IBADAT puasa amat unik, ia ada hubungan dengan kesihatan dan pemakanan. Sebahagian dari pengisian Ramadan adalah ibadat puasa.






Bila disebut puasa atau Ramadan, pelbagai jenis makanan dan juadah dihidang dan dijual-belikan orang.







Di samping itu ada makanan dan minuman yang boleh memberi kesihatan kepada tubuh badan seseorang dan ada yang boleh menjejaskan kesihatan pemakannya.







Justeru, ALLAH SWT sayang kepada hamba-Nya, maka diwajibkan berpuasa supaya manusia terdidik untuk menjaga kesihatannya. Melakukan puasa adalah salah satu cara untuk mengurus kesihatan. Ibadat puasa juga sebagai benteng daripada api neraka.







Dalam konteks menjaga kesihatan dan pemakanan, pakar-pakar kesihatan mengakui hakikat menjaga pemakanan merupakan faktor terpenting menentukan tahap kesihatan. Rasulullah SAW menyatakan dalam hadis bermaksud: “Berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat.”


 (Riwayat Ibnu Majah)






Berpuasa mempunyai hubung kait dengan makanan dan minuman. Apabila kita berpuasa, jadual masa makan dan minum telah berubah. Bersahur adalah ganti kepada sarapan pagi, manakala berbuka puasa adalah ganti makan malam.









Ada kalanya suatu penyakit disebabkan faktor keturunan atau keadaan setempat tetapi kebanyakan penyakit berlaku kerana tabiat dan aktiviti pemakanan yang tidak dikawal. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Perut itu adalah rumah penyakit.” Maksud perut dalam hadis itu bukanlah saiznya tetapi apa yang diisi ke dalam perut berupa makanan dan minuman. Nabi menyatakan lagi maksudnya: “Perut itu semacam telaga bagi badan, urat dan pembuluh darah. Apabila perut itu sakit maka pembuluh darah itu akan membawa penyakit.”








ALLAH TAALA menegaskan dalam al-Quran agar seseorang mukmin hendaklah memakan makanan yang halal lagi baik, bersih dan suci tetapi tidak melakukan secara berlebihan kerana makan yang diambil secara berlebihan akan mengundang penyakit walaupun bukan pada waktu itu tetapi dalam jangka masa panjang. Firman ALLAH bermaksud: “Dan makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan.  Sesungguhnya (ALLAH) tidak sukakan mereka yang berlebih-lebihan.” 


(Al-’Araf : 31).






Apa yang berlaku kepada kita hari ini apabila kita berada dalam keadaan mewah dan mudah mendapatkan makanan yang pelbagai tidak termasuk makanan popular seperti ‘makanan segera’ dan penyemburan racun pada sayuran dan buah-buahan serta berbagai kesan bahan pengawet, pembungkusan yang membawa kepada penyakit kanser dan lain-lain.







Nabi SAW memberi panduan kepada kita yang apabila kita ikuti adalah jaminan kepada kesihatan yang baik. Sabda Baginda bermaksud: “Makanlah ketika kamu lapar dan berhentilah sebelum kamu kenyang.”








Sabda Nabi SAW lagi bermaksud: “Tidaklah anak Adam itu memenuhi bekas yang paling hina dari perutnya. Memadai anak Adam itu makan  beberapa suap yang membolehkan berdiri tulang belakang (bekerja kuat). Sekiranya ia tidak mampu melakukan (makan yang sedikit itu) maka hendaklah ia membahagikan perutnya sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk pernafasan.”







Oleh kerana itu ibadat puasa adalah sebagai satu latihan untuk mengawal makan dan minum seseorang dan sebagai satu peringatan supaya kita sentiasa menjaga makanan dan minuman bagi menjamin kesihatan yang baik.






Walaupun Nabi SAW menyatakan: “Setiap penyakit itu ada ubatnya.” Sebaliknya Nabi juga berpesan dengan maksud : “Memelihara daripada terkena penyakit itu lebih baik daripada mengubat penyakit tersebut.”








Ibadat puasa melatih seseorang selain bertakwa dari segi rohani, juga dapat menjaga kesihatan jasmani. Pakar-pakar kesihatan dan sains dari Barat mengakui mengenai ibadat puasa sebagai ubat dan penawar bagi kesihatan fizikal dan mental.