Antara adat dan ibadat
IBADAH puasa di bulan Ramadan diibaratkan suatu madrasah atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa. Bukan sahaja menahan lapar dahaga tetapi mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa.
Malah disiplin madrasah ini amat tinggi sehinggakan bukan sahaja di hadapan orang umat Islam berpuasa tetapi apabila bersendirian juga amalan ini masih utuh. Inilah kejayaan Islam dalam mendidik peribadi yang mulia dan amanah.
Setelah sebulan mengikuti madrasah Ramadan, masyarakat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri pada minggu lepas. Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat di dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari tersebut.
Dari segi bahasanya aid al fitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah kita sendiri iaitu suci dan bebas daripada dosa sebagaimana anak yang baru dilahirkan. Tatkala Aidilfitri, umat Islam adalah suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan telah membersih segala dosa kita.
Namun tidak kurang juga daripada kita yang kecundang dan gagal mendapat ijazah daripada madrasah Ramadan ini. Ini dapat dilihat apabila mereka juga kembali kepada fitrah mereka. Mereka kembali kepada kehidupan yang penuh dengan dosa, memakan makanan yang tidak tentu halal-haramnya dan menindas golongan yang lemah. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah SWT.
Pada hari kemenangan ini jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mestilah diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.
Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga setelah berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat.
Mungkin ada yang masih di kampung kerana kebetulan cuti persekolahan yang panjang ketika ini. Ambillah kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahim antara kita dan pulanglah nanti dengan suatu tekad untuk memperjuangkan agama Allah ini. Islam amat memerlukan kita bagi meneruskan kelangsungan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini.
Aidilfitri bukanlah suatu upacara adat semata-mata tetapi merupakan ibadat yang berasaskan kepada sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, amatlah molek sekiranya Hari Besar ini dipenuhi dengan ibadat-ibadat yang dituntut oleh Allah.
Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah janganlah dikesampingkan. Ia tidak hanya ziarah-menziarahi tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiyah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.
Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa yang dianjurkan oleh Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini tetapi dalam sukatan dan kadar yang tidak menjurus kepada pembaziran.
Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam, membantu golongan yang memerlukan dan sebagainya. Pembaziran pula bukanlah suatu yang digalakkan oleh Islam tetapi merupakan amalan syaitan.
Sebagaimana lazimnya seperti tahun-tahun yang lalu, bulan Syawal akan dipenuhi dengan program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.
Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika kita kaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis-majlis berkenaan.
Bukanlah tujuan penulis menyanggah apa yang telah dilakukan sekian lama ataupun menyarankan ia diberhentikan serta merta tetapi biarlah dalam semua tindakan kita itu dibuat dengan berpada-pada, bersederhana dan tidak sehingga boleh disifatkan sebagai suatu pemborosan.
* PENULIS ialah
Presiden Persatuan
Peguam Peguam Muslim Malaysia
(PPMM)
No comments:
Post a Comment