Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, March 18, 2010

Hikmah di sebalik gagal






Most people are about as happy as they make up their minds to be. ---Abraham Lincoln



Kegagalan Pada Hari Ini........... Bukan Bererti Gagal Untuk

Selamanya.

Esok Masih Ada Andai Keazaman Dilipatgandakan



TIDAK dapat dinafikan, kegagalan adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan. Kesakitan hasil daripadanya boleh menyebabkan seseorang sangat terganggu fizikal, mental, malah juga spiritual.

Daripada sudut mental, selain menjadi seseorang dan sesuatu yang boleh dipersalahkan, ada kalanya ramai juga akan mengutuk diri sendiri atas kegagalan yang menimpa.


Kutukan demi kutukan terhadap diri sendiri akhirnya bakal memakan dan membarahkan lebih banyak kekecewaan hingga membawa kepada putus asa.


Menerima diri sebagai terus gagal dan akan terus terbuang, diri akan terus menjauhi masyarakat kerana terasa kerdil dan malu atas kegagalannya.


Daripada sudut fizikal, bagi segelintir individu, selera menurun hingga membawa implikasi kesihatan tubuh. Manakala yang lain pula sebaliknya bertambah selera makan akibat kegagalan, juga membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikalnya.


Akhirnya, tanpa kesihatan fizikal, mental dan minda turut merosot. Kesudahannya, kedua-duanya rebah dan sukar bangkit kembali.


Daripada sudut spiritual pula, kegagalan boleh mendatangkan dosa. Ia juga boleh menambah pahala dan iman seseorang. Saya pernah bertemu seseorang yang gagal dalam PhD, terhakis keyakinannya terhadap konsep qada’ dan qadar Allah SWT. Imannya tergoncang.


Tidak kurang ada yang menyalahkan Allah SWT ketika menghadapi sesuatu kegagalan. Akhirnya, dia terus jatuh daripada sudut spiritualnya, kejatuhan bersama mental dan fizikal, sukar dirawati.


Namun begitu, ada juga kegagalan yang berjaya menjadi sebab seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kembali kepada jalan lurus selepas bengkok lalu dia kembali bangkit dengan azam, rancangan dan laluan yang baru, lalu dia berjaya.


KEGAGALAN DAN SAYA Saya pernah gagal dalam banyak perkara, namun syukur kerana ia tanda kita perlu membuat perubahan yang besar bagi memperbetulkannya.


Tanpa usaha itu, kegagalan akan terus bernanah dan membunuh. Biasanya, satu perubahan itu sangat perit dan berat lagi kurang selesa.


Walau sukar dan berat, ia satu kemestian. Hasilnya, apabila tepat cara pengendalian kegagalan dan perubahan yang diperlukan, ia akan membuahkan hasil lebih baik.


Tatkala itu baru kita sedari, rupa-rupanya kegagalan itu adalah satu titik kepada penyambungan titik lain dalam kehidupan kita.


Ia seperti satu simpang yang menjauhkan kita daripada kesesatan atau melorongkan kita kepada satu laluan yang lebih baik untuk masa depan.


Saya teringat betapa kecewanya saya apabila tidak berjaya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda di Timur Tengah.


Sekarang saya sedar dan tahu betapa besar hikmah untuk saya belajar di Universiti Malaya (UM), segala pengalaman yang diperoleh itu banyak mencorak kehidupan saya selepas itu.

Akhirnya, selepas tiga tahun menamatkan pengajian di UM, saya berjaya ke Jordan, bukan untuk peringkat Sarjana Muda tetapi Sarjana.


Banyak perkara dan jenis kegagalan dan saya kini sedar hikmah dan kebaikan daripadanya, namun ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.


Apapun, semua jenis kegagalan yang menimpa memerlukan satu proses perit yang lain. Bukankah Allah SWT sudah mengingatkan: “Sesungguhnya dengan kesukaran itu adalah kesenangan.” Apa yang mesti dan pasti, kita mesti meyakini kegagalan itu adalah satu proses yang perlu ditangani secara positif.


Ia ibarat satu konflik yang mendesak minda dan akal kita untuk lebih agresif dan kreatif bagi mencari jalan keluar.


Tanpa disedari, rupa-rupanya tanpa kegagalan, kita mungkin akan berterusan di takuk lama dan kurang kreatif.


UCAPAN STEVE JOBS YANG HEBAT Ketika saya menulis ini, saya sangat kagum dengan tips dan nasihat Steve Jobs, Pegawai Eksekutif syarikat ternama dunia, Apple dan Pixar. Pengasas iPhone, iPod juga iPad.


Jobs menceritakan bagaimana beliau gagal di universiti yang akhirnya membuahkan idea penciptaan perisian dan komputer Macintosh, satu revolusi dalam dunia komputer, malah ia adalah idea yang kemudian ditiru oleh Bill Gates, pengasas Microsoft, dengan sedikit perubahan.


Beliau menceritakan bagaimana pada umur 30 tahun, akibat kebuntuan syarikat yang diasaskannya iaitu Apple, lembaga pengarah syarikat menolaknya keluar dari syarikat berkenaan.


Hasil kegagalan itu, lahirlah revolusi kartun moden menggunakan animasi komputer. Lahirlah animasi ‘Toy Story’ yang sungguh popular.


Jika tidak kerana kegagalan pertama, revolusi animasi seperti Toy Story mungkin belum pasti bila akan wujud.


Selain itu, pelbagai nasihat lain diberi oleh Jobs dalam ucapannya, termasuk memastikan kita sudah menjumpai kerja dan bidang yang kita cinta juga minat.


Tanpa minat dan kecintaan kepada tugasan kita, setiap kerja akan menjadi beban. Namun bagi Muslim, minat itu mestilah dipastikan TIDAK BERLANGGAR dengan hukum Islam. Apabila haram, ia wajib diubah kepada yang halal.


Ucapan beliau semakin menarik apabila mendedahkan bagaimana perasaan ‘berasa akan mati’ memotivasikan diri untuk membuat keputusan tepat dalam kehidupan.


Jobs berkata: “Mengingati yang saya akan mati tidak lama lagi adalah alat utama yang saya tidak pernah temui untuk membantu saya membuat keputusan penting dalam kehidupan.


“Ini kerana, hampir keseluruhan kepelbagaian perasaan luaran akan hilang di ambang kematian, yang tinggal hanya perkara paling penting.


“Mengingati anda akan mati adalah cara yang saya tahu paling baik untuk mengelak diri anda terperangkap dalam pemikiran anda akan kehilangan sesuatu,” katanya.


Dalam Islam, kematian memang sudah lama dijadikan prinsip oleh Rasulullah SAW untuk diterapkan kepada umatnya supaya berusaha berfikir sesuatu yang lebih penting dan meninggalkan yang tidak penting serta kurang penting.


Bagi umat Islam, yang paling penting adalah apa yang akan kita bawa selepas mati. Justeru, fikirkan dan berubahlah. Jangan menganggap kegagalan itu sesuatu yang terlalu besar, jadikan ia kunci untuk kejayaan seterusnya.


Benar, apa saja kegagalan boleh diatasi kesan buruknya sehingga dilihat kerdil dan kecil serta boleh diatasi JIKA KITA MENYEDARI. Kematian itu pasti dan sesuatu perlu dilakukan segera untuk mempersiapkan diri kepadanya.


Akhirnya, kegagalan jangan dicari tetapi apabila ia datang, ia tanda satu perubahan drastik diperlukan dalam rutin harian, mengubah zon selesa yang lapuk kepada satu zon baru yang tidak lagi gagal.


Jadikan kegagalan sebagai ubat penawar yang maha pahit tetapi menyembuh luka yang dalam, terlihat dan tidak terlihat. Sesungguhnya orang mukmin itu tidak sedih dan tidak takut kecuali kepada Allah SWT.

myMetro


===================




Gagal SPM bukan titik akhir hidup



AIR mata yang berlinangan sebaik memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Khamis lalu memberi seribu satu makna yang sukar untuk diungkapkan.

Mana tidaknya, reaksi spontan selepas melihat slip keputusan SPM diiringi tangisan membuatkan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan tertanya-tanya sama ada keputusan mereka cemerlang atau sebaliknya.


Bagi pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang, tangisan itu lambat-laun akan bertukar kepada senyuman, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang gagal? Bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, mudah membuat perancangan masa depan dengan memohon memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).


Benarkan masa depan pelajar yang gagal itu gelap atau ada peluang lain untuk menebus maruah yang hilang? Jika ada apa yang harus lakukan? Pensyarah Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Profesor Madya Dr Sapora Sipon, berkata keputusan SPM sangat penting, tetapi ia bukanlah penentu masa depan seseorang.


Beliau berkata, tahap kematangan seseorang individu adalah berbeza dan jika berusaha gigih, masa depan mereka pasti cerah.


"Gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Jadi, jangan anggap gagal SPM sebagai satu titik akhir dalam hidup. Insya-Allah jika berusaha, kejayaan pasti ada," katanya.


Pelajar yang gagal atau keputusan 'cukup makan' tidak perlu risau kerana banyak peluang untuk berjaya.


"Dahulu memang peluang melanjutkan pelajar untuk mereka yang tercorot agak tipis, kini dengan adanya pelbagai kolej dan pusat pendidikan swasta, pelajar hanya perlu bijak memilih kursus yang diminati.


"Dengan kelulusan minimum yang pelajar ada, mereka boleh memohon kursus di bidang teknikal atau vokasional.


"Latihan kemahiran di Giat Mara atau institusi pertanian membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran," katanya.


Apabila memperoleh sijil nanti, mereka mempunyai pilihan untuk terus bekerja atau melanjutkan pelajaran lebih tinggi.


Bagaimana pula jika gagal memohon di mana-mana institusi atau pusat kemahiran? "Jangan risau kerana anda boleh bekerja dan dalam masa yang sama ambil kursus di mana-mana institusi atau mengulang semula peperiksaan SPM kembali.


"Tetapi, perlu ada keazaman dan usaha gigih," katanya.


Peluang kerjaya kini mempunyai banyak saingan dan pelajar perlu bijak memilih.


Justeru, katanya, jika tiada pilihan lain, pelajar boleh menceburi bidang keusahawanan atau berniaga kecil-kecilan untuk mendapat pengalaman sebelum melabur dalam skil lebih besar.


"Ketika bekerja, kumpul modal dan belajar ilmu pengurusan, insya-Allah dalam tempoh beberapa tahun, anda bakal menjadi usahawan berjaya.

"Yang penting anda ada keinginan, semangat dan usaha untuk berjaya," katanya.


Menurutnya, bidang keusahawanan menjanjikan masa depan yang cerah.


Justeru, katanya, usah menangisi nasib sendiri apabila gagal kerana ia tidak membawa apa-apa, sebaliknya kumpul semangat yang masih ada untuk bangun dan melakukan sesuatu yang positif.


"Perasaan sedih itu memang lumrah apatah jika berusaha tetapi keputusan yang diterima mengecewakan.


"Tetapi, anda tidak boleh terus menangis kerana kehidupan perlu diteruskan, inilah yang patut ada pada diri pelajar yang gagal, semangat dari kejatuhan," katanya.


Beliau mengaku ketika ini ibu bapa memainkan peranan penting memberi dorongan kepada anak-anak.


"Sokongan ibu bapa diperlukan bagi mengubat pelajar yang dalam kesedihan. Mereka perlu peka dan prihatin.


"Jangan memarahi atau mengaibkan mereka kerana ia memberi akibat yang buruk," katanya.


Katanya, ibu bapa perlu sedar bahawa pelajar yang gagal dalam SPM hari ini boleh berjaya di masa hadapan jika mereka bijak membimbing.


Dalam perkembangan yang sama, Dr Sapora meminta pelajar yang gagal rajin melihat peluang lain yang ada.


"Jika masih bersedih dan tidak boleh menerima kenyataan terhadap kegagalan itu, jumpa guru kaunseling di sekolah.


"Rajin-rajinlah membelek surat khabar untuk melihat peluang melanjutkan pelajaran," katanya.

myMetro





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...