Sasar 500 sekolah kluster
menjelang 2015
PUTRAJAYA 5 April - Kementerian Pelajaran akan meningkatkan jumlah
Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) daripada 300 kepada 500 buah
menjelang 2015.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, kini
terdapat lebih daripada 500 sekolah yang telah dikenal pasti berpotensi
untuk mendapat pengiktirafan tersebut.
Katanya, pihak kementerian mempunyai matlamat untuk meningkatkan
bilangan SKK supaya dapat dijadikan penanda aras kepada sekolah lain.
"Sehingga kini sejumlah 213 sekolah telah dinobatkan sebagai SKK.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 SKK telah diiktiraf sebagai
Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
"Pada hari ini, saya bersyukur 50 buah sekolah lagi mendapat
pengiktirafan untuk SKK bagi fasa ketujuh," katanya ketika ditemui
pemberita dalam Majlis Pengiktirafan SKK fasa ketujuh di sini hari ini.
Pada majlis tersebut seramai 29 guru besar dan 21 pengetua menerima
sijil pengiktirafan SKK serta wang insentif bernilai RM250,000.
Abd. Ghafar berkata, 50 sekolah yang mendapat pengiktirafan SKK itu terdiri daripada 29 sekolah rendah dan 21 sekolah menengah.
Katanya, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian
cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan,
bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.
"Pengiktirafan tersebut juga memberikan peluang kepada sekolah yang
dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan
dengan sekolah lain dari dalam dan luar negara," katanya.
Antara sekolah rendah yang mendapat pengiktirafan SKK ialah Sekolah
Kebangsaan (SK) Seri Tebrau, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),
Ladang Rem, Johor; SK Kubang Kerian, Kelantan; SK Subang Jaya, Selangor;
serta SK Agama Bintulu, Sarawak.
Sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri
Kenangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor;
SMKA Kedah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Pulau
Pinang dan SMKA Tok Jiring, Terengganu.
No comments:
Post a Comment