Rombongan pertama
jemaah haji Malaysia selamat
tiba di
Madinah
MADINAH: Seramai 350
jemaah rombongan pertama jemaah haji Malaysia selamat tiba di lapangan terbang
antarabangsa Putera Mohamed Abdul Aziz di sini kira-kira jam 7 pagi waktu
tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).
Selesai urusan pemeriksaan imigresen dan kastam yang mengambil masa kira-kira sejam, mereka dibawa dengan bas ke hotel penginapan Anwar Al-Madinah Movenpick di sini.
Ketibaan rombongan dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu disambut oleh Duta Malaysia ke
Arab Saudi, Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf, Konsul Malaysia di Arab
Saudi, Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak; Timbalan Ketua Rombongan Haji, Tengku
Aziz Raja Abdullah dan Ketua Muassasah Adila, Dr Yusof Ahmad Hawala.
Sementara itu, Syed Omar berkata, kerajaan Arab Saudi menghormati jemaah Malaysia kerana budi perkerti dan disiplin mereka.
"Saya sendiri pernah menghadap Raja Abdullah dan baginda ada memaklumkan jemaah dari Malaysia dihormati kerana akhlak yang baik dan saya ingin menasihatkan jemaah kita supaya terus menjaga nama baik negara dengan mematuhi sebarang arahan dan peraturan kerajaan Arab Saudi," katanya kepada wartawan Malaysia.
Beliau berkata, jemaah haji kini tidak lagi perlu menunggu lama untuk urusan kastam dan imigresen berikutan pusat perkhidmatan di lapangan terbang di Madinah sudah dikemaskinikan oleh kerajaan Arab Saudi.
Seramai 22,320 jemaah haji dari Malaysia akan tiba secara berperingkat untuk mengerjakan ibadah haji musim ini dan jumlah itu berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya ekoran pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi kepada seluruh negara di dunia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment