BR1M selaras tuntutan Islam
Pekan: Datuk Seri Najib Razak berkata pelbagai inisiatif kerajaan
membantu mengurangkan beban rakyat, termasuk pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) adalah selaras dengan tuntutan dan syariat Islam.
Perdana Menteri berkata, sejak diperkenalkan pada 2012, BR1M dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang dalam kesusahan, berikutan peningkatan kos sara hidup disebabkan keadaan semasa ekonomi global.
Perdana Menteri berkata, Rasulullah pernah bersabda bahawa sesiapa yang membantu orang lain melangsaikan hutang atau mengatasi kesulitan atau menyelesaikan masalahnya maka itu lebih baik daripada sebulan beriktikaf di masjid.
Pegang prinsip
Seorang pernah bertanya Rasulullah siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai Allah.
Jawab Baginda manusia yang paling dicintai ialah manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain, menggembirakan manusia lain dengan melunaskan hutang orang tak mampu bayar, beri makan kepada orang kelaparan dan berjalan untuk membantu orang yang susah, itu lebih baik daripada beriktikaf sebulan di masjid.
Jadi, biarlah pembangkang nak kritik dan kutuk (apa yang kerajaan buat) kerana mereka akan sentiasa cari jalan. Paling penting kita kuatkan iman dan pegang prinsip ajaran Islam supaya apa yang kita lakukan diredai Allah, katanya.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian pada majlis penyampaian BR1M Parlimen itu di Dewan Seri Perdana Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM), di sini, semalam. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaacob.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan berkenaan kepada 1,000 daripada 36,000 penerima daripada empat DUN Chini, Peramu Jaya, Bebar dan Pulau Manis.
Lawat veteran UMNO
Selepas majlis itu Perdana Menteri melawat dua veteran UMNO yang mengalami masalah kesihatan di rumah masing-masing.
Najib meluangkan masa melawat bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Termizi Tahir, 60, di Alor Ara, di sini, yang menghidap penyakit angin ahmar sejak dua bulan lalu.
Perdana Menteri kemudiannya menziarahi bekas ahli jawatankuasa bahagian Pekan, Mohamed Taib Ibrahim, 76, selepas diserang penyakit saraf di rumahnya, Teratai Dara, Kampung Jambu, di sini.
Mohamed menyifatkan kunjungan Perdana Menteri itu ibarat bulan jatuh ke riba kerana Najib sanggup meluangkan masa lebih setengah jam untuk bertanya khabar dan berbual dengannya.
No comments:
Post a Comment