Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, February 9, 2013

Menangani kes murid tanpa dokumen

 http://www.tutor.com.my/tutor/special/kartun/images/010507.jpg

Menangani kes murid tanpa dokumen



Setiap kali bermulanya pembukaan sesi persekolahan baharu setiap tahun, Kementerian Pelajaran pasti berdepan senario pendaftaran murid tanpa dokumen sama ada di kalangan ibu bapa warga tempatan mahupun rakyat asing yang bermastautin di negara ini.


Namun begitu, menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad, halangan itu tidak pernah dipandang ringan dan sentiasa diperbaiki pihaknya bagi memastikan kanak-kanak dan remaja di negara ini mendapat pendidikan sewajarnya, tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang keluarga.


Beliau memberitahu, terdapat banyak kategori berkaitan masalah pendaftaran murid atau pelajar dari peringkat prasekolah hingga tingkatan enam seperti ibu bapa warga tempatan yang tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan kelahiran anak.


"Kes seperti ini berlaku disebabkan banyak faktor antaranya termasuklah ibu bapa bernikah di luar negara dan tidak mendaftarkan perkahwinan tersebut, yang menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak dapat mengeluarkan sijil kelahiran anak.


"Namun, murid berkenaan masih boleh memasuki sekolah dengan syarat ibu bapa mengisi dua borang yang disediakan Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan negeri di samping perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung di kediaman masing-masing,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.


Menurutnya, kesulitan pendaftaran masuk murid yang tidak mempunyai dokumen diri berlaku apabila ibu bapa membuat tafsiran tiada halangan mendaftarkan anak mereka ke sekolah walaupun tidak mempunyai sijil kelahiran.
"Ramai yang masih persoalkan pihak sekolah tentang perkara ini yang mana kenapa anak tidak boleh masuk sekolah walaupun ibu bapanya rakyat tempatan tetapi kita mahukan kepastian tentang status anak, mungkin anak angkat sebab itu perlu ada pengesahan ketua kampung,'' katanya.


Senario tersebut, katanya, walaupun hanya melibatkan segelintir kecil ibu bapa namun kementerian tetap memandang serius perkembangan itu kerana membuktikan masih wujud kekeliruan berhubung garis panduan tersebut.


Katanya, kesulitan juga berlaku apabila ibu bapa tidak mempunyai dokumen diri dan senario tersebut sering berlaku di kalangan masyarakat Orang Asli dan pedalaman namun melalui proses pendaftaran JPN, persekolahan murid tetap diteruskan.
Senario lain yang turut berlaku adalah di kalangan ibu bapa rakyat asing yang bekerja secara sementara dengan agensi kerajaan atau badan berkanun.


Kelompok ini dikehendaki membayar yuran pendaftaran RM120 setahun per murid untuk sekolah rendah manakala RM240 setahun per murid pula bagi sekolah menengah dan tanpa sebarang kemudahan pendidikan seperti bantuan buku teks, bantuan makanan atau wang khas RM100.
"Selain boleh ke sekolah antarabangsa, kita juga menyediakan pusat pembelajaran setempat misalnya untuk pekerja ladang Indonesia di Sabah dan kita pastikan pembelajaran mempunyai konsep 3M (Membaca, Menulis dan Mengira),'' katanya.
Sementara itu, kata beliau, ibu bapa warga asing yang mahu mendaftarkan anak mereka perlu membayar yuran persekolahan sama ada RM120 atau RM240 beserta pas belajar.



Menurut Mazlan, kesulitan seperti itu boleh diatasi sekiranya ibu bapa memainkan peranan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mendaftarkan anak mereka memasuki sekolah.



"Paling utama, kerajaan sentiasa menitik beratkan kepentingan pendidikan untuk semua, tidak kira latar belakang keluarga murid terlibat, apa yang penting, dia tetap mendapat pendidikan sewajarnya namun bagi warga negara asing, mereka harus mematuhi peraturan yang ditetapkan,'' tegasnya.


Setakat Julai tahun lalu, terdapat kira-kira 2,261 murid bukan warga negara bersekolah rendah di negara ini termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara dengan bilangan paling ramai dikenal pasti di Sarawak iaitu seramai 830 orang.





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...