Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, August 14, 2013

Puasa sunat Syawal


Umpama berpuasa seumur hidup

 


Amalan baik yang dibuat sepanjang Ramadan seharusnya diteruskan pada bulan-bulan lain.
 - Gambar hiasan 
 
 
 
SETELAH berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan dan merayakan Hari Raya Aidilfitri umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari di bulan Syawal bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan semasa hari raya. 



Puasa enam hari di bulan Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada segala godaan nafsu.
Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal , berturut-turut atau terpisah-pisah asal tidak sampai melewati bulan tersebut. Manakala pada hari raya pertama dilarang berpuasa.




Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup. (riwayat Muslim).



Rasulullah SAW tidak menjelaskan apakah puasa enam hari dalam bulan Syawal ini dilaksanakan secara berturut-rurut atau secara berselang-selang. Oleh itu puasa enam hari yang dimaksudkan oleh hadis di atas boleh dilakukan berturut-turut mahupun berselang-selang, yang penting cukup enam hari.



Sementara dalam satu hadis yang lain Nabi SAW yang bermaksud: "Berpuasa sebulan (di bulan Ramadan itu disamakan) dengan 10 bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun." (riwayat ad-Darimi).



Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan-kekurangan yang terdapat dalam bulan Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga sahaja. Sedangkan perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa "telinga" , "lidah" dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu.



Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan-amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat.




Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.



Sebagai contoh kita hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat dan tertinggal sembahyang Subuh. Atau tidak berpuasa di bulan Ramadan tetapi menunaikan puasa sunat Syawal. 



Selain itu, banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat tetapi tidak bersilaturahim sesama manusia. Kerana bersilaturahim itu hukumnya wajib dan perlu dilaksanakan dahulu.



Imam Al-Ghazali daripada kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan tentang tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh.



 Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara.




Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada kedua-duanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan. 




Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar dan dahaga sahaja. (riwayat Al Bukhari).




\

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...