Penilaian khas lantik guru cemerlang
SURUHANJAYA Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sedang melaksanakan Program Penilaian Khas bagi pelantikan tetap graduan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan 2012.
Pengerusi SPP, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang berkata, ia bertujuan melantik bakal guru yang cemerlang dari segi akademik dan ikhtisas tanpa melalui proses temuduga secara konvensional.
Menurutnya, pelantikan secara terus ini adalah bagi mengiktiraf pencapaian akademik dan ikhtisas graduan yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas, mendapat sekurang-kurangnya keputusan A- dalam Praktikum serta diperaku oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
"Bilangan graduan tidak melebihi 30 peratus daripada mana-mana IPTA dan IPGM," katanya dalam kenyataan akhbar baru-baru ini.
Jelas beliau, usaha tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan profesion perguruan dengan melantik calon guru yang terbaik dari segi akademik dan ikhtisas.
Di samping itu, katanya, ia juga selaras dengan matlamat kerajaan merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 iaitu guru dilantik daripada kalangan 30 peratus graduan cemerlang dalam bidang akademik dan ikhtisas untuk menceburi bidang perguruan.
"SPP juga berharap agar usaha ini menjadi penggalak kepada pelajar yang masih di peringkat pengajian agar sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan," katanya.
Beliau memberitahu, Program Penilaian Khas dijalankan secara berperingkat di seluruh negara bermula pada 19 Mac lalu di Kuching, Sarawak melibatkan seramai 247 orang manakala penilaian khas kedua berlangsung 21 Mac di Putrajaya.
"Program Penilaian Khas ini melibatkan sejumlah 2,780 orang graduan cemerlang dari IPTA dan IPGM dan bilangan itu berdasarkan permohonan Kementerian Pelajaran agar SPP menemuduga 8,200 graduan IPGM dan IPTA di seluruh negara," ujar beliau.
Sementara itu, katanya, bagi Program Penilaian Khas di Putrajaya, bilangan graduan cemerlang yang dinilai melibatkan seramai 560 orang.
Zulkurnain memberitahu, bagi Program Penilaian Khas seterusnya diadakan mengikut taburan calon yang paling ramai seperti 28 Mac ini di Johor Bharu, Ipoh (2 April), Sungai Petani (4 April), Kota Bharu (8 April), Kuantan ((11 April) manakala yang terakhir diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 April depan.
"Pada akhir penilaian graduan yang layak akan terus diserahkan surat pelantikan oleh SPP manakala baki 5,033 graduan perlu melalui temuduga biasa yang dilaksanakan bermula 19 Februari hingga 28 Mac ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130325/pe_01/Penilaian-khas-lantik-guru-cemerlang#ixzz2PUH2T9kb
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment