telah banyak mempelajari kaedah bertaranum yang betul di samping teknik suara dan nafas ketika ketika membaca al-Quran.
"Bertaranum memerlukan latihan yang berterusan di samping stamina yang tinggi, jika tidak belum habis ayat lagi sudah habis nafas," ujarnya yang turut belajar kiraat di samping Pensyarah al-Quran di Darul Quran, Mohd. Nazri Abdullah.
Siti Aisyah yang bercita-cita menjadi tahfiz dan qariah terkemuka suatu hari nanti meluangkan masa dua atau tiga jam berlatih secara bersendirian.
"Jika dahulu saya gugup ketika berhadapan dengan di khalayak ramai, kini berkat latihan yang diamalkan ia boleh dianggap alah biasa tegal biasa," katanya yang semakin mahir dan mampu menguasai empat daripada tujuh jenis taranum.
Sunday, March 14, 2010
Cara Mengenali Perangai Kawan-kawan.
Most people are about as happy as they make up their minds to be. ---Abraham LincolnKENALPASTI PERANGAI KAWANAnda diminta untuk menanam sebatang POKOK KELAPA (Pokok Nyiur). Dan ada 4 tempat berasingan yang perlu anda pilih untuk menanamnya. Tempat-tempatnya ialah :
1. Di tepi sungai
2. Di halaman rumah
3. Di tepi/tengah padang
4. Di belakang rumah / tepi dapurLokasi manakah pilihan anda untuk menanam pokok kelapa ini?
Jawapan : Di Tepi Sungai.
Orang yang pilih kelapa tepi sungai ialah jenis orang yang BOROS! Dia amat sukar untuk berjimat. Ada saja duit, dia akan berbelanja, berbelanja dan terus berbelanja. Orang jenis ini juga boleh dikategorikan sebagai orang yang PEMURAH. Dan kadang-kadang seorang yang PEMBAZIR.
Jawapan : Di Halaman Rumah.
Dia seorang yang SANGAT SUKA DIPUJI. Orang jenis ini pantang dipuji, apabila kena puji sikit, dia akan jadi sangat baik dan sangat pemurah. Apabila ada orang bodek, maka dia akan begitu mudah terkesan dengan bodekan itu. Selalunya, setiap pujian yang dia terima, maka dia tanpa ragu-ragu akan membalasnya dengan kebaikan.
Jawapan : Di Tepi/Tengah Padang.
Maaf sesuatu yang tidak sedap dibaca, orang jenis ini berkemungkinan besar adalah seorang yang SANGAT BERKIRA! Senang kata, orang jenis ini mungkin seorang yang KEDEKUT. Dia sangat sukar untuk belanja kawan-kawan dia atau orang lain. Apabila melibatkan hal yang berkaitan dengan duit terutamanya, dia menjadi seorang yang sangat teliti dan sangat berkira-kira.
Jawapan : Di Belakang Rumah / Tepi Dapur.
Orang jenis ini adalah seorang PENJIMAT dan BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN. Dia selalunya mempunyai perancangan dan berpandangan jauh. Sentiasa mengambil kira soal masa depan dan untung rugi. Orang jenis ini adalah yang paling sederhana. Dia tidak kedekut, tidak boros dan tidak pula mudah termakan pujian/bodekan orang. Dia sentiasa rasional dalam tindakannya.p/s : Cuba praktikkan cara ini kepada kawan-kawan. Cuba tanya dan nilai sendiri jawapan yang diberikan oleh kawan-kawan anda. Adakah mengena dengan perangai dan sikapnya?