Guru berkelayakan ajar BI
London: Semua guru pelatih Bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang gagal mencapai tahap penguasaan kemahiran ditetapkan Kementerian Pendidikan perlu menduduki semula kursus sama selama enam bulan hingga setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi memastikan guru mata pelajaran itu benar-benar layak dan berkebolehan bagi mengajar dan membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi memastikan guru mata pelajaran itu benar-benar layak dan berkebolehan bagi mengajar dan membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
Program khas
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, pada masa sama kementeriannya juga akan melancarkan program khas dengan memperbanyakkan aktiviti luar kelas bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, terutama pelajar di luar bandar.
Katanya, ia adalah beberapa inisiatif baru yang akan dilaksanakan kementerian itu bagi membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajib lulus Bahasa Inggeris pada 2016 seperti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“Saya sudah arahkan supaya guru pelatih bahasa Inggeris ini perlu mencapai tahap piawaian yang ditetapkan. Jika gagal memenuhi syarat ini, mereka kena sambung lagi selama enam hingga setahun di IPGM.
“Kita tidak mahu lagi menghantar guru bahasa Inggeris lepasan IPGM ke sekolah hanya kerana mereka sudah tamat belajar, tetapi hendaklah layak dan berkebolehan,” katanya pada sidang media kepada wartawan Malaysia, di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, masih ada guru bahasa Inggeris gagal memenuhi tahap ditetapkan dalam ujian apabila kementeriannya melancarkan pelan pembangunan itu.
Tindakan segera
“Namun, kita mengambil tindakan segera dengan melatih 5,000 guru bagi peringkat permulaan diikuti 9,000 lagi bulan depan kerana kita mahu semua 60,000 guru bahasa Inggeris menjalani proses meningkatkan kemahiran masing-masing,” katanya.
Mengenai usaha memperbanyakkan aktiviti luar kelas bagi penguasaan bahasa Inggeris pula, beliau berkata, pihaknya sedar jumlah masa belajar Bahasa Inggeris di sekolah masih kurang dan perlu adakan program khas.
“Jadi, kita akan memperkenalkan program aktiviti luar kelas seperti debat, kuiz yang menetapkan mereka supaya lebih kerap berbahasa Inggeris,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke sini juga berkata, kementeriannya turut mendapatkan bantuan negara Komanwel dan Amerika Syarikat (AS) bagi membantu meningkatkan penguasaan kemahiran guru bahasa Inggeris.
Katanya, dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, Nick Clegg, juga sudah menyatakan persetujuan untuk membantu dengan menghantar guru bahasa Inggerisnya ke Malaysia.
Sementara itu, dalam majlis berasingan semalam, Muhyiddin berkata, dasar menghapuskan jurang sosial dan ekonomi secara berterusan menjadi penyumbang signifikan dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan politik serta mengelak ketegangan antara kaum sejak beberapa dekad lalu.
No comments:
Post a Comment