Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, June 8, 2013

Persahabatan ikhlas dunia, akhirat




Persahabatan ikhlas dunia, akhirat




Firman Allah SWT: “Dan Dia (Allah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Walaupun engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal, ayat 63)

Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam tafsirnya menyebut, bantuan Allah seperti kekuasaan kepada orang mukmin melalui tiga faktor iaitu bantuan kepada tercapainya kemenangan, Allah membantu dengan pembabitan orang mukmin dan mempertautkan hati mereka.

Justeru, perkara penting yang perlu diperhatikan ialah bagaimana mempertautkan hati masyarakat Islam supaya mereka membina persahabatan, persaudaraan dan perpaduan berdasarkan teras sebenar yang dituntut al-Quran.



Sesungguhnya dasar dan teras kepada persahabatan ialah keimanan kepada Allah SWT yang akan melahirkan sesuatu yang indah dalam perhubungan.

Persahabatan adalah nikmat yang Allah SWT limpahkan kepada hati yang ikhlas membina hubungan semata-mata kerana Allah SWT.

Kesan daripada itu, maka timbullah perasaan kasih sayang, hormat-menghormati dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Lantaran itu, kita dapat melihat dengan jelas dalam sejarah Islam bagaimana generasi awal Islam yang dididik Rasulullah SAW membina persahabatan mereka.

Kita dapat melihat bagaimana penduduk asal Madinah yang dikenali sebagai golongan Ansar menerima saudara mereka dari Makkah (Muhajirin). Mereka membuka hati dan rumah untuk Muhajirin, yang tiada kaitan darah antara mereka dan tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini.
Itulah dikatakan kesan keimanan yang menyerap ke hati dan jiwa mereka, bukan kerana kepentingan tertentu tetapi nilai persahabatan sebenar adalah suatu perkara yang sangat mahal, tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, emas atau perak.

Islam meletakkan persahabatan dan persaudaraan bukan kisah kehidupan dunia yang hanya tamat selepas berlaku kematian tetapi ia berterusan hingga ke akhirat. Rasulullah SAW ada menyebut mengenai kedudukan orang yang membina persahabatan kerana Allah di akhirat nanti.

Sabda Baginda: “Sesungguhnya dalam kalangan hamba Allah ada kelompok manusia yang mereka itu bukan nabi-nabi dan bukan pula orang yang mati syahid. Nabi dan syuhada berasa cemburu melihat kedudukan kelompok itu di sisi Allah. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu? Rasulullah menjawab: Mereka adalah satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada pertalian darah, juga tidak ada harta yang diambil, demi Allah muka mereka sungguh berseri-seri, mereka berada di dalam nur Allah, mereka tidak takut ketika manusia takut dan tidak bersedih ketika manusia bersedih.” (Riwayat Abu Daud)

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT bermaksud: “Ingatlah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah Yunus, ayat 62)

Manusia perlu sahabat

Al-Quran dalam banyak ayat menggambarkan keperluan manusia kepada kawan dan sahabat dalam kehidupan. Antara keperluan kepada teman dan sahabat dapat kita fahami menerusi permohonan Nabi Allah Musa kepada Allah SWT bermaksud: “Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu daripada keluargaku.” (Surah Toha, ayat 29)

Ayat berikutnya, al-Quran menjelaskan Nabi Musa menyebut tujuan dan matlamat persahabatan yang didambanya. Pertama, beliau mengehendaki Nabi Harun menjadi penolong dalam menempuh kehidupan.

Kedua, Harun menjadi rakan untuk berkongsi kegembiraan dan kesedihan serta teman bertukar fikiran dan ketiga, Harun menjadi sahabat yang membantu supaya Baginda sentiasa berzikir serta bertasbih kepada Allah SWT.

Keperluan ketiga-tiga sifat ini ialah untuk menolong dalam menjalani kehidupan, berkongsi kegembiraan dan kesedihan serta menjadi sahabat yang memberi dorongan supaya sentiasa mengingati Allah SWT.

Setiap orang hendaklah memastikan persahabatan yang dibina itu betul dan diberkati berlandaskan beberapa prinsip. Persahabatan yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT iaitu bersih daripada kepentingan dan manfaat peribadi.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang lelaki telah menziarahi saudaranya kerana Allah SWT, lalu Allah SWT menghantar kepadanya seorang malaikat, lalu malaikat itu bertanya: Ke mana kamu hendak pergi? Lelaki itu menjawab: Saya hendak menziarahi saudaraku. Malaikat bertanya lagi: Adakah kerana sesuatu hajat kamu ke sana? Jawab lelaki itu: Tidak, akan tetapi aku kasih kepadanya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku telah diutuskan oleh Allah SWT mengasihi kamu kerana kamu mengasihi saudaramu kerana Allah maka pastilah bagi kamu syurga.” (Riwayat Muslim)

Persahabatan disertai dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh itu, kita perlu mencari kawan yang patuh dan taat kepada Allah SWT. 



Penulis ialah perunding motivasi 
Islam Fitrah Power Resources


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...