Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, February 12, 2013

Pembinaan watak bermula di sekolah


 

Pembinaan watak

 bermula di sekolah



Pendidikan 6 tahun di sekolah rendah
 penting bina minda kelas pertama
Selepas lebih 50 tahun meninggalkan Sekolah Kebangsaan Jementah, Sagamat, baru-baru ini saya telah diundang untuk mewakili alumni menyampaikan ucapan sempena Majlis Menyambut Maulidur Rasul. Bangunan kayu tempat pertama kali saya menjejakkan kaki ke sekolah telah dirobohkan dan diganti dengan dua blok bangunan konkrit bertingkat. Suasananya banyak berubah, tetapi Sungai Jementah yang mengalir di belakang sekolah masih kelihatan seperti dahulu, cuma ia semakin menyempit dan airnya berkurangan.



Jemputan ini sangat bermakna bagi saya. Terima kasih kepada Mohmad Jaafar Maskor insan prihatin yang menjemput saya, serta pengetua sekolah Sharuddin Adanan dan guru yang telah menerima saya dengan tangan terbuka. Kehadiran saya di Sekolah Kebangsaan Jementah ini sangat nostalgik sehingga mencetus perasaan untuk berkongsi dengan anda apa yang telah saya sampaikan ketika berucap di hadapan pelajar, guru dan ibu bapa sekolah itu.


Saya telah berkongsi tiga peristiwa manis yang masih segar dalam ingatan ketika belajar di sekolah berkenaan dari 1958 hingga 1964. Pertama, ketika Darjah (sekarang disebut Tahun) Satu belajar Ilmu Hisab (Matematik), seluruh kelas telah dimarahi dan diminta berdiri di atas bangku oleh seorang guru yang sangat tegas, kerana kami tidak menyelesaikan kerja rumah. Guru itu ialah Cikgu Abdul Majid Madisan, kebetulan ayah saudara saya. Peristiwa itu telah menyentuh hati kecil saya sehingga berazam tidak akan mengabaikan tanggungjawab menyelesaikan semua kerja rumah. Sejak itu, saya telah mendapat markah penuh untuk mata pelajaran Ilmu Hisab sejak Tahun Satu hingga Enam.

Titik pemula kejayaan

Apabila masuk ke sekolah menengah rendah dan seterusnya ke sekolah menengah atas, Matematik sentiasa menjadi kegemaran saya. Saya telah mendapat keputusan cemerlang dalam subjek Matematik dan Matematik Tam-bahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan penuh Matematik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah faktor utama membolehkan saya diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bagi saya, peristiwa berdiri di atas bangku ketika tahun pertama di sekolah rendah adalah titik pemula kejayaan saya untuk meneruskan pengajian pada peringkat universiti.

Peristiwa kedua ialah apabila saya dipilih oleh sekolah untuk menyertai sukan lompat jauh antara sekolah rendah seluruh daerah Segamat ketika berada di Darjah Empat. Saya sememangnya telah menjuarai beberapa acara sukan olahraga di Sekolah Kebangsaan Jementah sejak dari Darjah Satu lagi. Tetapi ketika itu saya mengetahui ia adalah juara kampung yang hanya membabitkan rakan sekolah yang semuanya saya kenali. 

Apabila sampai ke Segamat dan berjumpa dengan pelajar dari beberapa sekolah rendah di seluruh Segamat, hati saya mulai berdebar dan seolah-olah seluruh anggota badan saya tidak bermaya. Lebih-lebih lagi, pada ketika itu, hanya saya seorang yang melakukan lompat jauh berkaki ayam. Pelajar lain semuanya lengkap dengan pakaian olahraga dan kasut berpaku (spike). Beberapa lompatan awal saya jauh tertinggal di belakang berbanding jarak lompatan pelajar lain.

Atasi perasaan rendah diri

Bagaimanapun, pada lompatan keempat, saya berjaya mengatasi perasaan rendah diri, dan membuat lompatan yang jauh sehingga berjaya menjuarai kejohanan itu. Peristiwa ini telah membuka minda saya mengenai bakat sukan yang ada pada saya yang turut mencetus kepada kejayaan dalam pelbagai bidang sukan ketika berada di sekolah menengah dan universiti.

Peristiwa ketiga berlaku ketika di Darjah Enam iaitu apabila saya dipilih untuk mewakili sekolah dalam Majlis Syarahan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Saya berjaya menjadi juara daerah Segamat, dan seterusnya mewakili daerah untuk pertandingan seluruh negeri Johor. Oleh kerana masa yang diberikan sangat terhad dan saya tidak mampu menghafal semua kandungan utama syarahan, Cikgu Roslan, guru Darjah Enam yang ditugaskan membawa saya pulang ke rumah dan melatih saya menghafal fakta dan memberikan saya kopi pekat supaya boleh bertahan tidak mengantuk hingga jam 2 pagi.

Keesokan paginya, kami perlu bertolak ke Johor Bahru untuk menyertai pertandingan. Walaupun saya tidak berjaya menjadi johan, peristiwa ini agaknya yang mencetus keinginan untuk menjadi seorang pensyarah.

Tiga peristiwa ini memainkan peranan penting dalam pencetus hala tuju kehidupan saya. Minat yang berterusan dalam bidang Matematik telah membina gaya pemikiran logik sehingga membawa saya menjejakkan kaki ke universiti.

Apa yang ingin diperkatakan, pendidikan selama enam tahun di sekolah rendah adalah sangat penting untuk membina asas dan perwatakan seorang pelajar. Jika kita inginkan warga negara yang menunjukkan sikap positif, kecemerlangan serta kewibawaan yang tinggi, didikan asasnya adalah di sekolah rendah.

Pengetua dan guru di sekolah rendah adalah warga pendidik yang penting dan perlu diberikan keutamaan. Kementerian Pelajaran perlu melihat kembali perancangan mereka untuk membina warga minda kelas pertama pada peringkat sekolah.

 

Penulis ialah 
Naib Canselor,
 Universiti Malaysia Terengganu 
 







  


 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiq48Ltg_51rbJN_ZLeFI-0F_9kUIgcFHRfc9dIfQ6Tg59p7HIJ4KERu6sOhISe5C1iiE1wFynaek8jMXmue0LjdctGIAOTugphZArxeEM1Sa3_kxypzgA6rqfIeO6uTHEExYzgWKeWtGXs/s1600/N13.jpg

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...