Pembelajaran maya
guna telefon pintar
Kementerian Pendidikan
sedia kemudahan 4G akhir tahun
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan bercadang memperkenalkan pembelajaran secara
maya menggunakan telefon pintar seperti iPhone dan telefon Windows, pada masa
depan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, berkata ini membolehkan pengajaran dan pembelajaran (P&P)
dijalankan di mana-mana dan pada bila-bila masa.
Katanya, di rantau
Asia Pasifik, penggunaan telefon pintar semakin popular dengan kemudahan
seperti internet tanpa wayar, rangkaian 3G atau 4G untuk meningkatkan P&P.
Kemudahan 1BestariNet
“Dalam pelan tindakan pendidikan negara, kita akan menyediakan kemudahan 4G
melalui 1BestariNet dan persekitaran pembelajaran maya (VLE) membabitkan lebih
10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Kita juga menyasarkan semua guru terlatih dan cekap dalam VLE menjelang 2015.
“Pembelajaran mudah alih atau m-pembelajaran dan pembelajaran di mana-mana atau
u-pembelajaran adalah dua trend untuk mengukuhkan inisiatif e-pembelajaran
kita,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan ‘Digital Education
Show Asia’ 2013 di sini, semalam. Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri
Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching.
3 gelombang pembangunan
Muhyiddin berkata, kementeriannya sudah menggariskan tiga gelombang pembangunan
untuk perubahan sistem pendidikan negara dengan meningkatkan penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Katanya, pembabitan guru dan integrasi ICT dalam P&P adalah faktor utama
bagi menjayakan matlamat itu dan ia juga sejajar matlamat Wawasan 2020 menerusi
inisiatif dalam teleperubatan, e-kerajaan, pendidikan dan industri.
Beliau yakin peningkatan integrasi ICT dalam P&P akan merubah sistem
hafalan tradisional kepada pendekatan konstruktivis yang melahirkan pelajar
berfikiran kreatif, kritikal dan berinovasi.
No comments:
Post a Comment