Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, September 4, 2013

Manfaat pelajari bahasa Arab





Manfaat pelajari bahasa Arab



 
Kepentingan digunakan
 dalam ibadah, komunikasi
 peringkat antarabangsa



Bahasa Arab antara bahasa antarabangsa yang semakin terkenal dan dipelajari di serata dunia. Ia antara bahasa tertua di dunia daripada keluarga Semitik yang masih kekal digunakan hingga sekarang. 



Selain itu, bahasa Arab mula digunakan sebagai bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 1974. Penggunaannya telah merentasi benua asalnya di Timur Tengah menjangkaui benua Asia, Amerika Utara dan Amerika Latin.



Ditutur pelbagai bangsa




Penuturnya pula tidak lagi terhad dalam kalangan bangsa Arab saja, bahkan turut dituturkan oleh pelbagai bangsa di dunia bagi pelbagai tujuan. Menurut Ethnologue, pada ketika ini terdapat lebih kurang 6,912 bahasa yang dituturkan di seluruh dunia. 



Di antaranya terdapat 10 bahasa utama yang dituturkan di mana bahasa Arab mendapat tempat kelima dengan jumlah penutur asli mencapai 300 juta orang. Jika jumlah penuturnya dicampurkan dengan penutur bukan aslinya, maka sudah pasti jumlahnya bertambah berkali ganda di seluruh dunia merangkumi penganut Islam dan bukan Islam. 



Bagi masyarakat Islam, bahasa Arab bahasa yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam. Ia dipilih untuk menjadi bahasa pengantara bagi membawa mesej Islam. Selain itu, semua amal ibadah umat Islam tidak terlepas daripada penggunaan bahasa Arab. 



Malah, menjadi syarat sesuatu ibadah itu diterima khususnya yang ibadah solat dan haji. Hal ini menjadikan bahasa Arab amat sinonim dengan Islam dan umatnya. 



Kepelbagaian bangsa dan bahasa umat Islam di seluruh dunia menjadi asas utama perlunya usaha mempelajari bahasa Arab bagi pelbagai tujuan bukan sekadar tujuan ibadah semata-mata, bahkan tujuan komunikasi antarabangsa. 



Bahkan jemaah haji dan umrah juga perlu didedahkan dengan pembelajaran bahasa Arab sebelum berangkat ke Tanah Suci supaya dapat berkomunikasi dalam bahasa Arab walaupun sekadar peringkat asas yang diperlukan seperti membeli-belah, tunjuk arah, bertanya khabar, mencari maklumat, membaca papan tanda, urusan pos dan lain-lain. 



Keperluan menguasai bahasa Arab dalam peringkat asas juga penting supaya jemaah haji dan umrah dapat mengelakkan diri daripada tertipu ketika urusan jual-beli. Selain itu, tidak semua peniaga di sana yang dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik untuk berkomunikasi. 



Potensi pelancongan Islam

 

Dari sudut ekonomi, Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang terkenal dengan kemajuan dan model Islam dalam pelbagai produk Islam seperti perbankan Islam, pendidikan, pertanian, perindustrian, perkhidmatan perubatan sepatutnya meneroka bidang pelancongan Islam. 



Potensi pelancongan Malaysia yang ada pada masa kini perlu dimanfaatkan dengan meneroka bidang ini yang akan turut menarik kedatangan pelancong dari Timur Tengah dan negara Teluk ke Malaysia. 



Malaysia sering mendapat pengiktirafan antarabangsa. Laporan United Nation World Trade Organization (UNWTO) pada 2009 meletakkan Malaysia sebagai negara ke-9 yang patut dilawati pelancong, naik daripada tangga ke-11 sebelum ini. Manakala Lonely Planet pula meletakkan Malaysia antara 10 negara yang baik untuk dilawati. 



Bersesuaian dengan kedudukan Malaysia itu, maka sudah sepatutnya negara kita memanfaatkan bidang pelancongan terutama dalam kalangan negara Islam dan penganutnya yang hampir mencapai 1.6 bilion berdasarkan statistik 2010 orang di serata dunia. 



Selain itu, Malaysia boleh memainkan peranannya sebagai hub pelancongan Islam bagi rantau Asia Tenggara untuk pelancong dari Timur Tengah dan negara Islam di seluruh dunia melalui pelbagai produk halal yang ditawarkan seperti makanan, perbankan Islam, perkhidmatan perubatan. 



Potensi yang ada dalam kalangan pelajar dan institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus serta pembelajaran bahasa Arab boleh dimanfaatkan bagi tujuan pelancongan Islam dengan melatih pemandu pelancong yang mahir berkomunikasi dalam bahasa Arab. 



Institusi tawar program bahasa Arab
 

Terdapat banyak institusi pengajian tinggi awam menawarkan program pengajian bahasa Arab seperti di Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 



Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dapat memanfaatkan kepakaran terdapat di institusi pengajian tinggi dan bekerjasama bagi mengoptimumkan potensi graduan bahasa Arab sedia ada dalam sektor pelancongan Islam. 



Di samping itu mereka boleh meneroka bidang lain seperti media massa, perniagaan, komunikasi antarabangsa dan sebagainya supaya bidang ini tidak terhad dalam bidang terjemahan, keagamaan dan profesion perguruan semata-mata. 



Ini secara tidak langsung dapat melatih graduan bahasa Arab di Malaysia untuk menceburi bidang keusahawanan pelancongan dan tidak bergantung kepada peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam semata-mata.



Sokongan latihan dan bimbingan oleh pihak berkaitan dalam bidang keusahawanan, perindustrian, kewangan dan sebagainya amat diperlukan bagi memastikan objektif serta matlamat ini dapat dicapai dengan jayanya. 


Situasi tidak stabil di Timur Tengah pada masa kini juga menyebabkan pelancong dari serata dunia mencari alternatif baru destinasi pelancongan dalam kalangan negara Islam termasuk Malaysia. 



Penulis ialah
 Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) 
Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan 
Universiti Islam Antarabangsa 
Malaysia
 (UIAM)


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...