Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, March 19, 2013

Peroleh amal salih dalam pekerjaan




Peroleh amal salih dalam pekerjaan




Ikhlas bekerja 
diterima di sisi Allah dan manusia
 yang berurusan


Niat dan cita-cita untuk menjadi insan salih dan beramal salih melalui apa juga kerjaya diceburi boleh mencetuskan semangat motivasi serta terapi hati dalam mengejar matlamat kesejahteraan dunia dan akhirat. 





Setiap kali kita bekerja, pahatkan dalam hati bahawa kerja hari ini adalah untuk pelaburan hari akhirat kelak. Namun, ia tidak akan menjadi pelaburan akhirat jika tidak diniatkan serta diusahakan dengan memenuhi standard sebagai amal soleh. 






“Adapun orang yang beriman
 dan mengerjakan amal salih,
 maka Allah akan menyempurnakan
 pahala mereka.”  

(ali-Imran, ayat 57)





Amal salih adalah amal yang dilaksanakan mengikut piawaian akhlak seperti ikhlas, teliti, jujur, amanah, tekun, cekap serta mengikut piawaian syarak, diusahakan daripada sumber yang halal dan membawa manfaat.

 


Sabda Rasulullah SAW: 



“Sebaik-baik harta ialah
 harta yang baik kepunyaan
 orang yang baik”.

 (Riwayat Imam Ahmad)




Kurang kerenah birokrasi


 

Usaha untuk mengurangkan kerenah birokrasi juga satu amal salih kerana selain bertujuan memudah dan mempercepatkan proses urusan, ia juga dapat mengelakkan pelanggan menggunakan jalan pintas atau mengamalkan suapan, rasuah dan penipuan untuk mencapai hasrat dengan mudah. 




Begitu juga langkah mempercepatkan masa menunggu giliran, menyediakan kaunter pertanyaan dan perkhidmatan mencukupi, menyediakan perkhidmatan khas kepada golongan kurang upaya, warga emas dan ibu hamil serta menggantikan pegawai bercuti panjang.




Mengurangkan prosedur kerja yang panjang dan rumit, menyediakan tempat berurusan selesa, bersih dan selamat, memudahkan pengisian borang, penyaluran maklumat permohonan secara dalam talian, memberikan maklumat urusan dengan jelas, tepat dan mencukupi juga antara amal soleh.



Bekerja dengan matlamat menjadi insan salih dan beramal salih memberi manfaat yang dahsyat kepada pekerja. Ia meliputi antaranya tujuh implikasi iaitu pertama, disempurnakan dan diberi ganjaran pahala.

 


Firman Allah SWT: 


“Adapun orang yang beriman 
dan mengerjakan amal salih, 
maka Allah akan menyempurnakan
 pahala mereka.”

(Surah ali-Imran, ayat 57) 


Elak kerja sia-sia

 

Kedua, mengelakkan kerja menjadi sia-sia ibarat debu yang berterbangan dan tidak menjadi pelaburan akhirat. Abu Hurairah, katanya, 



“Aku dengar Rasulullah SAW bersabda
 mengenai beberapa orang yang
 mengerjakan amalan tetapi
 sia-sia pada hari akhirat.
 Antaranya meliputi sumber yang 
haram dan tidak jujur.”

 

Firman Allah SWT:

 “Demi masa
 sesungguhnya manusia itu
 dalam kerugian kecuali mereka
 yang beramal soleh dan berpesan-pesan 
kepada kebenaran dan berpesan-pesan
 pada kesabaran.” 

(Surah al-Asr, ayat 1-3) 


Ketiga, menjadi terapi hati apabila merasa letih, penat dan putus asa terhadap kerja. 


Firman Allah SWT: 


“Sesiapa yang beriman dan
 beramal salih maka tiada ketakutan
 bagi mereka dan tiada pula 
mereka merasa sedih.”



Kelegaan daripada sifat takut dan sedih ini lahir daripada keyakinan hati terhadap balasan setiap amal soleh akan dilihat serta dihitung oleh Allah SWT.

 

Firman-Nya: 

“Dan bahawa sesungguhnya 
tiada (balasan) bagi seseorang melainkan
(balasan) apa yang diusahakannya.
 Dan sesungguhnya usahanya itu
 akan diperlihatkan (kepadanya pada
 Hari Kiamat kelak). Kemudian usahanya itu
 akan dibalas dengan balasan
 yang amat sempurna.” 

(Surah al-Najm, ayat 39-41) 



Keempat, mendapat kehidupan yang baik. Implikasi ini sesuai dengan tuntutan untuk mengamalkan budaya kerja cemerlang bagi mendapatkan hasil dan output berkualiti.
 

Firman Allah SWT: 



“Sesiapa yang mengerjakan amal salih
 sama ada lelaki mahupun perempuan dan
 dia beriman, maka Kami akan memberikan
 kehidupan yang baik baginya dan Kami
 akan berikan kepada mereka ganjaran
 yang lebih baik daripada amalan mereka.” 

(Surah al-Nahl, ayat 97) 



Kelima, dikasihi majikan dan rakan. Dengan memenuhi piawaian akhlak dan syarak, pastinya kerja itu bukan saja diterima di sisi Allah SWT tetapi juga manusia yang berurusan di sekeliling kita.



Keenam, menjadi contoh dan sumber inspirasi dalam membentuk budaya amal salih kepada yang lain. 
Sabda Rasulullah, 


“Seorang Mukmin itu
 adalah cerminan bagi
 Mukmin yang lain.” 

(Riwayat al-Bukhari) 


Buka pintu rahmat


Ketujuh, membuka pintu rahmat Allah SWT.
 Sabda Rasulullah: 


“Allah SWT merahmati orang
 yang bertolak ansur ketika menjual,
 bertolak ansur ketika membeli, 
bertolak ansur ketika mengadili dan
 bertolak ansur ketika meminta pengadilan.”

 (Riwayat al-Tirmizi) 


Semua implikasi ini akan menjadikan kita pekerja yang dedikasi, berdaya tahan lagi ceria melaksanakan tugas. 


Penulis Penyelaras Unit Penerbitan,
 Institut Pengurusan dan Penyelidikan
 Fatwa Sedunia (INFAD)
 Universiti Sains Islam Malaysia 
(USIM)





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...