Johor ubah cuti hujung minggu
Baginda bertitah, Jumaat adalah penghulu kepada semua hari dan umat Islam perlu mengambil peluang keberkatan hari Jumaat untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut.
“Pada masa kini, kita dapat perhatikan golongan lelaki
terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang
singkat. Waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu berehat dan
tidur.
“Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat menunggu imam selesai membaca doa. Kita sedia maklum, di Malaysia ini masih ada beberapa negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat malah Johor juga sudah mengamalkannya sebelum ini.
“Oleh yang demikian, selepas menilai banyak pandangan, saya membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari 2014,” titah baginda sempena Istiadat Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Ke-55, di Dewan Jubli Sultan Ibrahim, di sini semalam.
Pusat sumber Islam
Turut berangkat pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Johor pernah menjadikan Jumaat Sabtu sebagai cuti mingguan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan. Bagaimanapun cuti itu ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1994. Selepas 19 tahun mengamalkan cuti mingguan pada Sabtu Ahad, bermula tahun depan, cuti berkenaan kembali semula kepada Jumaat Sabtu.
Antara negeri yang mewartakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Sementara itu, Sultan Ibrahim menitahkan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menyediakan pusat sumber Islam secara dalam talian bagi dijadikan pusat rujukan umat Islam di negeri ini.
No comments:
Post a Comment