
Didik anak seronok berpuasa
Puasa menjadi kewajipan apabila seorang Islam
baik lelaki atau perempuan mencapai akil baligh, dan mematuhi beberapa syarat lain. Hukum ini terpakai juga kepada ibadah lain dalam Islam.
Mencapai akil baligh bermaksud lelaki dan perempuan yang
mencecah usia tertentu serta mengerti tugasnya sebagai muslim yang diperintah bersolat dan berpuasa semata-mata kerana Allah.
Kita disyorkan melatih anak-anak melaksanakan perintah Allah
seperti bersolat dan berpuasa apabila mereka berusia tujuh tahun. Malah,
sesetengah kita mula melatih anak bersolat seawal usia tiga dan empat tahun.


Anjuran laksana ibadah Rasulullah SAW bersabda:
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat
ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka
jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun.
Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan)
dari tempat tidur.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Persoalan adakah kanak-kanak digalakkan atau sememangnya
diperintahkan berpuasa sebelum mencapai umur baligh?
Kebanyakan kita menyandarkan hadis solat itu bagi melatih
kanak-kanak berpuasa.
Umumnya, jawapan terbaik untuk soalan ini adalah apa
yang disebut hadis riwayat Imam Bukhari:
“Nabi SAW mengirim utusan
ke kampung golongan Ansar
pada siang hari Asyura (untuk menyampaikan):
Bahawa siapa yang tidak berpuasa
sejak pagi hari maka dia harus
menggantinya pada hari lain,
dan siapa yang sudah berpuasa
sejak pagi hari maka hendaklah dia
melanjutkan puasanya.
Dia (Ar-Rubai' binti Mu'awwidz) berkata:
Selepas itu kami selalu berpuasa
dan kami juga mendidik anak kecil kami
untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka
semacam alat permainan diperbuat daripada bulu serigala,
apabila seorang daripada mereka
ada yang menangis meminta makan
maka kami beri dia permainan itu.
Demikianlah terus kami lakukan
hingga tiba waktu berbuka.”
Waktu terbaik berpuasa Jelas sahabat Nabi SAW ketika itu melatih anak mereka berpuasa
walaupun belum mencapai usia akil baligh kerana menyedari pentingnya jiwa kanak-kanak dilatih memahami tanggungjawab berpuasa
apabila mencapai usia akil baligh.
Kebanyakan cerdik pandai setuju kanak-kanak digalakkan
berpuasa jika mereka dapat menanggung kesusahan ibadat itu.
Bagaimanapun, ada perbezaan pendapat kalangan ulama berkenaan
waktu terbaik kanak-kanak memulakan latihan puasa.
Sebahagiannya mencadangkan pada usia tujuh tahun atau 10 tahun
seperti dalam kes solat. Berbeza bagi Imam Ahmad bin Hanbal yang
mencadangkan ia bermula pada usia 10 tahun, manakala ulama lain
menyebut titik permulaan latihan adalah pada usia 12 tahun.
Ulama Maliki mempunyai pandangan berbeza yang mencadangkan
kanak-kanak tidak perlu digalakkan berpuasa. Bagaimanapun,
pandangan itu tidak disokong bukti sahih. Cuma satu alasan
diberikan Mazhab Maliki, mereka menganggap amalan penduduk Madinah
adalah petunjuk sah dan boleh diterima dalam Islam.
Madinah adalah tempat lahirnya masyarakat Islam dan kebanyakan
sahabat Rasulullah tinggal di situ dan terus berada di sana
untuk masa lama, malah hingga sekarang.
Namun, Imam Bukhari menunjukkan kepada kita penduduk Madinah
juga menggalakkan kanak-kanak berpuasa menerusi satu riwayat.
Kisahnya, suatu hari Umar al-Khattab dihampiri seorang lelaki
yang mabuk ketika Ramadan. Lalu Umar berkata kepadanya:
“Celaka engkau,
kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.”
(Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)
Pujuk anak berpuasa Amalan menggalakkan kanak-kanak berpuasa ketika Ramadan
juga amalan dilakukan penduduk Madinah pada zaman Umar.
Justeru, menggalakkan kanak-kanak berpuasa menjadi
pendapat dipegang majoriti ulama.
Kemungkinan juga, usia kanak-kanak yang dilatih berpuasa
pada zaman Rasulullah lebih muda daripada tujuh, 10 atau 12 tahun,
kerana dalam hadis golongan Ansar dinyatakan wanitanya
membuat barang mainan lembut untuk memujuk dan mengalih perhatian
anak mereka yang kelaparan.
Mainan seperti itu, tidak memberi erti bagi kanak-kanak
berusia 11 dan 12 tahun pada masa itu. Jadi kanak-kanak
yang mesti dipujuk adalah mereka yang berusia lebih muda.
Menggalakkan kanak-kanak berpuasa,
tidak perlu kita memaksa mereka menghabiskannya sehingga sebulan.
Ibu bapa sepatutnya menggunakan cara lebih santai dan bijak
dalam mendekatkan diri anak kepada ibadah dituntut dalam Islam.
Cari jalan supaya anak seronok berpuasa. 

Teruskan membaca..
Tiga peringatan penting
di sebalik doa Nabi Ibrahim
Oleh
Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat SALAH satu doanya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT supaya tidak ditimpakan kehinaan pada hari kiamat. Nabi Ibrahim berdoa:
“Dan
janganlah Engkau hinakan daku
pada hari makhluk dibangkitkan hidup semula.
Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak
tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,
kecuali (harta benda dan anak-pinak)
orang yang datang menghadap Allah
dengan hati yang selamat sejahtera
(dari syirik dan penyakit munafik).”
(Surah al-Syu'ara, ayat 87-89)
Berdasarkan doa diucapkan Nabi Ibrahim, terdapat tiga perkara yang menarik diberikan perhatian oleh setiap Muslim. Pertama, kebimbangan Nabi Ibrahim mengenai azab yang pedih pada hari akhirat.
Sebagai Nabi, bahkan bapa segala nabi dan rasul, juga bergelar Khalil Allah yang bermaksud kekasih Allah, Nabi Ibrahim masih bimbang serta takut jika ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT pada hari kiamat. Inilah sifat mulia Nabi Ibrahim yang sewajarnya dicontohi. Kedua, tiadanya nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Untuk neraca piawaian duniawi, harta dan anak termasuk pengikut adalah petunjuk utama menentukan status serta darjat sosial manusia. Akan tetapi pada hari akhirat nanti, kesemua itu tidak menjadi perkara penting dan tidak ada harganya kerana kenikmatan di syurga tidak dapat dijual beli, apatah lagi malaikat sebagai barisan pelaksana perintah Allah tak mungkin dapat diminta kasihan untuk melepaskan diri daripada azab dan kesengsaraan. Ketiga, kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat. Jaminan keselamatan dan kebahagiaan hanya diberikan kepada orang yang datang menghadap Allah dengan hati bersih dan sihat atau qalbun salim.
Dalam kata lain, hati memainkan peranan penting mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Malah, hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. Anggota tubuh badan manusia tidak berfungsi secara keseluruhannya kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq serta sifat mazmumah. Perlu ditegaskan, ada banyak pendapat daripada ulama tafsir berkaitan asal usul kalimah qalbun salim ini yang asasnya berkisar kepada tiga makna. Pertama, seperti dikemukakan Ibnu Katsir dan al-Alusi, qalbun salim bermaksud sejahteranya hati daripada penyakit syirik atau kepercayaan sesat.
Hati sihat bererti memiliki akidah yang benar, lurus, bebas daripada segala bentuk kemusyrikan dan kesesatan.
Kedua, qalbun salim bererti bersih daripada penyakit hati iaitu sifat mazmumah seperti riak, hasad dengki, sum’ah, sombong dan sebagainya. Permulaan surah al-Baqarah, dikemukakan tiga golongan manusia iaitu orang yang bertakwa (al-muttaqun), orang kafir (al-kafirun) dan orang munafik (al-munafiqun).
Golongan yang disebut terakhir ini adalah orang yang hatinya berpenyakit seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Dalam hati mereka
(golongan yang munafik itu)
ada penyakit (syak dan hasad dengki),
maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka;
dan mereka pula akan beroleh azab seksa
yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab
mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).”
(Surah al-Baqarah, ayat 10) Hati yang bersih dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain. Ketiga, seperti badan yang sihat, hati sihat juga memiliki kesempurnaan dan kekuatan melakukan tugas sesuai dengan maksud penciptaannya sebagai hamba dan khalifah Allah. Fungsi hati yang utama adalah untuk mengenal Allah SWT, iaitu dengan iman dan takwa, seperti maksud sabda Rasulullah SAW:
“Takwa itu di sini,
dan baginda SAW menunjuk
ke dadanya sebanyak tiga kali.”
(Hadis riwayat Baihaqi) Satu perkara tidak dapat disangkal adalah hati yang sihat sumber segala kebaikan dan pendorong amal salih. Di sini, hanya hati yang disebut sebagai sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat, bukannya anggota tubuh badan lain. Hal ini, menurut imam al-Razi, kerana jika hati sihat, seluruh anggota badan yang lain ikut sihat. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya
dalam jasad itu ada segumpal daging.
Apabila dia baik,
maka baiklah seluruh jasad.
Tetapi, apabila dia rosak,
maka rosaklah seluruh jasadnya.
Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) INFO
Tiga perkara menarik di sebalik doa Nabi Ibrahim - Bimbang ditimpa kehinaan dan azab pedih pada hari akhirat;
- Nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan tiada nilai pada hari kiamat dan
- Kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat.

Sumber
Teruskan membaca..