Ramadan afdal mohon keampunan
Organisasi adalah
institusi yang didukung oleh pekerja dan majikan untuk mencapai matlamat
berasaskan pengurusan kasih sayang. Ia ibarat rumah kedua bagi pekerja yang
perlu dipelihara kesejahteraannya.
Justeru, pada Ramadan ini, setiap amalan juga perlu dihasratkan untuk mencapai kesejahteraan, kejayaan dan keberkatan termasuk kerja. Antaranya melalui amalan berdoa, munajat dan pengharapan.
Ibadat kita kepada
Allah SWT dan hanya Dialah memakbulkan segala hasrat serta impian. Malah yang
tidak berdoa kepadaNya adalah hamba yang sombong, rugi dan hina.
Firman Allah SWT bermaksud:
"Dan Tuhan kamu berfirman:
Berdoalah kamu kepadaKu
nescaya Aku perkenankan doa
permohonan kamu.
Sesungguhnya orang yang
sombong
takbur daripada
beribadat dan berdoa kepadaKu,
akan masuk neraka Jahanam
dalam
keadaan hina."
(Surah al-Mukmin, ayat 60)
Tuntutan berdoa seperti
sabda Rasulullah SAW:
"Keadaan seseorang
paling dekat
dengan Allah
adalah ketika sujud maka
perbanyakkanlah doa."
(Riwayat Muslim)
Doa adalah senjata bagi orang
beriman yang menjadi
sumber kekuatan. Dalam
bekerja,
manusia amat memerlukan
kekuatan sama ada jasmani,
rohani mahupun
mental.
Kekuatan bertapak dalam jiwa
menyuburkan hati supaya bersih,
luhur,
ikhlas, cekal,
bersemangat dan baik.
Pelihara silaturahim
Majikan dan pekerja yang
memiliki kekuatan ini akan
berjaya memelihara hubungan
silaturahim dengan berkesan
iaitu majikan menghargai pekerja,
pekerja menghormati
majikan,
merasa bangga dengan organisasi
dan melahirkan semangat,
kesungguhan
bekerja serta
ketaatan kepada Allah SWT.
Namun, kesilapan dan perselisihan
juga berlaku di tempat kerja,
tempat kita
luangkan banyak masa
serta tenaga itu sudah tentu
banyak kekhilafannya.
Berlaku suasana kerja tidak harmoni disebabkan hubungan antara majikan dengan pekerja seperti kurang bertimbang rasa, tidak bertanggungjawab, panas baran, khianat, hasad, sombong, buruk sangka dan kesalahan lidah seperti mengata, memfitnah dan mengadu domba.
Justeru, wajarnya kita saling berdoa, mendoakan dan bermaafan supaya mendapat keampunan. Dalam banyak perkara yang boleh kita mohon, memohon keampunan paling afdal pada Ramadan.
Saidatina Aishah bertanya kepada
Rasulullah SAW apakah yang akan
baginda pohon
sekiranya mendapat
malam Lailatul Qadar.
Lalu jawab baginda:
"Aku akan berdoa:
Ya Allah
Engkaulah Maha Pengampun,
suka mengampunkan,
maka ampunilah aku."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru, selain berdoa untuk keampunan diri sendiri, doakan juga keampunan untuk pekerja dan majikan. Selain itu, ajaran Islam menggalakkan kita saling mendoakan kesejahteraan dan kebaikan antara satu sama lain serta dijauhkan daripada segala keburukan atau kemudaratan.
Sifat majikan dan pekerja saling mendoakan ini perlulah dihebahkan kerana ia akhlak terpuji dan perlu menjadi budaya dalam organisasi.
Doa majikan kepada pekerja
dan pekerja kepada majikan adalah
suatu ibadat dan
pengerat silaturahim.
Rasulullah SAW bersabda:
" Sesungguhnya doa itu
adalah
ibadat."
(Riwayat Imam Ahmad)
Terfikirkah jika kita boleh mendoakan saudara Islam yang tertindas, dalam kesusahan dan bergolak di negara lain yang jauh dan tidak dikenali, tetapi mengapa tidak juga mendoakan mereka yang berada di sekeliling lingkungan hidup walaupun mereka dalam keadaan sejahtera.
Justeru, status orang yang berpuasa ditingkatkan Allah SWT darjatnya dan dimakbulkan doanya serta lebih afdal, maka sebaik-baiknya kita merebut peluang ini dengan saling mendoakan kejayaan bersama majikan dan pekerja dalam bulan mulia ini.
Doa tak ditolak
Rasulullah SAW bersabda:
" Sesungguhnya orang yang
puasa ketika berbuka memiliki
doa
yang tidak akan ditolak. "
(Riwayat Ibnu Majah)
Ini adalah sunnah Rasulullah SAW mendoakan kaum lain dan sahabat, sahabat juga mendoakan baginda.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Kaum Aslam semoga Allah memberi keselamatan kepada mereka dan kaum Ghifar semoga Allah memberikan keampunan kepada mereka. Bukan aku yang berkata tetapi Allah yang berfirman begitu.
Rasulullah SAW juga berpesan supaya Saidina Umar al-Khattab mendoakan baginda apabila ke Makkah untuk mengerjakan umrah. Saidina Umar juga memohon Uwais al-Qarni seorang tabiin mendoakannya.
Amalan ini walaupun dilakukan secara senyap dan tidak diketahui pekerja, rakan dan majikan adalah sangat mulia dan daripada apa yang dikisahkan Rasulullah SAW, boleh menjadi penyebab seseorang masuk syurga.
Inilah juga menjadi tanda bagi pengurusan
berasaskan kasih sayang yang sangat
dianjurkan dalam Islam.
Rasulullah SAW bersabda:
" Tiga orang yang doanya tidak
tertolak,
orang yang berpuasa sampai dia berbuka,
pemimpin yang adil, dan doa
orang dizalimi."
(Riwayat al-Tirmidzi)
No comments:
Post a Comment